- Pertama - Seminggu selepas entri terakhir pada 19 Julai 2010 iaitu secara tepatnya pada jam 5.29 petang, 25 Julai 2010, 13 Syaaban 1431, di Hospital Selayang, alhamdulillah saya selamat melahirkan puteri sulung seberat 2.96kg dengan panjang 49cm secara normal.
- Kedua -Selepas 7 hari lahir ke dunia, secara rasminya nama puteri diumumkan semasa majlis cukur jambul. Terima kasih pada hadirin yang sudi meraikan cucu kedua mama dan baba saya malam itu.
Semoga 'kesucian' dan 'kegembiraan' sentiasa menyelubungi diri anakanda di dunia dan akhirat.
- Ketiga - Sedang kaum muslimin muslimat berpuasa, saya pula berpantang selama 45 hari di Ipoh. (Tok saya cakap, kita orang Islam kena ambil nombor ganjil sebab Allah suka). Leganya dapat juga berpuasa 4 hari. Saya lebih rela bersalin daripada berpantang. (Huih, ayat!) Bolehkah begitu?
Saya ucapkan terima kasih pada suamiku dan keluargaku tercinta khususnya Tok Mah dan adikku Aisyah yang menjaga saya sepanjang berpantang. Tanpa kalian, pastinya tidak terurus hidupku anak-beranak. Juga terima kasihku pada ibu mertuaku yang hadiahkan set rawatan selepas bersalin Amway, Tropical Herb. Ia memang berjasa walaupun tak sempat habiskan semua. (Ada expired date kah?)
- Keempat - Tahun ini kali pertama sambutan eidulfitri saya bersama suami dan puteri. Walaupun saya dan suami tidak berbaju baru, tetapi bahagia tetap terasa apabila bertiga. Alhamdulillah.
- Kelima - Pada hari raya kelima tahun ini , adik saya yang kedua, Asma' selamat ditunangkan dengan adik kawan saya. (pada tarikh yang sama tahun 2009 saya pula dinikahkan). Pepatah menyebut, "Ikan di laut asam di darat, dalam kuali bertemu jua." Adik masih belajar di Makassar, indonesia, manakala bakal adik ipar bekerja di Ipoh, Perak. Alhamdulillah, walaupun semuanya terlalu pantas (2 hari sebelum raya keluarga pihak lelaki bertandang untuk tetapkan tarikh), majlis dapat diraikan dalam sederhana. Moga ikatan ini berkekalan hingga ke hari bahagia hendaknya. Lepas ni mungkin tiap-tiap tahun kami sibuk berkenduri kendara sampai habis adik bongsu saya yang baru 8 tahun tu. Wah! Bilalah akan habis agaknya... (Moga Allah permudahkan urusan jodoh adik-adik saya)
Sekian sahaja sedikit perkembangan daripada saya. Kalau hendak diikutkan, terlalu banyak yang berlaku dan berlalu. Tidak perlulah saya ceritakan semuanya di sini. Memadailah ini sahaja sebagai ole-ole untuk tatapan sesiapa yang sudi mengikuti teratak saya ini. Terima kasih buat pembaca yang sudi klik 'follow this blog'. Insya-Allah, moga ukhuwah kita bertambah erat. Yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita mesrakan, yang mesra kita serasikan.