Thursday, July 15, 2010

Diari & Perancangan WAHM : Episod 1

Alhamdulillah, segala pujian selayaknya buat Allah. Saya bersyukur atas segala nikmat kesihatan dan kelapangan yang dikurniakannya walaupun agak keletihan berada pada trimester ketiga ini. Sejak berpangkat WAHM bermula 1 Julai 2010, beberapa perkara yang dirancang dan diidamkan dapat saya selesaikan sebelum tibanya saat-saat yang dinanti-nantikan iaitu saat menimang cahaya mata. Mengikut tarikh yang diberi oleh doktor dan mesin scan ialah pada 30 Julai 2010.

Yang dirancang:
  • Buka booth jualan buku PTS di karnival SK Selayang Utama - selesai 2/7-4/7
  • Buka booth jualan buku PTS di Masjid al-Firdaus, Selayang - selesai 4/7
  • Buka booth jualan buku PTS di karnival SK Lelaki Jalan Batu - selesai 10/7
  • Menghadiri Women in Business Seminar (anjuran Ummikusayang.com & Hilyah Design - selesai 3/7
  • Daftar syarikat Firdausi Enterprise - selesai 12/7
  • Menghadiri taklimat dan temu duga pembiayaan perniagaan PUNB - selesai 12/7
  • Habiskan beberapa hari puasa yang berbaki - selesai 14/7
  • Menempah sarung tilam dan bantal baby serta tungku baby - selesai 14/7
  • Hantar tugasan pruf buku kepada penerbit PTS Millennia - selesai 15/7
  • Hantar semula baki buku PTS yang tidak dapat dijual - selesai 15/7
Yang diidamkan:
  • Makan kenduri anak saudara - selesai 11/7
  • Cuba buat resipi Puding Roti - selesai 14/7

Senarai perancangan perkara untuk saya selesaikan pun tidak kurang banyaknya:
  • Menyewa rak buku bacaan di Sarakids - hantar 18/7
  • Menghadiri kelas penyusuan di Sarakids - hadir 18/7
  • Mengkhatamkan bacaan al-Quran
  • Menyediakan laporan jualan buku PTS di beberapa karnival
  • Merangka rancangan perniagaan
  • Mengkhatamkan bacaan buku Detik Kelahiran Bayi dan Penjagaan Ibu & Bayi
  • Membeli botol simpanan susu perahan
  • dan banyak lagi perancangan selepas kelahiran permata hati ini

Minggu ini sudah masuk minggu ke-38 kandungan saya. Orang yang tengok saya, ada yang cakap, "Kecilnya perut, macam baru beberapa bulan mengandung." Tidak kurang juga yang cakap, "Takutnya tengok perut, macam buah tembikai!"

Apa-apa sekalipun yang orang hendak cakap, saya tidak kisah. Setiap orang berhak bercakap mengikut pandangan mata dan penilaian sendiri. Apa yang penting sekarang, saya sedang menunggu saatnya tiba. Seperti tidak percaya juga, sudah 9 bulan 2 minggu saya membawa satu nyawa manusia ke sana dan ke mari.

Saya mengharapkan doa daripada semua supaya dipermudahkan saat getir semasa saya bertarung nyawa nanti. Saya memohon kemaafan kepada sesiapa sahaja sekiranya saya ada mengguris rasa dan saya mohon dihalalkan segalanya. Insya-Allah, panjang umur kita bersua lagi dalam suasana baru. Pastinya, kehidupan sebagai WAHM yang lebih mencabar selepas ini. Moga Allah berikan kekuatan.


**(Kali ini entri berbentuk tulisan sahaja, saya akan masukkan gambar-gambar berkaitan dalam episod 2 nanti sebab saya suka mengambil gambar, walaupun tidak pro)

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails