Showing posts with label Projek. Show all posts
Showing posts with label Projek. Show all posts

Thursday, December 12, 2013

2013: Tahun Kelahiran 3 Bayi

Bayi Pertama lahir pada Januari 2013


Syarikat Penerbitan dan Percetakan Firdausi Solution





Bayi Kedua lahir pada Jun 2013

Butik Online Si Kecilku Comel



Bayi Ketiga lahir pada Julai 2013

Afif Fateh bin Muhammad Fadhli


Kelahiran ketiga-tiga bayi ini antara sebab kenapa blog kesayangan ini terpaksa dibiarkan sepi. Mereka bertiga sedang membesar dengan sihat dan ceria, alhamdulillah.

Saya tidak mahu berjanji lagi pada pembaca yang sudi bertandang, cuma saya menyimpan azam yang tulus demi teratak maya ini. 

Allah sebut,
"Faiza 'azamta fatawakkal 'alallah."
"Apabila kamu berazam maka serahkanlah kepada Allah."

Insya-Allah.

Wednesday, November 14, 2012

Ahlan Wasahlan 1434 Hijriah!

Bismillah walhamdulillah.

Syukur kerana Allah masih mengizinkan saya dan kita bernafas lagi saat dan ketika ini. Nikmat terbesar yang tidak dapat ditandingkan dengan mereka yang sudah menyahut seruan Ilahi. Alhamdulillah, semoga perginya 1433 yang lalu diiringi keberkatan daripada Allah, diterima segala amalan, diampunkan segala kekhilafan dan menjadi bekalan buat kita di sana seandainya ajal menjemput sebelum sempat kita menempuhi 1434.

Bila masuk tahun baru, selalunya soalan rutin ditanya orang atau diri sendiri adalah tentang "Apa azam tahun baru?"

Jawapan yang biasa kita dengar dan diri kita sendiri jawab pula, "Azam tahun lepas pun belum terlaksana lagi."

Ya, soalan itu klise bunyinya tetapi masih dikira penting bagi memperingatkan diri orang yang ditanya, lebih-lebih lagi peringatan untuk diri kita sendiri. Usah lihat pada orang lain, saya sendiri pun begitu. Banyak yang dirancang namun matlamatnya tidak kesampaian. Namun syukur, sebahagian besar daripadanya dapat ditunaikan walaupun tanpa perancangan bertulis, biiznillah.

Selepas dimuhasabah, sebenarnya antara faktor utama perancangan saya belum berjaya adalah kerana tidak mempunyai timeline atau waktu yang spesifik, bilakah target matlamat akan tercapai. (Dalam istilah Barat lazimnya akronim S.M.A.R.T menjadi arah pandu sesuatu matlamat) Justeru, semua yang tercatat di buku nota, planner dan memo saya hanya dibelek-belek dan akhirnya berlalu begitu sahaja. Catatan di Google Calendar pula menjadi rekod diari apa perkara yang sudah dilalui, bukan seperti catatan 'orang-orang yang sibuk' seperti Ustaz Hasrizal dan Tuan Fazrul. (Sekadar menyebut nama mereka yang saya bersinergi di dalam Akademi Sinergi)

Ada satu pepatah yang selalu disebut oleh Sifu saya, Bonda Ainon Mohd,
"Hanya orang sibuk yang ada masa."

Jadi untuk menempuhi tahun baru ini, saya berdoa dan memohon kepada Allah, dengan izinNya, saya mahu menjadikan diri saya lebih produktif sebagai Muslimah dan hamba Allah. Saya dalam proses mengumpul bahan-bahan untuk menerbitkan Muslim Organizer. Saya target sebelum hujung Disember 2012 akan siap. Saya mendapat idea ini selepas menemui pelbagai laman web di Barat yang amat mementingkan pengurusan masa dan pengurusan kehidupan. Di Malaysia, kebanyakan planner dan organizer yang terdapat di pasaran bersifat terlalu umum atau fokus kepada golongan usahawan sahaja. Mohon daoakan saya, ya. :) Insya-Allah, saya akan update perkembangan projek ini nanti.

updat e
Muslim Lifebook ini diterbitkan oleh siratt.com


Tahun baru pastinya tidak meriah jika tidak disambut dengan kalendar atau taqwim sepanjang tahun. Mari lihat, saya kongsikan taqwim 1434H versi JAKIM. Sila klik untuk paparan lebih besar.


 Berikut pula tarikh-tarikh penting dalam Islam bagi Malaysia.


Tuesday, May 22, 2012

Projek Terbaru

Alhamdulillah. Allah masih panjangkan nafas saya dan rumah maya saya hingga ke saat ini. Syukur ya Allah.

Sementara masih punya kesempatan waktu, sebaik-baiknya saya terus kepada huraian tajuk entri saya. Ya, projek terbaru saya pada masa ini. Ia pernah dimulakan hampir 5-6 tahun yang lalu, kemudian terus terhenti kerana tidak dapat dipastikan apakah sebabnya. Waktu itu belajar sendiri, belajar daripada mama secara tidak formal. Namun, ia hanya separuh jalan. Lalu bahagian bawah sahaja yang dapat disiapkan, manakala bahagian atas tidak bersambung. Atas faktor sayang masih ada, kini bahagian atas dihantar kepada yang pakar bagi menyelesaikannya. Hehe.... cuba teka, apakah yang saya maksudkan?

Sebenarnya saya tidak menyangka yang saya mendaftarkan diri dan mengikuti kelas kemahiran ini. Saya pernah ternampak poster iklan bengkel ini di Masjid Kota Damansara. Tidak lama kemudian, saya diketemukan pula dengan salah seorang pelajar kelas ini di Masjid al-Ghufran semasa program Seminar Love Being a Mother, anjuran saya dan kawan-kawan seangkatan, ibu-ibu muda (Komuniti Lovely Life). Kebetulan pula di rumah, saya sempat melayan drama korea 'A Cinderella Man' yang juga berkaitan bidang ini. Maka, semua ini antara petanda-petanda yang mengukuhkan niat saya menghadiri bengkel ini.

Justeru, saya pulang ke Ipoh dengan niat yang satu.


Ini dia....!

Kredit: olx.com.my (Ini bukan gambar sebenar tetapi jenama yang sama)
Saya pinjam daripada mama. Terima kasih mama kerana beri keizinan untuk Along guna mesin jahit ini. Along cuba menyambung jasanya kepada kita anak-beranak perempuan. :)


Juga beli kain cotton ini. RM3 semeter.


Pada 12 dan 13 Mei 2012 yang lalu, secara rasminya saya mengikuti Bengkel Jahitan Baju Kurung. Mungkin bagi sesetengah wanita dan perempuan, dunia jahitan sudah dipelajari sejak usia remaja. (Teringat projek subjek Kemahiran Hidup tingkatan tiga, kotak kayu dibaluti kain beropol). Namun, rasanya masih belum begitu terlewat bagi saya mempelajarinya pada usia menjangkau 30-an ini, sementelah punya seorang anak dara kenit + 6 orang adik perempuan kandung + 3 orang adik ipar + mama + mama mentua + saya = 13 orang perempuan sekitar saya. Ia tidak sedikit dan mungkin semakin bertambah. Justeru, pada hemat saya, menuntut ilmu kemahiran ini boleh jadi hukum wajib ke atas kami. Setuju?

Hari pertama

Kelas yang dijadualkan bermula 8.30 pagi dimulakan dengan sesi sarapan berjemaah dahulu, kemudian sesi berkenalan dengan semua peserta. Ada 7 orang sahaja pelajar yang diterima bagi setiap bengkel. Yang mengagumkan saya, 5 orang daripada kami adalah gadis bujang. Paling jauh datang dari Changlun, Kedah. Paling muda berumur 21 tahun! Mereka malah sungguh hebat pada mata saya!

Sebelum itu, kami diingatkan supaya membawa sedikit peralatan yang diperlukan iaitu:
- Kain cotton 4 meter
- Zip 8 inci
- Benang sama tanah kain
- Benang bunga kain

Itu sahaja. Mesin jahit dan peralatan lain disediakan. Mudah, bukan?
  • Langkah pertama bagi menjahit apa sahaja pakaian adalah mengambil ukuran badan. Cikgu Yati mengambil ukuran setiap daripada kami, manakala kami mencatat nilainya di dalam nota yang disediakan. Kemudian kami perlu membuat sedikit kira-kira dengan kalkulator sebab ada darab, bahagi, tolak, tambah, malah titik perpuluhan juga. Wah!
  • Langkah kedua adalah membuat pola pada kertas minyak. Fikir saya, ia mudah sahaja. Tetapi tidak mudah juga pada peringkat awal. Tiba-tiba jadi blur sekejap, tidak tahu di mana patut bermula. Dengan bantuan pembantu cikgu, Kak Teh merangkap anak cikgu, kebluran saya dapat ditangani dengan begitu mudah. Saya kagum pada beliau yang masih dalam tingkatan 6! Cikgu cakap, ramai orang tahu potong kain, tetapi tidak ramai pandai buat pola.
Pola ini untuk orang yang baru belajar sahaja. Tukang jahit tidak memerlukannya lagi.

  • Langkah ketiga adalah memotong kain mengikut ukuran pada pola yang sudah dibuat. Pada hari pertama, kami hanya diajar memotong badan, pesak, kekek dan tangan.
  • Seterusnya mencantumkan setiap bahagian yang terpisah menjadi satu. Kali ini saya tidak lagi gerun menggunakan mesin jahit sepertimana kali pertama belajar dahulu. Takut jarum terkena jari, takut terpijak pedal terlalu laju, takut kain tertarik dek jarum. Ketakutan yang ter....(Itu pada zaman dahulu) :)
  • Bahagian yang agak renyah adalah membuat leher. Perlu lukis dahulu pola, buat sedikit kira-kira, potong pola, lekatkan pelekat pada kain dan cantumkan pada badan. Boleh bayangkannya? Cikgu pesan, pola leher kita perlu simpan baik-baik supaya ia boleh digunakan semula apabila menjahit baju kurung sendiri seterusnya. Orang yang sama saiz kita juga boleh guna nanti.
  • Proses ini pula adalah selepas leher dan badan dicantumkan. Perlu seterika supaya lebih kemas dan tajam untuk dijahit mata lalat nanti.

  • Akhir sekali, pada jam 6 petang, inilah hasilnya!

Alhamdulillah, seperti tidak percaya saya dapat siapkan. Tinggal belum jahit cangkuk butang, mata lalat pada leher dan jahit sembat pada hujung baju dan bawah badan. Ilmu ini bersambung pada hari kedua.


Hari kedua

Kelas bersambung dengan penuh keceriaan walaupun kebanyakan kami merasai sedikit sakit belakang. Itu baru sehari menekuni kain dan mesin jahit, bagaimana dengan rutin tukang jahit ya? Ada sebarang tips?


Proses hari kedua fokus pada kain baju kurung. Ia meliputi kerja mengukur bahagian pinggang, labuh kain, keliling punggung, memotong kain mengikut ukuran, memasukkan zip, membuat susunan lipatan kain, membuat dart, seterusnya membuat cantuman getah dan pelekat dan menyambungkan pinggang pada kain.

Wah, banyak juga langkah menghasilkan sehelai kain susun, kan? Bila kita pakai kain, biasanya kita tidak sedar pun proses pembuatannya juga renyah. Patutlah agak tinggi juga upah menjahit, sementelah di bandar. Rupa-rupanya ada elemen PIES yang turut menguasai diri tukang jahit. PIES, ia bukan sejenis makanan, ya. Perlu buka topik baru bagi berbicara tentang potensi PIES dalam diri setiap manusia. Ia kajian yang menarik. Ada yang mahu tahu? Sila angkat tangan.


Senyum kepuasan dengan kejayaan masing-masing

Dua hari berbengkel, boleh dikatakan kami diajar asas menjahit baju kurung dari A - Z. Dari tiada asas hingga ditunjukkan menjahit mata lalat pada leher. Sungguh teruja dengan ilmu baru! Alhamdulillah.

Pesan cikgu, "Balik nanti terus buat baju kurung kedua! Jangan tunggu seminggu, hujung bulan, takut terlupa."


Saya sangat rekemenkan kepada yang baru mahu belajar.
Teknik yang mudah dan praktikal.
Cikgu dan pembantu cikgu yang sangat baik dan sabar. :)


Maklumat lanjut di http://www.bengkeljahitan.com


** Saya masih belum siap jahit mata lalat sebab tidak berjumpa lalat lagi.... 

Monday, July 19, 2010

Seminar Pemasaran Facebook & Sarakids

Alhamdulillah, walaupun dalam keadaan sarat mengandungkan anak pertama, saya masih diberi kekuatan oleh Allah bagi menghadiri sesi Seminar Pemasaran Facebook anjuran Internet Marketer Training Center (IMTC) pada Ahad, 18 Julai 2010.


Saya tertarik dengan topik Pemasaran Fan Page dan Facebook serta yurannya ;)

Banyak ilmu dan pengalaman yang saya timba daripada 2 orang sifu IM yang hebat ini. Pembentang pertama ialah tuan Gero Azrul, pakar pemasaran internet dan affiliate yang menekankan konsep AIDA dalam bisnes yang diusahakannya. Ternyata ia berkesan dan terbukti. Apakah AIDA?
A- Attention
I- Interest
D- Desire
A- Action

Apa yang dapat saya simpulkan, setiap usahawan perlu memasarkan diri (kata mudahnya 'jual diri') di khalayak sebelum memasarkan produk. Apabila kehadiran usahawan itu disedari oleh bakal pelanggan dan prospeknya, apa sahaja yang bisnes yang yang dijalankan oleh beliau akan mudah diterima kerana beliau sudah membina kepercayaan mereka. Antara cara cepat dan mudah juga adalah dengan menghadiri program-program dan mengambil gambar bersama sifu, pakar dan orang-orang ternama dalam bidang usahawan, lebih-lebih lagi yang sama dengan niche kita. Dengan cara itu, ia dapat membina kredibiliti usahawan itu sendiri.


Jadi, saya ikut cakap sifu Azrul. Mari kita bergambar! ;)


Dalam slot bersama tuan Safuan, pakar pemasaran Facebook pada sesi petang pula, kami didedahkan tentang aplikasi pemasaran melalui Facebook. Pada tahun 2008, beliau memulakan bisnes menjual kuih raya melalui FB dan keuntungan yang diperoleh sebanyak RM600. Bagi saya, ia berbaloi sebagai side income.

Bersama usahawan muda internet berusia 25 tahun. Saya kagum dengan anda!
Kanan sekali, Kak Norita yang tidak lokek berkongsi ilmu. Terima kasih, akak. Keep in touch! :)


Apabila kita berfikir mahu menjadi usahawan, perkara yang paling penting difikirkan adalah produk. Jika tiada produk, apa yang mahu diusahakan dan diniagakan? Menurut sifu Safuan, pada era ini, ada 3 jenis bidang niaga yang boleh dilakukan oleh usahawan iaitu menjual:
  1. Produk fizikal
  2. Produk digital
  3. Perkhidmatan / servis
Sebagai permulaan, beliau menyarankan kepada usahawan memilih salah satu bidang dan fokus. Apabila ia mendatangkan hasil, usahawan boleh cuba menjalankan ketiga-tiganya. Ia bergantung pada tahap kemampuan individu sendiri. Tetapi, jangan jadi 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran' dan akhirnya menyesal dan putus asa. Bagi saya pula, buat masa ini, saya fokus kepada 2 bidang iaitu bidang 1 iaitu jualan buku PTS + tudung labuh Tudung Nur dan bidang 3 iaitu perkhidmatan suntingan dan pruf buku . Insya-Allah, saya teringin juga mencuba bisnes bidang 2 suatu hari nanti.


Bersama semua peserta yang aktif dan bersemangat. Saya mahu ambil aura mereka.


Gambar-gambar sepanjang program di sini.


* * *

Pulang dari IMTC, saya dan suami berkejar pula ke TTDI Jaya. Kami sesat walaupun saya sudah google map sebelum ini. Tetapi akhirnya sampai juga ke destinasi walapun dah hampir maghrib. Terima kasih Puan Paan @ Farah dan suami kerana guide jalan. Ada sedikit sedih kerana tidak dapat bertemu pemilik Sarakids ini (tapi ok juga sebab sudah comot bagai. ;)), tetapi tetap gembira sebab akhirnya dapat juga menjejak butik ini yang luas, cute, banyak barang dan tenang sekali. Saya jatuh cinta!


Ada playground


Barang-barang yang cute-mute


Bagaimana? Siapa yang tidak suka, kan?

Di ruangan inilah produk yang saya bawa akan ditempatkan.


Saya fikir satu tingkat rak sudah cukup sebab saya bawa buku tidak banyak
(sebab selalunya saya bawa berkotak-kotak untuk jualan di booth. Hehe)


RUPA-RUPANYA....

Mungkin tiga tingkat rak sebab ada 24 judul buku semuanya!
Tamaknya saya!
;)



Antara buku-buku bacaan terbitan PTS untuk kanak-kanak dan ibu bapa kini ada di Sarakids


Terima kasih Puan Farah atas peluang yang diberikan! Insya-Allah, semoga jalinan kerjasama ini adalah titik permulaan untuk kerjasama yang berterusan pada masa akan datang.


Tumpang bergambar di premismu, Paan!

Sebenarnya bukan mudah untuk saya membuat keputusan bagi melepaskan jawatan makan gaji sepenuh masa. Saya ada kisah panjang sebelum ini. Mungkin 3 hari 3 malam baru habis cerita agaknya. Tetapi saya yakin, semua yang berlaku adalah qadha dan qadar yang sudah Allah tetapkan untuk saya dan saya redha. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk hambanya. Sesungguhnya saya gembira dengan apa yang saya lalui sehingga hari ini. Semoga saya terus istiqamah untuk hari-hari mendatang. Amin.

Thursday, July 15, 2010

Diari & Perancangan WAHM : Episod 1

Alhamdulillah, segala pujian selayaknya buat Allah. Saya bersyukur atas segala nikmat kesihatan dan kelapangan yang dikurniakannya walaupun agak keletihan berada pada trimester ketiga ini. Sejak berpangkat WAHM bermula 1 Julai 2010, beberapa perkara yang dirancang dan diidamkan dapat saya selesaikan sebelum tibanya saat-saat yang dinanti-nantikan iaitu saat menimang cahaya mata. Mengikut tarikh yang diberi oleh doktor dan mesin scan ialah pada 30 Julai 2010.

Yang dirancang:
  • Buka booth jualan buku PTS di karnival SK Selayang Utama - selesai 2/7-4/7
  • Buka booth jualan buku PTS di Masjid al-Firdaus, Selayang - selesai 4/7
  • Buka booth jualan buku PTS di karnival SK Lelaki Jalan Batu - selesai 10/7
  • Menghadiri Women in Business Seminar (anjuran Ummikusayang.com & Hilyah Design - selesai 3/7
  • Daftar syarikat Firdausi Enterprise - selesai 12/7
  • Menghadiri taklimat dan temu duga pembiayaan perniagaan PUNB - selesai 12/7
  • Habiskan beberapa hari puasa yang berbaki - selesai 14/7
  • Menempah sarung tilam dan bantal baby serta tungku baby - selesai 14/7
  • Hantar tugasan pruf buku kepada penerbit PTS Millennia - selesai 15/7
  • Hantar semula baki buku PTS yang tidak dapat dijual - selesai 15/7
Yang diidamkan:
  • Makan kenduri anak saudara - selesai 11/7
  • Cuba buat resipi Puding Roti - selesai 14/7

Senarai perancangan perkara untuk saya selesaikan pun tidak kurang banyaknya:
  • Menyewa rak buku bacaan di Sarakids - hantar 18/7
  • Menghadiri kelas penyusuan di Sarakids - hadir 18/7
  • Mengkhatamkan bacaan al-Quran
  • Menyediakan laporan jualan buku PTS di beberapa karnival
  • Merangka rancangan perniagaan
  • Mengkhatamkan bacaan buku Detik Kelahiran Bayi dan Penjagaan Ibu & Bayi
  • Membeli botol simpanan susu perahan
  • dan banyak lagi perancangan selepas kelahiran permata hati ini

Minggu ini sudah masuk minggu ke-38 kandungan saya. Orang yang tengok saya, ada yang cakap, "Kecilnya perut, macam baru beberapa bulan mengandung." Tidak kurang juga yang cakap, "Takutnya tengok perut, macam buah tembikai!"

Apa-apa sekalipun yang orang hendak cakap, saya tidak kisah. Setiap orang berhak bercakap mengikut pandangan mata dan penilaian sendiri. Apa yang penting sekarang, saya sedang menunggu saatnya tiba. Seperti tidak percaya juga, sudah 9 bulan 2 minggu saya membawa satu nyawa manusia ke sana dan ke mari.

Saya mengharapkan doa daripada semua supaya dipermudahkan saat getir semasa saya bertarung nyawa nanti. Saya memohon kemaafan kepada sesiapa sahaja sekiranya saya ada mengguris rasa dan saya mohon dihalalkan segalanya. Insya-Allah, panjang umur kita bersua lagi dalam suasana baru. Pastinya, kehidupan sebagai WAHM yang lebih mencabar selepas ini. Moga Allah berikan kekuatan.


**(Kali ini entri berbentuk tulisan sahaja, saya akan masukkan gambar-gambar berkaitan dalam episod 2 nanti sebab saya suka mengambil gambar, walaupun tidak pro)

Monday, May 11, 2009

Kebetulan yang Dirancang Tuhan

WAIZ (MALAYSIA) SDN BHD

Pada saya, ia hanya suatu kebetulan. Hakikatnya, pertemuan dengan Encik Hazali dan Puan Roszita di pejabat WAIZ pada Jumaat lepas sudah diatur oleh Pencipta.

Seorang teman tertinggal bateri charger laptopnya selepas tamat kursus di sini. Beliau meminta bantuan saya untuk mengambilnya di pejabat ini. (Pejabat WAIZ di Taman Melawati, manakala pejabat editorial PTS di Wangsa Melawati). Atas dasar "ta'awun 'alal birri wattaqwa", saya bergegas ke sana, lagipun tidaklah jauh mana....

Pasangan suami isteri ini sangat peramah an memuliakan tetamu. Walaupun pertama kali bertemu, dalam keadaan sedar ataupun tidak sedar, kami berbual dan berkongsi maklumat hampir sejam. Saya dijamu dengan bihun goreng, fresh orange dan sirap (lebihan makanan peserta kursus). Siap bergambar lagi dengan mereka, padahal saya bukanlah peserta kursus pun. Insya-Allah, saya melihat pertemuan ini sebagai ruang untuk bekerjasama selepas ini!



WAIZ adalah syarikat bumiputera yang sudah beroperasi sejak tahun 1999. Mengambil nama anak sulung pasangan bahagia ini. Mereka menyediakan khidmat latihan dan pembangunan kemahiran IT, peningkatan kerjaya kakitangan serta khidmat nasihat dalam bidang teknologi maklumat. Jelajahi laman sesawang ini bagi mendapatkan perkhidmatan latihan yang disediakan oleh mereka.

Sebagai info, mereka adalah orang penting yang bertanggungjawab merekodkan rancangan penulis-penulis PTS di TV.

Saya ditanya oleh Kak Ita (panggilan mesranya), "Firdaus berminat dengan kursus apa?"

Jawab saya, "Indesign! Kalau boleh yang lanjutan!"

"Ya. Diorang (mungkin pegawai PTS sendiri) ada beritahu. Dengarnya kena tunggu sampai person in charge masuk semula lepas bersalin." Kak Ita membalas.

"Aha, ya ya." Saya mengiyakan.

Apa yang menarik di pejabat comel ini adalah dekorasi di dalam dan di luar pejabat. Melangkah sahaja di pintu masuk tingkat bawah, kita disambut dengan ucapan "Selamat Datang" pada karpet merah dan biru yang dipijak. Terasa pemiliknya begitu meraikan kedatangan tetamu. Naik sahaja tangga, kita akan mencium wangian bunga segar di tingkat atas. Apabila melangkah masuk ke dalam pejabat pula, kelihatan pokok-pokok jenis daun segar disusun kemas di dalam pasu di atas meja.



Satu aroma yang menyegarkan dan terapi minda yang mendamaikan! Alangkah baiknya di pejabat PTS dibuatkan landskap sebegitu ditambah dengan kolam air terjun dan ikan berenang-renang dengan bebasnya, alangkah tenang!

***

INSTITUT GENERASI & BISNES KECIL-KECILAN

Perbualan semakin rancak. Saya sebenarnya rasa sangat teruja kerana pertama kali mengetahui pusat latihan sebegini yang dibuka oleh 'orang kita' (Melayu). Saya menceritakan, semasa semester akhir di UIA, saya ada mengikuti Sijil Penyelenggaraan Komputer (Certificate in PC Maintenance) di Insititut Generasi, KL selama empat bulan. Di dalam kelas itu, hanya saya seorang sahaja pelajar perempuan! Tetapi ia tidak mematikan minat saya pada masa itu. Selepas tamat kursus itu, saya mendaftar pula dalam Sijil Sains Komputer & Multimedia, tetapi terpaksa berhenti separuh jalan kerana sebab tertentu.

Alhamdulillah, hasilnya, saya dapat memformatkan pc sendiri. Saya sangat teruja! Saya memulakan bisnes sendiri. Tidak perlu lagi menghantar kepada pelajar lelaki atau brothes (panggilan bagi pelajar lelaki di UIA) apabila berlaku masalah pada komputer. Charge standard RM30, tetapi saya hanya letakkan RM10 sahaja. (Macam orang tidak pandai bisnes sahaja gayanya. Haha...) Lama-kelamaan, nama saya meniti di bibir pelajar-pelajar perempuan (sisters) terutamanya yang mendiami Mahallah Nusaibah dan sama jurusan dengan saya.

Tanpa saya rencanakan dengan teliti, akhirnya saya semakin serius dengan dunia ini. Bermula dengan mengenal pasti kerosakan pc, memformatkan pc, kemudian membuatkan salinan cd drama Korea yang sedang hangat ketika itu, (My Little Bride, Full House, Autumn in My Heart, Kiamat Sudah Dekat {eh, filem Indon ni}), seterusnya perkhidmatan print assignment.

(Sebenarnya, saya juga sibuk mengisi masa dengan kerja part time di cyber cafe mahallah dan mengajar tusyen di rumah. Sebabnya saya hanya ambil 3 subjek pada semester akhir dan saya tidak biasa jika tidak sibuk!)

Dunia bisnes bukanlah perkara baru bagi saya. Saya sudah terjebak sejak zaman sekolah menengah lagi. Pada masa itu, saya menjual telekung dua lapis Amirul untuk pelajar-pelajar SERATA (Sekolah Raja Perempuan Taayah) dan ia berterusan hingga saya ke menara gading. Kini, saya menjadi agen pengedar bagi tudung-tudung bersaiz 60 inci. Ia milik keluarga mertua sahabat baik saya, Nisa'. Bagi sesiapa yang berminat, anda boleh mendapatkannya di HRA Enterprise di Taman Melewar, Greenwood Gombak atau hubungi saya untuk mendapat harga diskaun pengedar.

***

Siang tadi, saya terjumpa sekali lagi dengan En Hazali (WAIZ) di Bengkel Penulisan Sastera Agama untuk Remaja Lelaki anjuran Puan Ainon. Saya memberi cadangan kepada beliau supaya menulis buku Siri Buat Bisnes dengan Khidmat Latihan Perisian Komputer. Saya yakin ramai graduan bidang IT yang tidak mahu makan gaji dan berminat dengan bisnes dapat menjadikan kerjaya ini sebagai ruang mencari rezeki yang halal dan beroleh pahala berpanjangan walaupun selepas mati.

Kata beliau sambil tersenyum, "Insya-Allah!"

Kuberyukur atas nikmatmu, ya Allah!

Tuesday, February 24, 2009

Kamus al-Quran : Episod 2 dan Jalan-jalan

Manuskrip Kamus al-Quran

Alhamdulillah...hanya rasa syukur yang terucap apabila saya selamat sampai ke Fakulti Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya petang tadi, walaupun perjalanan ditemani hujan sejak bergerak dari pejabat di Wangsa Melawati. Alhamdulillah juga kerana bantuan Asyuura sebagai penunjuk jalan, walaupun dua kali tersalah masuk simpang. (Syura..syura..)Tiba di hadapan pejabat Prof Zulkifli, saya dan Syura terjengah-jengah di pintu mencari bilik Prof. Meninjau-ninjau di sekeliling, rupa-rupanya Prof sedang mengajar di dalam bilik kuliah berhadapan pejabatnya. Beliau ternampak kami. Sejurus kemudian, semua pelajar-pelajar Prof memusingkan kepala ke arah kami.

Apalagi, tersipu-sipu kami dibuatnya...Tiba-tiba, seorang pelajar perempuan membuka pintu dan keluar bertemu kami berdua. Saya nampak Prof mengatakan sesuatu kepadanya tadi. Dia bertanya, "Pelajar Prof ke? Pelajar B.A ke? Ada buat appointment ke? Prof yang minta tanya, datang dari mana..." (Panjang lebar juga soalannya) Jawab saya, "Tak. Saya dah beritahu pada Prof nak jumpa hari ini. Bila kelas ni habis?" Katanya ini kelas pelajar master, habis lewat dalam jam 6 petang. (Pada masa itu, jam baru 3.50 petang)Belum sempat saya menghabiskan jawapan, tiba-tiba pintu terbuka dan Prof muncul.
(Pada masa itu, rupa-rupanya Syura asyik terfikirkan soalan pelajar tadi. "Hmm...nampak kita ni macam student ke? student BA pulak tu..." ngomelnya tidak puas hati).

"Assalamualaikum. Ingatkan nak datang pagi tadi. Jadual saya penuh setiap hari Isnin. Tapi orang nak datang, kenalah raikan," terang Prof. Tidak mahu mengambil masa yang lama, saya menyerahkan sampul coklat, di dalamnya berisi sebahagian manuskrip Kamus al-Quran yang sudah siap disunting dan desain. "Oohh...cantik...." Itulah kata-kata yang terkeluar daripada mulutnya. (Alhamdulillah syukur). Selepas sedikit perbincangan ringkas, kami bersetuju untuk menghantar hasil kerja untuk dipruf melalui emel selepas ini secara berperingkat. Buat masa ini, Prof mempunyai 3 buah buku yang perlu dipruf daripada penerbit lain. (Prof yang seorang ini memang banyak sungguh projeknya, sambil membantu pelajarnya menambah pendapatan dengan mengupah mereka membuat penyelidikan dan menulis). 'Ala kulli hal, saya tetap akan kejar Prof. :)




Kawan Lama

Sebelum pulang,saya ternampak kelibat seseorang di pintu masuk fakulti. Ya, saya tidak salah seorang. Sudah lama saya tidak ketemu dia. Alhamdulillah, dia juga masih ingat pada saya. Dia ramah seperti dulu. Dia fikir saya datang ke sana untuk menghantar kad undangan. Hehehe...pamdai dia mengusik. Saya katakan, "Insya-Allah, 6hb 6 ye..tarikh dah cop, tapi calon belum ada." Berakhir di situ sahaja.

Perkenalan kami sejak saya di matrik lagi. Daripadanya saya belajar loghat 'kelate'sehinggakan saya membuat satu buku khusus untuk mencatatkan setiap perkataan baru yang saya pelajari setiap hari. Seingat saya masih ada lagi dalam simpanan saya. Hmmmm...buat saya tersenyum sendiri...Saya doakan dia sentiasa bahagia bersama zaujah dan putera kesayangannya yang comel, chienese look sepertinya.

Jom Research!

Kami singgah makan dahulu sebelum pulang ke pejabat. Jam menunjukkan jam 5 petang. Tiba-tiba, "Syura, jom kita pergi research kat Pustaka Indonesia! Alang-alang dah nak habis office hour, lagipun akak dah lama tak buat research ni." Saya memberi cadangan. Apalagi si Syura ini memang kaki jalan, memang dia setuju sangat. Saya terus hantar sms pada boss maklumkan perkara itu. Selepas kereta saya bergerak, saya dapat call daripada boss. (Mestilah kena angkat, lagipun masih waktu kerja). Boss minta saya research produk yang banyak dijual di kedai buku dengan harga yang murah. Ini semua kerana misi baru PTS yang mahu jual buku untuk orang kampung. Saya katakan OK sahaja. Syura yang paling gembira kerana akhirnya dapat keluar jalan-jalan. Terima kasih ye Syura, Insya-Allah ganjaran setimpalnya buatmu...:)

Wisma Yakin

Tempat pertama kami tujui ialah kedai buku Erfan Ghani yang berada di tingkat 1, Wisma Yakin. Bangunan berhadapan Masjid India. Ia adalah pengedar utama bagi buku agama terbitan Darul Nu'man. Produk mereka semakin banyak. Banyak judul-judul baru yang diterbitkan. Hasil belek-belekan tangan, akhirnya saya membeli 4 buah buku. Judul-judulnya: Memori Jumaat, Wanita & Darah, Feqh wanita Moden dan Keagungan Tamadun Islam: Sejarah yang Digelapkan. Semuanya berjumlah RM37.50. Inilah hobi saya. Menambah koleksi, belum tentu dibaca, yang pastinya, ia dirujuk untuk mengembangkan kerjaya saya.

Naik pula di tingkat 2, kami memasuki Pustaka Indonesia, pengedar terbesar buku-buku dari seberang (Indonesia). Boleh dikatakan, buku-buku yang diimport semuanya berkualiti. Disebabkan kedai ditutup jam 6.30 petang, kami tidak dapat lepak lama di situ. Saya hanya membayar RM22 bagi buku Nikmatnya Pacaran Setelah Pernikahan. Harga asal RM25.50. (Alhamdulillah, moga Allah mempermudahkan jalan bagi hambanya yang mahu menyempurnakan separuh daripada agamanya..:))



Sebenarnya saya mahu mencari konsep layout untuk Riyadus Solihin, buku akan datang. Juga mahu melihat Kamus al-Quran yang sudah banyak di pasaran. Lalu, kami melangkah pula ke Pustaka Mu'min di Jalan TAR. Kedai ditutup jam 7.30. Masa tidak banyak untuk kami. Tetapi saya sempat mencatatkan sedikit nota untuk dilaporkan kepada boss nanti. Saya terbeli pula buku Haid, Masalah Kesihatan & Seksual Wanita berharga RM15 dan cd nasyid Arab nyayian Abdulqader Qawza. Si'ruhu RM19.90. Alhamdulillah, memang sudah lama saya tercari-cari nasyid Arab yang bertemakan ketuhanan seperti ini. Boleh juga jadi halwa telinga ketika memandu.



Masuk Pejabat Semula


Entri ini ditaip di pejabat, selepas saya menghantar Syura pulang ke terataknya. Fikiran saya agak ringan dan sedikit tenang kini kerana dapat rehat sebentar sebelum saya menyambung semula kerja-kerja pada esok hari. Walaupun saya hanya berjaya menyiapkan huruf alif ila kha faqad. Itupun skip huruf ha. Insya-Allah, saya akan kerjakan projek besar ini dengan sebaik-baiknya. Doakan saya. Ya Allah, bantulah daku...amin.

Saturday, February 7, 2009

PTSI Mengorak Langkah

Bismillah walhamdulillah ‘ala kulli hal...

Mesyuarat bulanan dan mesyuarat khas kelmarin benar-benar mencabar kemampuan saya dan tim PTSI. Laporan daripada Pengurus PTSI menunjukkan prestasi jualan Januari 2009 yang agak suram bagi keseluruhan PTS. Rutinnya, pulangan jualan bagi bulan pertama saban tahun agak lembab. Namun, ia tidak melunturkan semangat tim, malah ia semakin baik dan meningkat pada bulan-bulan seterusnya, Insya-Allah.

PTSI mencapai jumlah jualan RM 127,370.09. Kelihatannya tinggi. Namun, sebenarnya agak corot kerana hanya mendudui tempat ke-5 selepas PTSL. Apabila jumlah itu dibahagi kepada tenaga 4 orang staf, seorang staf hanya menyumbang sebanyak RM 31842. Jumlah yang agak rendah apabila dibandingkan dengan tenaga yang ada. Sedangkan PTSL yang mempunyai tenaga 3 orang sahaja, setiap stafnya menyumbang RM42000. Namun, ia juga turut dibantu dengan harga buku yang mahal, manakala PTSI mempunyai banyak buku yang berharga murah dan sederhana.

Tahun ini, PTSI meletakkan target jualan RM2 Juta. KPI bagi suku pertama 2009 sebanyak RM450K, manakala 3 suku kemudian 500K setiap suku. Sebagai tindakan pantas, penerbitan bagi dua bulan ini, Feb dan Mac perlu mengejar target itu. Lebih kurang RM 322630. Justeru, judul yang diramalkan dapat memberikan pulangan yang tinggi buat PTSI adalah:

Februari
Doa Ajaran Ilahi RM15 x 5000= RM 75000
Doa Ajaran Rasul RM14 x 5000= RM 70000
Doa Ajaran Sahabat RM14 x 5000= RM 70000
Young Aisyah RM15 x 5000= RM 75000
Jumlah RM 290000


Mac
Kamus al-Quran RM85 x 5000 = RM 425000
Ya’juj dan ma’juj 360 RM30 x 8000 = RM 240000
Young Aisyah RM14 x 5000 = RM 70000
Jumlah RM 735000

JUMLAH KESELURUHAN RM 1,025000

Melihat pada rancangan penerbitan 2009, PTSI mempunyai dua jenis produk iaitu:
1)Projek khas.
Memerlukan dana dan bajet yang besar, tim editorial khusus (bukan editor dalaman) dan kertas kerja konsep yang sistematik.
* Kamus al-Quran
* Terjemahan Riyadus Solihin
* Tafsir Juz Amma untuk Kanak-kanak
* Tafsir al-Misbah
* Tafsir fi Zilalil Quran

2)Produk Rutin
Penerbitan bulanan sepertimana biasa. Merangkumi 4 kategori utama:
* Rujukan
* Amalan
* Pengayaan
* Fiksyen

Walaupun PTSI baru menjejak usia tiga tahun dalam dunia penerbitan buku agama, PTS mensasarkan PTSI mampu bersaing dan berada n jauh ke hadapan daripada penerbit buku agama yang lain, Insya-Allah. Kehadiran PTSI adalah sebagai satu wadah bagi merancakkan lagi dunia perbukuan, seterusnya memenuhi permintaan pasaran khususnya umat Islam yang tercari-cari pedoman hidup dan mahu kembali menghayati Islam secara praktikal dan syumul.

Thursday, January 29, 2009

Kamus al-Quran : Episod 1


Alhamdulillah walhamdulillah...atas entri pertama yang sebagai pembuka tirai 2009.

Hari ini adalah hari kedua saya membelek dan memikirkan konsep editing dan layout bagi Kamus al-Quran. Ia baru dimulakan semalam, selepas mengambil alih tugasan rakan sejawat. Ini adalah projek kedua selepas set Doa Ajaran Ilahi, Rasul dan Sahabat yang dibuat secara premium. (Istimewanya set ini dilengkapi kotak dan cd audio doa yang dialunkan oleh Saudara Hazwan, ahli kumpulan Fareast). RM43 sahaja.

Berbalik kepada projek kedua terbesar dalam PTS bagi 2009 ini......
Manuskrip asal dalam format Word, saiz A4, 957 halaman bercetak. Disusun oleh Prof. Dr. Mohd Zulkifli Yusof dengan bantuan beberapa orang pensyarah. Persembahan yang akademik, dilengkapi footnote, mengekalkan transliterasi, disusun mengikut abjad alif ila ya.

Ia adalah suatu pengalaman baru yang sangat mencabar minda saya sepanjang hampir 3 tahun berada dalam bidang kerjaya ini. Mengapa?
  • Kamus ini akan dilancarkan semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (17-26 April 2009).
  • Sesuai dimiliki oleh segenap masyarakat Islam terutama pensyarah, pelajar dan orang awam yang mahu mendalami al-Quran dan bahasa Arab.
  • Sudah ramai pembaca dan peminat yang bertanyakan kemunculan kamus ini di pasaran.
  • Saingan sudah ada di pasaran, tulisan Ustaz Uthman el-Muhammady.
  • Pihak sales PTS mensasarkan 5000 naskhah bagi cetakan pertama.
  • Kamus ini adalah teks semata2, tidak memerlukan illustrasi (sangat membosankan ketika menyunting)
  • Perlu masukkan teks arab dan ayat al-Quran, kadang2 di celah ayat (pc saya di pejabat tiada software arab, jadi saya perlu taip dengan laptop sendiri. Stepnya: taip perkataan arab di word>pdfkan>masuk ke illustrator @ indesign>create outline>save as eps>copy>paste di indesign). Ini step yang tergambar di kepala...
  • Tebal yang amat....
  • Masa yang singkat....
  • Tenaga empat kerat.....
Saya meletakkan target 2 minggu daripada semalam untuk saya selesaikan proses editing + layout. Deadline saya 13 Feb 2009. Walau bagaimanapun, saya akan berikan sekurang2nya 3 huruf kepada Prof Zul untuk disemak. Sepertimana yang dipersetujui, semakan secara berperingkat.

'Ala kulli hal, saya rasa bertuah kerana dapat mengambil projek ini. Insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik demi semua pihak dan umat sejagat. Doakan saya.....
Related Posts with Thumbnails