Showing posts with label Hamil. Show all posts
Showing posts with label Hamil. Show all posts

Thursday, July 15, 2010

Diari & Perancangan WAHM : Episod 1

Alhamdulillah, segala pujian selayaknya buat Allah. Saya bersyukur atas segala nikmat kesihatan dan kelapangan yang dikurniakannya walaupun agak keletihan berada pada trimester ketiga ini. Sejak berpangkat WAHM bermula 1 Julai 2010, beberapa perkara yang dirancang dan diidamkan dapat saya selesaikan sebelum tibanya saat-saat yang dinanti-nantikan iaitu saat menimang cahaya mata. Mengikut tarikh yang diberi oleh doktor dan mesin scan ialah pada 30 Julai 2010.

Yang dirancang:
  • Buka booth jualan buku PTS di karnival SK Selayang Utama - selesai 2/7-4/7
  • Buka booth jualan buku PTS di Masjid al-Firdaus, Selayang - selesai 4/7
  • Buka booth jualan buku PTS di karnival SK Lelaki Jalan Batu - selesai 10/7
  • Menghadiri Women in Business Seminar (anjuran Ummikusayang.com & Hilyah Design - selesai 3/7
  • Daftar syarikat Firdausi Enterprise - selesai 12/7
  • Menghadiri taklimat dan temu duga pembiayaan perniagaan PUNB - selesai 12/7
  • Habiskan beberapa hari puasa yang berbaki - selesai 14/7
  • Menempah sarung tilam dan bantal baby serta tungku baby - selesai 14/7
  • Hantar tugasan pruf buku kepada penerbit PTS Millennia - selesai 15/7
  • Hantar semula baki buku PTS yang tidak dapat dijual - selesai 15/7
Yang diidamkan:
  • Makan kenduri anak saudara - selesai 11/7
  • Cuba buat resipi Puding Roti - selesai 14/7

Senarai perancangan perkara untuk saya selesaikan pun tidak kurang banyaknya:
  • Menyewa rak buku bacaan di Sarakids - hantar 18/7
  • Menghadiri kelas penyusuan di Sarakids - hadir 18/7
  • Mengkhatamkan bacaan al-Quran
  • Menyediakan laporan jualan buku PTS di beberapa karnival
  • Merangka rancangan perniagaan
  • Mengkhatamkan bacaan buku Detik Kelahiran Bayi dan Penjagaan Ibu & Bayi
  • Membeli botol simpanan susu perahan
  • dan banyak lagi perancangan selepas kelahiran permata hati ini

Minggu ini sudah masuk minggu ke-38 kandungan saya. Orang yang tengok saya, ada yang cakap, "Kecilnya perut, macam baru beberapa bulan mengandung." Tidak kurang juga yang cakap, "Takutnya tengok perut, macam buah tembikai!"

Apa-apa sekalipun yang orang hendak cakap, saya tidak kisah. Setiap orang berhak bercakap mengikut pandangan mata dan penilaian sendiri. Apa yang penting sekarang, saya sedang menunggu saatnya tiba. Seperti tidak percaya juga, sudah 9 bulan 2 minggu saya membawa satu nyawa manusia ke sana dan ke mari.

Saya mengharapkan doa daripada semua supaya dipermudahkan saat getir semasa saya bertarung nyawa nanti. Saya memohon kemaafan kepada sesiapa sahaja sekiranya saya ada mengguris rasa dan saya mohon dihalalkan segalanya. Insya-Allah, panjang umur kita bersua lagi dalam suasana baru. Pastinya, kehidupan sebagai WAHM yang lebih mencabar selepas ini. Moga Allah berikan kekuatan.


**(Kali ini entri berbentuk tulisan sahaja, saya akan masukkan gambar-gambar berkaitan dalam episod 2 nanti sebab saya suka mengambil gambar, walaupun tidak pro)

Friday, June 11, 2010

Aktiviti Majalah Mami & Baby

Saya teringat yang saya dan suami pernah ke Mom & Baby Expo 2010 anjuran majalah Mami & Baby. Kami pergi pada hari akhir iaitu 9 Mei 2010 di Exhibition Centre Mid Valley. Pergi dengan menaiki LRT sungguh memenatkan. Macam-macam ada di ekspo ini. Tetapi kami tidaklah borong beria-ia kerana tujuan asal untuk survey sahaja. Lagipun memang bajet yang cukup-cukup sahaja. Di samping memikirkan perjalanan balik nanti pasti semacam berada di dalam tin sardin terutamanya di komuter.


Di ekspo ini sahaja kita dapat lihat puluhan stroller baby penuh sesak dan traffic jam



Shopping barang-barang untuk baby kali pertama


Ini dia barang-barangnya


Beg serbaguna. Untuk baby ke mama & abah baby ni?


Advanced gift. Terima kasih, Mak Ngah Aisyah. Hadiah untuk Dhiya' pun belum beri lagi.
Macam-macam yang mak long nak bagi Dhiya' tau, tapi surprise....
(Sebelum balik rumah, singgah sebentar di rumah adik ipar untuk jenguk Dhiya')



* * *


Hari ini, semasa saya surf internet, saya masuk ke laman web mereka http://www.mamibaby.com.my dan terjumpa iklan berkenaan Bengkel Antenatal untuk Ibu-ibu Hamil. Sebagai persediaan menghadapi saat-saat kelahiran baby dan melalui tempoh berpantang, tentunya saya teruja.


Tarikh : 19 Jun 2010
Tempat : Hotel Boulevard, Mid Valley
Masa : 1 tengah hari - 5 petang
Yuran : RM25 setiap pasangan
Penyertaan : 25 pasangan sahaja


Ada tawaran istimewa, sesiapa yang bayar sebelum 11hb, cuma perlu bayar RM15. Penganjur juga sediakan hadiah kit kelengkapan bayi daripada Huggies bernilai RM45! Apalagi, saya mestilah tidak mahu melepaskan peluang. Cuma yang merunsingkan saya, bila masa untuk kami solat Zohor? Sesiapa ada cadangan?

Petangnya, selepas memaklumkan tentang pembayaran yang sudah saya buat, pihak penganjur menghubungi saya, mengesahkan tentang pembayaran saya sudah diterima. Mereka juga berpesan supaya saya memakai seluar. "Ha???" Saya sedikit terkejut. Rupa-rupanya dalam program nanti ada sesi senaman Pilates. Apakah itu? Yang saya biasa dengar senaman Yoga sahaja.

Bagi mengoptimumkan teknologi dunia di hujung jari, saya google search dan baca link ini:
http://pilates.about.com/od/pilatesforeverybody/a/pregnancyBasics.htm

Ini pula video berkaitan senaman Pilates:




Harap-harapnya tiada aral melintang dan kesihatan saya dan suami baik pada tarikh itu. Serik pula rasanya naik LRT, tambahan pula keadaan saya sekarang tidak mengizinkan lagi untuk bergerak lasak. Moga baik-baik sahaja.... amin....


* Sesiapa yang berminat, masih ada 10 kekosongan lagi! (Updated info tengah hari tadi)

Wednesday, May 26, 2010

Perkembangan Kandungan Zuriat

Minggu 31

Alhamdulillah....

Pejam celik, pejam celik, kandungan saya sekarang berusia 31 minggu. Baby dalam perut sangatlah aktif berpusing-pusing, berguling-guling, tendang-menendang dan menyiku-nyiku perut saya seperti bermain di atas roller coaster. Alhamdulillah, perkembangan baby positif. Saya bersyukur kerana semasa pemeriksaan pada minggu lepas, misi beritahu yang kepala baby sudah berada di bawah. Kuat juga ditekan perut saya waktu itu.



Selepas sahaja mengetahui keadaan saya yang berbadan dua, saya mula mencari bahan bacaan yang berkaitan kehamilan. Maklumlah, ini pengalaman pertama bergelar ibu. Sebelum ini, saya hanya bepengalaman menjadi kakak sulung kepada 7 orang adik.

Antara sumber rujukan saya adalah laman web dan blog di internet, buku serta majalah. Saya menemui blog http://www.babycentre.co.uk pada 23 Dis 2009 dan terus melanggannya kerana penuh dengan informasi berguna, dan yang penting, ia percuma! :) Setiap minggu, saya menerima e-mel berkenaan perkembangan yang berlaku pada diri saya dan juga bayi di dalam kandungan. Alhamdulillah, sedikit sebanyak, keadaan diri yang berubah dari segi fizkal, mental dan emosi terjawab dengan pembacaan ini.

Semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 tempoh hari, saya memborong buku-buku dan majalah berkaitan kehamilan juga. Sebelum ini, mana pernah, kan? Buat pertama kalinya... ;) Bajet pun sekadar memadai, tetapi saya berpuas hati dengan bahan yang dibeli. Bacaan pun belum khatam pun lagi.... Memang tabiat diri, suka membeli buku, tetapi belum tentu dibaca. ;)


Bajet ciput, ini sahaja pembelian di PBAKL 2010


Close up sikit



* * *


Survey Tempat Bersalin, Hospital Selayang

En. Suami acapkali mengajak saya survey hospital, tempat saya akan bersalin nanti. Memang itu sifat dia yang suka survey tempat baru. Banyak faedah, katanya. Oklah, saya turutkan sebab saya pun teruja juga. Jadi, Isnin lepas, kami keluar ke Hospital Selayang. Kami sampai 5 minit sebelum habis waktu melawat jam 7 malam. Maklumlah, jalan jam sebab orang berasak-asak pulang dari kerja. Lupa pula hendak set masa, tetapi lebih kurang 20 minit sahaja perjalanan dari rumah kami.


Peta dari Greenwood ke Hospital Selayang


Kami terus masuk ke bangunan Dewan Bersalin, naik ke Aras 5 dan meninjau-ninjau dewan bersalin, bilik pembedahan, wad bersalin, surau, tandas, ruang menunggu dan kafetaria. Keseluruhannya selesa. Oklah, masa pun sudah suntuk dan hampir maghrib, lalu kami pun keluar. En. Suami tersenyum puas hati. Saya tahu, banyak lagi yang bermain di kepalanya itu. Tetapi, untuk basic info, rasanya cukuplah kot, ye abang? Nanti sampai masanya, abang surveylah puas-puas, okey?


* * *


Survey Barangan Baby dan Ibu

Selepas solat Maghrib di surau, kami berjalan-jalan pula di sekitar Selayang Mall (bukan dalam bangunan itu, di luarnya sahaja). Mula-mula kami menjenguk kedai Anakku. Ada potongan harga untuk pembelian bernilai RM125, hanya bayar RM99. Kami memang tidak berniat untuk membeli-belah, jadi cuci mata sahajalah.

Kedai kedua yang kami terjah ialah kedai pakaian jenis ekonomi (macam Kedai Hari-hari). Untuk ibu mengandung, harganya murah juga. Seluar slack RM24.90, blouse dan maxi RM29.90. Saya belek-belek pula pakaian baby...wah, cantik-cantik dan murah-murahlah! Baju lubang-lubang yang sesuai waktu panas, sepasang hanya RM2.90. Baju kain kapas RM5.90 sepasang dan banyak lagilah. Percaya tidak? Nama pun kedai ekonomi, kan. Ok apa, bolehlah dibuat pakaian harian untuk babyku nanti.

Kami ke bangunan belakang pula, masuk ke Mydin. Terus naik ke bahagian barangan dan pakaian bayi juga. Ada sale untuk pakaian jenama Pureen. Barangan lain juga memang murah harganya. Jadi, saya berulang kali sebut pada En. Suami, nanti kita datang lagi, tau? "Iya...." jawabnya. ;)


* * *


Oleh kerana sangat teringinkan itu, maka kami terus melangkah ke arahnya. Makan malam kami, Sate Kajang Samuri. Sedapnya...makan sambil menonton Jidin. Cerita mengarut...sebab episod akhir dan itu sahaja yang dipasang, layankan je lah....


BoldSate ayam 5, sate daging 5, sate hati, 2, sate ikan 2, sate perut 2,
set nasi himpit, air limau ais 2
Total : RM15.00



Alhamdulillah... erkkk....

Monday, May 3, 2010

Zuriat Pertama Kami

Sebulan 'ia' tidak datang seperti rutin bulanan kebiasaan. Saya excited kerana sudah terfikir, mungkinkah saya....? Untuk memuaskan hati, saya singgah di 7e selepas balik dari kerja dan membeli 'benda itu'. Malamnya, saya sengaja tidak khabarkan pada en. suami, mahu surprisekan dia dan saya juga.

Pagi esoknya, saya keluarkan 'benda itu'. En. suami yang bukakan kotaknya sementara saya di bilik air. Dia hulurkan 'benda itu' dan saya masukkan ke dalam bekas berisi urine. 2 minit kemudian, saya tunjukkan pada en. suami keputusannya. Saya antara percaya dan tidak percaya, betulkah? Saya ambil kotak dan baca semula instructionnya. "Ya, keputusan ini benar, tidak syak lagi!"




Pertama kali seumur hidup beli 'benda ini'

Oleh sebab masih tidak puas hati, saya minta en.suami google seacrh di internet, benarkah keputusan daripada Urine Pregnancy Test ini? Sejauh mana kesahihannya? Jika mengikut hasil pencarian en. suami, kemungkinan besar ia benar dengan keadaan saya. Tetapi saya masih juga tidak puas hati 100%, jadi saya ajak en.suami ke Pusrawi PJ.



2 Dis 2009 - Inilah keputusannya. Alhamdulillah!

Saya tersenyum girang dan gembira tak terkata. Doktor juga 3 kali ucapkan tahniah (tak silap saya). Tapi, ini kali pertama dan terakhir saya check up di Pusrawi kerana terlalu ramai pesakit dan pemeriksaan untuk ibu mengandung hanya sebelah petang dan malam. Lalu, untuk bulan pertama, suami membawa saya buka kad baru di MAIS.



Klinik Majlis Agama Islam Selangor, PJ



15 Dis 2009 - Scan bulan pertama di MAIS.
Belum nampak apa2 lagi, cuma seperti sebutir kacang.


13 Jan 2010 - Scan bulan ke-2 di MAIS.

Kata doktor, denyutan jantung janin tidak kelihatan. Doktor nampak panik, saya, apatah lagilah. Doktor berikan surat arahan untuk buat 3D ultrasound di klinik swasta bawah PPUM esok hari. Dia juga tanya, saya plan bersalin di hospital kerajaan atau swasta? Siap terangkan pro n cons kedua2nya. Saya jawab, kami mungkin pilih hospital kerajaan sahaja. Jadi, itulah kali terakhir kami ke klinik MAIS.

Malam itu, saya bertambah risau dan tidak boleh tidur. Pagi-pagi lagi, saya hubungi no yang doktor beri dan terus setkan appointment, tapi sebelah petang sahaja dibuka. Oh, lambatnya jam 3 petang! Kepala saya berpusing. Hubungi Fariz, abang ipar adik saya (Syakir) tanyakan di mana dia bawa isterinya scan. Katanya di PPUM. Saya teringat pada Kak Shaza (HR PTS) dan minta no KJMC. Terus sahaja saya call. Mereka minta datang sebelah pagi kerana tidak ramai pesakit. Alhamdulillah, memang saya pun tidak mahu menunggu hingga petang. Terus sahaja ajak suami ke sana.



14 Jan 2010 - Scan bulan ke2 kali ke-3 di Kelana Jaya Medical Centre. Alhamdulillah, janin bernyawa dengan baik. Nampak kan, dia yang terbaring itu! Syukur padamu, ya Allah.

Dr Fatimah Najla sangat peramah. Saya tunjukkan padanya surat arahan dan kad rekod dari MAIS. Katanya, mungkin mesin komputer di sana jenis lama dan tidak dapat lihat dengan jelas. Harganya sekarang mungkin RM40k sahaja. Iyalah, saya setuju. Dibandingkan dengan mesinnya yang boleh imbas 4D, boleh nampak rupa baby, berwarna, siap boleh save dalam cd dan bagi pada bakal ayah ibu. Tapi, doktor pula yang tak sarankan buang duit ke situ sebab banyak lagi keperluan lain yang lebih penting untuk baby. Betul3. ;)

Alhamdulillah, tengah hari itu saya masuk ke pejabat dengan hati yang tenang.

Ya Allah, aku bersyukur. Penantian sekian lama akhirnya dimaqbulkan olehmu. Permudahkanlah aku melalui cabaran selama 9 bulan 10 hari ini. Berikanlah aku kekuatan. Jadikanlah zuriat ini penyambung kasih sayang antara aku dan suamiku juga jambatan untuk membawa kami ke Firdausi. Amin.

Related Posts with Thumbnails