Showing posts with label Kutub Khanah. Show all posts
Showing posts with label Kutub Khanah. Show all posts

Monday, May 31, 2010

Jualan Hujung Minggu PTS

29 Mei 2010, Sabtu - Saya mengajak En. Suami ke PTS tengah hari itu kerana waktu rehat kerja. Saya mendapat tahu daripada iklan di laman web PTS (http://pts.com.my/index.php/blog/jualan-hujung-minggu-pts-29-mei-2010). Sebab utamanya adalah kerana saya tertarik dengan diskaun 50%. Mungkin ada buku-buku yang saya idamkan. Dalam fikiran saya, ia seperti jualan gudang. Pastinya meriah! Sukanya saya....



Apabila sampai, keadaan sunyi sepi sahaja di gudang. Rupa-rupanya jualan dibuka di tingkat atas bangunan PTS, bahagian galeri @ bookcafe. Jadi, kami panjat jugalah ke tingkat 3 kerana sudah sampai. Lagipun baru sudah makan tengah hari dengan lazatnya. ;)

Pengunjung yang datang tidak ramai seperti di pesta buku. Tetapi cukup seronok melihat ibu bapa yang datang bersama anak-anak kecil. Mereka sungguh minat dan suka pada buku. Satu tabiat yang saya mahu praktikkan dalam rumah tangga dan keluarga saya, Insya-Allah.



Belek cik abang, belek... jangan tak belek....belinya tidak. ;)


Ruangan yang saya suka



Hasil yang dibawa pulang. Semuanya tidak sampai RM50 pun!


Bila agaknya mahu mulakan pembacaan ya?
Buku mana yang hendak dibaca dahulu? Atau baca serentak ikut mood?
Oh, 'ada apa dengan judul buku' yang dibeli?
Buku apa yang anda sedang baca?

* En. Suami sedang baca Alexander adalah Zulqarnain. Gara-gara mendengar Diskusi Intelek di UIA minggu lepas bertajuk 2012: Adakah Kiamat akan Berlaku? Malam tadi pula dia menonton dvd filem Inggeris, Alexander.


Mari kita berpesta membaca bersama-sama!

Tuesday, February 24, 2009

Kamus al-Quran : Episod 2 dan Jalan-jalan

Manuskrip Kamus al-Quran

Alhamdulillah...hanya rasa syukur yang terucap apabila saya selamat sampai ke Fakulti Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya petang tadi, walaupun perjalanan ditemani hujan sejak bergerak dari pejabat di Wangsa Melawati. Alhamdulillah juga kerana bantuan Asyuura sebagai penunjuk jalan, walaupun dua kali tersalah masuk simpang. (Syura..syura..)Tiba di hadapan pejabat Prof Zulkifli, saya dan Syura terjengah-jengah di pintu mencari bilik Prof. Meninjau-ninjau di sekeliling, rupa-rupanya Prof sedang mengajar di dalam bilik kuliah berhadapan pejabatnya. Beliau ternampak kami. Sejurus kemudian, semua pelajar-pelajar Prof memusingkan kepala ke arah kami.

Apalagi, tersipu-sipu kami dibuatnya...Tiba-tiba, seorang pelajar perempuan membuka pintu dan keluar bertemu kami berdua. Saya nampak Prof mengatakan sesuatu kepadanya tadi. Dia bertanya, "Pelajar Prof ke? Pelajar B.A ke? Ada buat appointment ke? Prof yang minta tanya, datang dari mana..." (Panjang lebar juga soalannya) Jawab saya, "Tak. Saya dah beritahu pada Prof nak jumpa hari ini. Bila kelas ni habis?" Katanya ini kelas pelajar master, habis lewat dalam jam 6 petang. (Pada masa itu, jam baru 3.50 petang)Belum sempat saya menghabiskan jawapan, tiba-tiba pintu terbuka dan Prof muncul.
(Pada masa itu, rupa-rupanya Syura asyik terfikirkan soalan pelajar tadi. "Hmm...nampak kita ni macam student ke? student BA pulak tu..." ngomelnya tidak puas hati).

"Assalamualaikum. Ingatkan nak datang pagi tadi. Jadual saya penuh setiap hari Isnin. Tapi orang nak datang, kenalah raikan," terang Prof. Tidak mahu mengambil masa yang lama, saya menyerahkan sampul coklat, di dalamnya berisi sebahagian manuskrip Kamus al-Quran yang sudah siap disunting dan desain. "Oohh...cantik...." Itulah kata-kata yang terkeluar daripada mulutnya. (Alhamdulillah syukur). Selepas sedikit perbincangan ringkas, kami bersetuju untuk menghantar hasil kerja untuk dipruf melalui emel selepas ini secara berperingkat. Buat masa ini, Prof mempunyai 3 buah buku yang perlu dipruf daripada penerbit lain. (Prof yang seorang ini memang banyak sungguh projeknya, sambil membantu pelajarnya menambah pendapatan dengan mengupah mereka membuat penyelidikan dan menulis). 'Ala kulli hal, saya tetap akan kejar Prof. :)




Kawan Lama

Sebelum pulang,saya ternampak kelibat seseorang di pintu masuk fakulti. Ya, saya tidak salah seorang. Sudah lama saya tidak ketemu dia. Alhamdulillah, dia juga masih ingat pada saya. Dia ramah seperti dulu. Dia fikir saya datang ke sana untuk menghantar kad undangan. Hehehe...pamdai dia mengusik. Saya katakan, "Insya-Allah, 6hb 6 ye..tarikh dah cop, tapi calon belum ada." Berakhir di situ sahaja.

Perkenalan kami sejak saya di matrik lagi. Daripadanya saya belajar loghat 'kelate'sehinggakan saya membuat satu buku khusus untuk mencatatkan setiap perkataan baru yang saya pelajari setiap hari. Seingat saya masih ada lagi dalam simpanan saya. Hmmmm...buat saya tersenyum sendiri...Saya doakan dia sentiasa bahagia bersama zaujah dan putera kesayangannya yang comel, chienese look sepertinya.

Jom Research!

Kami singgah makan dahulu sebelum pulang ke pejabat. Jam menunjukkan jam 5 petang. Tiba-tiba, "Syura, jom kita pergi research kat Pustaka Indonesia! Alang-alang dah nak habis office hour, lagipun akak dah lama tak buat research ni." Saya memberi cadangan. Apalagi si Syura ini memang kaki jalan, memang dia setuju sangat. Saya terus hantar sms pada boss maklumkan perkara itu. Selepas kereta saya bergerak, saya dapat call daripada boss. (Mestilah kena angkat, lagipun masih waktu kerja). Boss minta saya research produk yang banyak dijual di kedai buku dengan harga yang murah. Ini semua kerana misi baru PTS yang mahu jual buku untuk orang kampung. Saya katakan OK sahaja. Syura yang paling gembira kerana akhirnya dapat keluar jalan-jalan. Terima kasih ye Syura, Insya-Allah ganjaran setimpalnya buatmu...:)

Wisma Yakin

Tempat pertama kami tujui ialah kedai buku Erfan Ghani yang berada di tingkat 1, Wisma Yakin. Bangunan berhadapan Masjid India. Ia adalah pengedar utama bagi buku agama terbitan Darul Nu'man. Produk mereka semakin banyak. Banyak judul-judul baru yang diterbitkan. Hasil belek-belekan tangan, akhirnya saya membeli 4 buah buku. Judul-judulnya: Memori Jumaat, Wanita & Darah, Feqh wanita Moden dan Keagungan Tamadun Islam: Sejarah yang Digelapkan. Semuanya berjumlah RM37.50. Inilah hobi saya. Menambah koleksi, belum tentu dibaca, yang pastinya, ia dirujuk untuk mengembangkan kerjaya saya.

Naik pula di tingkat 2, kami memasuki Pustaka Indonesia, pengedar terbesar buku-buku dari seberang (Indonesia). Boleh dikatakan, buku-buku yang diimport semuanya berkualiti. Disebabkan kedai ditutup jam 6.30 petang, kami tidak dapat lepak lama di situ. Saya hanya membayar RM22 bagi buku Nikmatnya Pacaran Setelah Pernikahan. Harga asal RM25.50. (Alhamdulillah, moga Allah mempermudahkan jalan bagi hambanya yang mahu menyempurnakan separuh daripada agamanya..:))



Sebenarnya saya mahu mencari konsep layout untuk Riyadus Solihin, buku akan datang. Juga mahu melihat Kamus al-Quran yang sudah banyak di pasaran. Lalu, kami melangkah pula ke Pustaka Mu'min di Jalan TAR. Kedai ditutup jam 7.30. Masa tidak banyak untuk kami. Tetapi saya sempat mencatatkan sedikit nota untuk dilaporkan kepada boss nanti. Saya terbeli pula buku Haid, Masalah Kesihatan & Seksual Wanita berharga RM15 dan cd nasyid Arab nyayian Abdulqader Qawza. Si'ruhu RM19.90. Alhamdulillah, memang sudah lama saya tercari-cari nasyid Arab yang bertemakan ketuhanan seperti ini. Boleh juga jadi halwa telinga ketika memandu.



Masuk Pejabat Semula


Entri ini ditaip di pejabat, selepas saya menghantar Syura pulang ke terataknya. Fikiran saya agak ringan dan sedikit tenang kini kerana dapat rehat sebentar sebelum saya menyambung semula kerja-kerja pada esok hari. Walaupun saya hanya berjaya menyiapkan huruf alif ila kha faqad. Itupun skip huruf ha. Insya-Allah, saya akan kerjakan projek besar ini dengan sebaik-baiknya. Doakan saya. Ya Allah, bantulah daku...amin.

Thursday, February 19, 2009

Taaruf, Keren…! Pacaran, Sorry Men…!



Buku ini dibeli pada Pesta Buku Islam di Jakarta, awal Mac 2008. Bahasa Indonesia. Selepas tiba di Malaysia, saya hanya membelek-belek sahaja, tetapi ia cukup untuk memberi gambaran mengenai keseluruhan isinya. Pada masa itu, saya fikir belum tiba masa untuk saya membacanya. Lagipun saya fikir, perkara itu remeh sahaja. Saya sudah tahu dan maklum sejak dulu lagi walaupun ia tidak pernah diterangkan dalam mana-mana buku teks sekolah mahupun universiti.

Namun, telahan saya agak menyimpang selepas selesai menamatkan bacaan hingga ke noktah terakhir. Ia mengubah persepsi saya terhadap pegangan yang mungkin tidak berasas. Hakikatnya, situasi yang sedang saya hadapi pada masa ini mengingatkan saya tentang kewujudan buku ini. Lalu, dengan keinginan yang berkobar-kobar, saya mencarinya di celahan buku-buku di atas meja. Ye, saya jumpa! Alhamdulillah, saya berjaya mengkhatamkannya dalam masa dua malam sahaja.

Subhanallah, isi kandungannya amat menarik. Sambil menghadam huraian dan penjelasan penulis yang bersahaja dan santai, perasaan saya bercampur-baur. Ada ketikanya saya tersenyum, tersengih, tergelak dan juga sebak. Menulis pengalaman sendiri ternyata menggeletek jiwa, kerana ia begitu dekat dengan pembaca. Saya juga terkesan kerananya. Ia juga dibantu dengan susunan tajuk-tajuk yang kemas dan praktikal, serta diselitkan cerita-cerita pendek yang membuatkan kita berfikir sebentar.

Saya mencadangkan kepada semua perempuan, mungkin juga lelaki yang sedang meniti usia 20-an untuk membaca buku ini. Ia begitu relevan bagi setiap individu yang mahu mencari pasangan, belahan jiwa dan pendamping hidup di dunia seterusnya di akhirat. Permulaan yang baik akan membuahkan pengakhiran yang baik juga.

Buku ini membawa kita memahami hubungan suami dan isteri yang dimulakan dengan perkenalan yang baik dan berkat, Insya-Allah, bukan berpasangan, berpacaran dan couple sepertimana yang berlaku kini. (Mungkin bagi sesetengah orang menganggapnya sebagai kolot, tak rock, tak sporting, syadid dan sebagainya). Penulis cuba mengajak kita menghayati dan mengamalkan konsep taaruf yang dianjurkan oleh Islam, yang mana ia menekankan konsep tawakkal dan redha pada kedua-dua pihak sama ada lelaki mahupun perempuan.

Antara perkara-perkara yang disentuh dengan gaya penulisan yang halus dan menyentuh naluri dan minda adalah:
Definisi Taaruf
Perbezaan Taaruf dan Pacaran
Kriteria Calon Yang Diidamkan
Kriteria Calon Menurut Sunnah
Solat Istikharah
Kisah Benar – sad ending dan happy ending

Hmmm...Semasa menghayati penulisan ini, saya terfikir untuk menterjemahkan semula buku ini dengan mendapatkan keizinan penulis atau penerbit. (Tapi agak sukar) Atau saya mengambil idea ini, kemudian menulis semula dan mengolah dengan konteks diri sendiri. Bagi saya, pengalaman peribadi saya ada juga yang baik untuk dikongsikan bersama orang lain. Ada kawan mengesyorkan kepada saya supaya menovelkannya. Tetapi saya tiada bakat menulis fiksyen. Iyakah? Belum cuba belum tahu....

Thursday, January 29, 2009

Kamus al-Quran : Episod 1


Alhamdulillah walhamdulillah...atas entri pertama yang sebagai pembuka tirai 2009.

Hari ini adalah hari kedua saya membelek dan memikirkan konsep editing dan layout bagi Kamus al-Quran. Ia baru dimulakan semalam, selepas mengambil alih tugasan rakan sejawat. Ini adalah projek kedua selepas set Doa Ajaran Ilahi, Rasul dan Sahabat yang dibuat secara premium. (Istimewanya set ini dilengkapi kotak dan cd audio doa yang dialunkan oleh Saudara Hazwan, ahli kumpulan Fareast). RM43 sahaja.

Berbalik kepada projek kedua terbesar dalam PTS bagi 2009 ini......
Manuskrip asal dalam format Word, saiz A4, 957 halaman bercetak. Disusun oleh Prof. Dr. Mohd Zulkifli Yusof dengan bantuan beberapa orang pensyarah. Persembahan yang akademik, dilengkapi footnote, mengekalkan transliterasi, disusun mengikut abjad alif ila ya.

Ia adalah suatu pengalaman baru yang sangat mencabar minda saya sepanjang hampir 3 tahun berada dalam bidang kerjaya ini. Mengapa?
  • Kamus ini akan dilancarkan semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (17-26 April 2009).
  • Sesuai dimiliki oleh segenap masyarakat Islam terutama pensyarah, pelajar dan orang awam yang mahu mendalami al-Quran dan bahasa Arab.
  • Sudah ramai pembaca dan peminat yang bertanyakan kemunculan kamus ini di pasaran.
  • Saingan sudah ada di pasaran, tulisan Ustaz Uthman el-Muhammady.
  • Pihak sales PTS mensasarkan 5000 naskhah bagi cetakan pertama.
  • Kamus ini adalah teks semata2, tidak memerlukan illustrasi (sangat membosankan ketika menyunting)
  • Perlu masukkan teks arab dan ayat al-Quran, kadang2 di celah ayat (pc saya di pejabat tiada software arab, jadi saya perlu taip dengan laptop sendiri. Stepnya: taip perkataan arab di word>pdfkan>masuk ke illustrator @ indesign>create outline>save as eps>copy>paste di indesign). Ini step yang tergambar di kepala...
  • Tebal yang amat....
  • Masa yang singkat....
  • Tenaga empat kerat.....
Saya meletakkan target 2 minggu daripada semalam untuk saya selesaikan proses editing + layout. Deadline saya 13 Feb 2009. Walau bagaimanapun, saya akan berikan sekurang2nya 3 huruf kepada Prof Zul untuk disemak. Sepertimana yang dipersetujui, semakan secara berperingkat.

'Ala kulli hal, saya rasa bertuah kerana dapat mengambil projek ini. Insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik demi semua pihak dan umat sejagat. Doakan saya.....
Related Posts with Thumbnails