Showing posts with label Majlis. Show all posts
Showing posts with label Majlis. Show all posts

Thursday, November 17, 2011

Eidul Adha 1432

Bismillah walhamdulillah. Salam Jumaat yang penuh barakah.

Hari ini sudah masuk 22 Zulhijjah 1432. Aci tak saya masih mahu kemas kini cerita raya haji? Hehe.... Sebab sudah ada pendahuluan sebelum ini, saya mesti sambung dan buat pengakhirannya. Betul, bukan? Untuk tatapan sendiri sahaja sebagai nostalgia.

Sebenarnya saya mahu jadikan entri Wordless Friday, bolehkah para blogger?Adakah salah di sisi undang-undang blog sebab hari ini sudah Jumaat? (Saya tidak tahu dari mana asal-usul Wordless Wednesday, mari kita tanya selebriti blog yang ramai peminat, Puan Husna Adnan. :) Jika ia menyalahi undang-undang, saya buat kaedah normal blogger :)


Di Surau al-Ehsan, tempat saya dan suami disatukan. :)

Aktiviti sunnah yang dilaksanakan sejurus memasuki tarikh 10 Zulhijjah adalah bertakbir, kemudian menunaikan solat sunat Eidul Adha, mendengar khutbah raya, menjamah sarapan seterusnya melaksanakan upacara qurban / korban. Ia simbolik kepada umat Islam bagi mengenang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan ketaatan anaknya, Nabi Ismail yang rela mengorbankan diri untuk disembelih sebagai bukti kasih dan cinta mereka kepada Allah. Jika kita bertanya kepada diri kita sendiri, adakah kita sanggup melaksanakannya? Subhanallah, iman saya belum cukup kuat....

Rasulullah saw bersabda: "Tiada suatu amalan pun yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Korban, lebih dicintai oleh Allah swt selain dari menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan korban itu nanti di hari kiamat akan datang berserta tanduk-tanduknya, bulu-bulunya, kuku-kukunya dan sesungguhnya sebelum darah korban itu menyentuh tanah, pahalanya telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kamu semuanya dengan pahala korban itu". (HR. Tirmidzi dan Ibn Majah)

**Lagi info berkaitan Hari Raya Aidil Adha



Aktiviti kami sementara menunggu penyembelihan korban selesai.


Biasanya bila raya haji kami sekeluarga memang tidak sempat bergambar berjemaah. Masing-masing sibuk dengan hal masing-masing. Semasa saya awal remaja dan bujang trang tang tang dahulu (sekarang akhir remaja), saya dan kawan-kawan sebaya selalu duduk di dapur surau bersama-sama makcik-makcik menyediakan keperluan memasak. Tapi apabila sudah beranak kecil ini, saya terpaksa mengecualikan diri daripada bersama-sama mereka. (Alasan!) Sebenarnya ada sedikit segan sebab tiada geng bersama. Jadi, saya dan adik-adik perempuan dan anak perempuan saya balik ke rumah, kononnya masa tidur si kecil saya sudah sampai.



Tetapi sampai di rumah, lain pula jadinya.... kesudahannya si kecil tak tidur pun....

Lebih kurang jam 12 tengah hari, kami ke surau semula untuk makan tengah hari. Tapi adik-adik saya yang sudah malas untuk bersiap-siap tidak ikut sekali.



Close up sikit. Kami makan setalam; saya, mama, Alang dan Adik.

Saya suka datang ke surau ini. Sejak kecil, mama dan baba bawa kami adik-beradik ke surau ini terutama pada bulan Ramadhan untuk iftar berjamaah, solat sunat tarawih dan aktiviti kemasyarakatan. Yang paling saya suka adalah waktu makan sebab kami makan menggunakan talam. Satu talam biasanya untuk empat atau lima orang. Ia mengingatkan kenangan zaman tadika dan sekolah rendah saya dahulu. Awal-awal dulu saya terfikir, "Cukup ke nasi dengan lauk ni?", "Kenyang ke makan kongsi ramai-ramai macam ni?" Tapi yang peliknya, selesai makan, bukan sahaja rasa cukup makan malah kenyang. Nabi SAW nyatakan, "Makan berjemaah itu ada keberkatan." Allahu a'lam. Tapi Nasi Ambeng memang kena makan berjemaah, bukan?

**Klik pautan ini untuk info lanjut berkenaan makan berjemaah.
**Panduan kaedah makan gaya Nabi SAW

Sebenarnya hari itu, kaum perempuan makan dalam pinggan, tetapi saya teringin sangat mahu makan dalam talam. Ibu mertua adik saya yang baik hati sanggup tolong ambilkan talam dari pihak lelaki. Terima kasih Makcik Jamaah! ("Bertuah hang, Alang dapat mak mentua baik hati. Alhamdulillah, mentua I pun baik hati jugak. Hehe....")



Cik Farhanah sudah siap untuk balik ke kampung Tok Nek di Serdang, Kedah. (Serdang bukan di Selangor aje ye!)

Di kampung, saya sempat berjumpa keluarga Pak Su, Mak Long dan sepupu saya, Abang Harun yang baru berkahwin. Memang tradisi mama saya, selagi boleh akan diusahakan juga untuk pulang menjenguk Tok walaupun sekejap. Tok hidup sendirian selepas arwah Tokwan meninggal dunia dua tahun lepas. Walaupun tidak ramai anak-anak dan cucu cicit yang dapat pulang, kami harap kepulangan kami dapat menceriakan Tok.



Aktiviti barbeque 3kg daging korban pada hari raya kedua.

Gunakan sistem giliran bagi membakar daging supaya semua dapat pengalaman. Kaedah membakar yang tidak profesional. Kipas elektrik turut membantu. Hasilnya diratah bersama-sama semasa panas-panas. Memang best walaupun tanpa cicah air asam! Sebahagiannya dibuat sup untuk bihun sup, dimasak menjadi daging goreng kunyit dan daging masak kicap lalu dimakan bersama nasi putih. Biarpun ringkas, mmmm... makan berjemaah sememangnya menyeronokkan! Tambah-tambah dengan keluarga, bukan?



Giliran terakhir.


Ini dia lelaki melayu terakhir yang paling banyak makan daging bakar. Sudahnya lenguh mulut semalaman kerana letih mengunyah daging liat. Hahaha....



Alhamdulillah, terima kasih ya Allah kerana Engkau masih berikan peluang kepadaku untuk bersama-sama keluargaku walaupun sekejap. Jangan Kau tarik nikmat ini daripada kami. Peliharalah kami daripada api nerakaMu, ya Allah.

**Saya harap umur saya panjang. Mahu tunaikan haji. Mahu solat sunat eiduladha berjemaah dan sertai korban. Insya-Allah.

Thursday, November 10, 2011

Eidul Adha 1431 + Menjelang Eidul Adha 1432

Bismillah walhamdulillah.

Syukur pada Allah kerana masih memberi peluang kepada diri ini untuk terus hidup hingga ke saat ini. (Terima kasih juga kepada pihak blogspot kerana tidak mematikan blog ini walaupun pemilik blog tidak menjaganya dengan baik).

Sementara masih dalam bulan Zulhijjah ini, rasanya belum terlambat lagi untuk saya mengemaskini memori Eidul Adha saya bersama keluarga tahun ini. Siap buat pecahan bahagian sebab saya seperti hilang ingatan pada apa yang berlaku selepas petang Eidul Adha tahun lalu. (Raya dua tahun sebelum itu lagi saya tidak ingat. Astaghfirullah). Yang saya ingat, saya tinggalkan si kecil Iffah pada ibu mertua dan saya keluar menunaikan solat sunat raya di Masjid Hidayah Kelana Jaya, Ustaz Tarmizi (Juara AQ) yang jadi imam dan khatib khutbah. Memang sedap sangat bacaan beliau. Kemudian kami menziarahi pusara arwah ayahanda suami merangkap bapa mertua saya. Selepas makan-makan dan bergambar kenangan dengan keluarga mertua, petangnya kami terus pulang ke kampung sebelah saya pula. Itu kisah tahun lepas-1431H.


"Bapak, saya menantu sulung bapak datang ziarah. Saya doakan semoga segala amalan sedekah jariah bapak semasa di dunia, ilmu-ilmu yang bapak sampaikan kepada para pelajar dan masyarakat juga doa daripada anak-anak bapak yang soleh dan solehah tidak memutuskan bekalan pahala untuk bapak di sana. Semoga rohmu tenang dan dipelihara Allah. Amin."


Sedang bersihkan sekitar pusara ayahanda yang penuh dengan daun-daun kering. Terima kasih pada pihak pengurusan kubur yang memelihara kawasan perkuburan ini dengan baik. Mereka siap sediakan air mawar dan bunga tetapi perlu bayar RM1.


Cik Iffah Farhanah waktu ini berusia empat bulan. Montel juga anak ummi ni.... Geram :)


Eidul Adha pertama bersama. Alhamdulillah.


Tahun ini-1432H, kami merancang berhari raya di PJ bersama keluarga mertua saya lagi kerana mengikut perancangan ibu mertua. Namun pada Hari Arafah 9 Zulhijah, dengan kehendak Allah, saya terbaca status FB adik ipar yang mereka sudah berada di Gurun. Oh, plan sudah berubah dan kami tidak maklum lebih awal tentang perkara itu. (Itulah nasib bila kurang berkomunikasi terutama bagi hal-hal penting). Kebetulan pada masa itu saya sedang mengemas beg pakaian kami anak-beranak, jadi saya terus ajak Encik Suami balik ke kampung saya selepas Zohor. Alhamdulillah, rasa seronok sangat dapat juga pulang ke kampung halaman sendiri.... Sebab kali terakhir balik kampung adalah semasa raya Eidul Fitri. Sangat rindu pada mama, baba dan adik-adik. Kali ini semua adik-adik saya dapat berkumpul kecuali adik lelaki saya yang beraya dengan keluarga sebelah isterinya dan adik saya, Aisyah nun di perantauan. (Hati kecil perempuan memang begini, tambah lagi saya anak sulung, kan?)

Perjalanan kami bermula selepas membeli sebatang lemang di tepi jalan keluar kawasan perumahan kami. (Gaya macam nak balik kampung yang jauh sangat bunyinya). Seumur hidup saya, inilah kali pertama saya membeli lemang untuk keluarga. Saya kurang gemar kerana kadang-kadang ia keras atau mantah (sebutan orang utara). Saya lebih 'gila' makan ketupat daun palas atau ketupat daun pisang buatan tok saya. (Sampai rasa terkilan sebab raya Eidulfitri yang lepas rasanya saya dapat makan sedikit sahaja ketupat, padahal makan lebih banyak daripada orang lain :))


Ada sekeluarga Cina pun datang beli lemang bersama-sama saya tadi. Katanya mahu makan pagi esok maknanya pagi raya. Wah, berjaya konsep 1 Malaysia! Yang lebih penting, semoga mereka diberi hidayah oleh Allah bagi merasai kemanisan iman dan Islam.


Dari mula masuk lebuh raya di Hospital Sungai Buloh, pergerakan kenderaan agak perlahan. Tidak pula saya menyangka ramai orang mahu pulang beraya ke kampung halaman. Lagi-lagi ke arah utara tanah air tercinta. Mungkin ada yang sambung cuti panjang sebab di Malaysia yang tercinta ini, biasanya cuti raya Haji sehari sahaja sedangkan sepatutnya disambut dengan 'meriah'. Kebiasaan kami dalam dua jam boleh sampai ke Ipoh, tapi kali ini memakan masa hampir empat jam. Solat Asar belum ditunaikan. Melihat semua RnR penuh dan perlu beratur panjang, kami ambil keputusan untuk keluar dari lebuh raya dan singgah di pejabat tol Bidor dan recharge tenaga di situ. (Mungkin boleh jadi tip bagi sesiapa yang mahu melarikan diri daripada kesesakan di RnR lebuh raya).


Semasa singgah di RnR Rawang bagi memberi makan kepada Cik Iva. Awan sudah semakin hitam di sana. Sememangnya hujan rahmat menemani sang musafir selepas itu. Teringat pada jemaah haji di Arafah
yang sedang berwuquf, semoga ibadah mereka diterima Allah.


Alhamdulillah kami selamat tiba lebih kurang jam 8.20 malam. Baba menyambut kepulangan kami dengan sedikit terkejut. (Oh, lamanya tidak lihat wajah itu). Sebenarnya semua pun terkejut sebab kami pulang ke Ipoh pula. Sengaja kami tidak beritahu mereka lebih awal plan berubah sebab mahu buat kejutan. Surprise, kan?

Di dapur sudah ada empat batang lemang. Setiap satu berbeza hasil pembakarannya. Yang saya beli agak keras. Yang baba dan adik ipar saya beli, ada yang OK dan ada yang mantah. Nampaknya tiada hidangan ketupat daun palas :(


---bersambung insya-Allah. ---


**Kadang-kadang rasa mahu delete sahaja blog ini, entah untuk apa kewujudannya pun saya tidak tahu. Namun saya masih merasakan perlu ada blog sebagai ruang catatan pengalaman, perkongsian, perancangan dan luahan. Atau sebab seronok tengok orang lain ada blog, aku pun ada! Tapi orang lain update, kau ada? Tepuk dada tanya selera.... huhu

Saturday, December 11, 2010

Kembali Bersiaran!

Assalamualaikum....

Ada orang ke tak ni.....? Uhukk! Uhukk!

Teratak maya saya ini penuh dengan habuk dan sawang selepas hampir 5 bulan dibiarkan. Astaghfirullah. Kasihan pada kalian yang datang bertamu, tetapi teratak ibarat tidak bertuan.
Saya mohon jutaan kemaafan.

Kalian, saya datang kembali bagi menebas samun dan lalang. Marilah temankan saya. Sebetulnya, hari-hari saya melihat orang lain membersihkan 'rumah' mereka, saya pula hari-hari seronok bertandang ke 'rumah' mereka, yang akhirnya menginsafkan saya supaya mengemas rumah sendiri, jangan asyik 'berjalan-jalan.' Insya-Allah sempena tahun baru 1432 / 2011, saya berazam tidak membiarkan halaman ini sepi dan sunyi lagi.

Sebetulnya, apa yang saya sibukkan dalam tempoh 5 bulan itu? Sesungguhnya saya memang sibuk, (ewah!) disibukkan dan sengaja menyibukkan diri. Jadi, dengan sukacitanya saya ingin mengisahkan cerita saya beberapa bulan lepas.
  • Pertama - Seminggu selepas entri terakhir pada 19 Julai 2010 iaitu secara tepatnya pada jam 5.29 petang, 25 Julai 2010, 13 Syaaban 1431, di Hospital Selayang, alhamdulillah saya selamat melahirkan puteri sulung seberat 2.96kg dengan panjang 49cm secara normal.

    Terima kasih kepada semua yang menghulurkan ucapan dan doa untuk kami sekeluarga. Moga Allah mengurniakan zuriat yang soleh dan solehah untuk kita dan kalian semua.


    Syukur atas kurniaanMu. Puteri, kehadiranmu melengkapkan kami.

    • Kedua -Selepas 7 hari lahir ke dunia, secara rasminya nama puteri diumumkan semasa majlis cukur jambul. Terima kasih pada hadirin yang sudi meraikan cucu kedua mama dan baba saya malam itu.

    Iffah Farhanah binti Muhammad Fadhli.
    Semoga 'kesucian' dan 'kegembiraan' sentiasa menyelubungi diri anakanda di dunia dan akhirat.

    • Ketiga - Sedang kaum muslimin muslimat berpuasa, saya pula berpantang selama 45 hari di Ipoh. (Tok saya cakap, kita orang Islam kena ambil nombor ganjil sebab Allah suka). Leganya dapat juga berpuasa 4 hari. Saya lebih rela bersalin daripada berpantang. (Huih, ayat!) Bolehkah begitu?

      Saya ucapkan terima kasih pada suamiku dan keluargaku tercinta khususnya Tok Mah dan adikku Aisyah yang menjaga saya sepanjang berpantang. Tanpa kalian, pastinya tidak terurus hidupku anak-beranak. Juga terima kasihku pada ibu mertuaku yang hadiahkan set rawatan selepas bersalin Amway, Tropical Herb. Ia memang berjasa walaupun tak sempat habiskan semua. (Ada expired date kah?)
    • Keempat - Tahun ini kali pertama sambutan eidulfitri saya bersama suami dan puteri. Walaupun saya dan suami tidak berbaju baru, tetapi bahagia tetap terasa apabila bertiga. Alhamdulillah.

    Photo Albums at WiddlyTinks.com

    • Kelima - Pada hari raya kelima tahun ini , adik saya yang kedua, Asma' selamat ditunangkan dengan adik kawan saya. (pada tarikh yang sama tahun 2009 saya pula dinikahkan). Pepatah menyebut, "Ikan di laut asam di darat, dalam kuali bertemu jua." Adik masih belajar di Makassar, indonesia, manakala bakal adik ipar bekerja di Ipoh, Perak. Alhamdulillah, walaupun semuanya terlalu pantas (2 hari sebelum raya keluarga pihak lelaki bertandang untuk tetapkan tarikh), majlis dapat diraikan dalam sederhana. Moga ikatan ini berkekalan hingga ke hari bahagia hendaknya. Lepas ni mungkin tiap-tiap tahun kami sibuk berkenduri kendara sampai habis adik bongsu saya yang baru 8 tahun tu. Wah! Bilalah akan habis agaknya... (Moga Allah permudahkan urusan jodoh adik-adik saya)


    Sekian sahaja sedikit perkembangan daripada saya. Kalau hendak diikutkan, terlalu banyak yang berlaku dan berlalu. Tidak perlulah saya ceritakan semuanya di sini. Memadailah ini sahaja sebagai ole-ole untuk tatapan sesiapa yang sudi mengikuti teratak saya ini. Terima kasih buat pembaca yang sudi klik 'follow this blog'. Insya-Allah, moga ukhuwah kita bertambah erat. Yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita mesrakan, yang mesra kita serasikan.

    Friday, October 16, 2009

    Cinta Facebook...Akhirnya Bersatu

    ~ Alhamdulillahi Rabbil Alamin....~
    Segala pujian hanya bagi Allah, Tuhan sekalian alam.
    Penantian akhirnya berkesudahan.
    18 Julai 2009 - Di dalam inbox akaun e-mel PTS, saya menerima satu e-mel salam perkenalan daripada Fadli Cikgu Pencen, salah seorang hamba Allah di dalam senarai kawan Facebook saya. Entah siapa gerangannya, saya juga tidak tahu.
    24 Julai 2009 - Saya membalas huluran salam itu dengan hati terbuka selepas meneliti serba sedikit profil mengenainya. Juga atas saranan seorang teman baik yang punya naluri membaca 'instinct' manusia.
    26 Julai 2009 - Ditaqdirkan Allah, tanpa appointment, kami terchatting di ruang chat FB, seterusnya berpindah ke YM. Sudah terasa keserasian walau pertama kali berbual. Perkenalan berterusan melalui ruangan maya.
    1 Ogos 2009 - Pertemuan pertama secara face to face.
    10 Ogos 2009 - Saya bertemu dengan keluarganya di kediaman mereka di PJ buat kali pertama.
    Ditolak, tambah, bahagi dan darab, 68 hari selepas e-mel perkenalan itu, kami berdua berjanji untuk sehidup semati bersama. Alhamdulillah, tempoh perkenalan yang singkat dan padat, akhirnya menyatukan dua hati. Inilah dinamakan taqdir dan kami gembira dan redha dengan qadha qadar Allah ini.
    5 Syawal 1430 bersamaan 24 September 2009, kami selamat diijabqabulkan bersaksikan tok kadi, Ustaz Mazlan, dua orang saksi, Cikgu Omar danUstaz Fisol, ayahanda, bonda, kaum keluarga, sanak saudara dan sahabat handai di Surau al-Ehsan, Ipoh, Perak. Ayahandaku, Md Tahir bin Yahaya menikahkan kami. Dengan dua kali lafaz, kami sah sebagai paangan suami isteri.
    Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Semoga Allah memberkati masjid yang dibina ini. Semoga ia berkekalan hinnga ke syurga!
    Butiran maklumat majlis Walimatul Urus:
    Pihak perempuan - 29 November 2009 (Raya ke-3 Eiduladha) di Ipoh, Perak.
    Pihak lelaki - 12 Disember 2009 di Kaki Gunung Jerai, Gurun.
    Insya-Allah, kad undangan akan dihantar pada awal November ini. Semoga sahabat dan teman semua dapat hadir meraikan majlis kami ini. Moga kehadiran kalian menambah keberkatan dan kebahagaian kami.

    Wednesday, July 1, 2009

    Walimah Syakir & Aisyah @ Ipoh, Perak


    Selamat Pengantin Baru

    kami ucapkan selamat pengantin baru
    kekal abadi buat selamanya
    berbahagialah suri di dalam rumah tangga
    kasih yang bersemi mula mekar berbunga

    pernikahan adalah diperintahkan
    sunnah baginda yang dimuliakan
    bahtera dikemudi bersama sehaluan
    keimanan di hati dijadikan pedoman

    pabila dua hati bercantum menjadi satu
    kata disepakati tanda telah setuju
    majlis diraikan pengantin tersimpuh malu
    santapan dihidangkan buat para tetamu

    rasul berbangga dengan ummat yang ramai
    kerana itulah kita digalakkannya
    tanda agama indah berkembang
    ummat islam maju gemilang
    terbina ummat yang terbilang
    persaudaraan

    Album : Layar Keinsafan
    Munsyid : Mestica
    http://liriknasyid.com

    Monday, April 6, 2009

    Aktiviti Hujung Minggu

    Hujung minggu minggu lepas, masa saya dan kawan-kawan serumah terisi sepenuhnya. Lama sudah tidak menghabiskan masa dengan aktiviti santai begini. Alhamdulillah, perancangan kami berjalan lancar dan mengikut seperti yang direncanakan.



    JUMAAT Malam



    Bidan Terjun: Pengapit Pengantin



    Sempena Majlis Resepsi pasangan pengantin Tarmizi & Nurul Hafizah dan Hafizal & Zatul



    Siap ada raptai malam sebelum majlis



















    ***



    SABTU Tengah Hari



    Majlis Resepsi























    Bersama junior SERATA, Azsida dan anak sulungnya, Danish, (10 bulan). Dalam perut ada seorang lagi (5 bulan)



    ***



    SABTU Petang



    Ziarah Rakan Sekerja, Bai di Hospital Serdang



    Alhamdulillah kami sempat datang melawat, rupa-rupanya Bai boleh keluar dari hospital esoknya. Hampir 2 minggu ditahan di hospital kerana menghidap penyakit buah pinggang. Bai kini menjalani rawatan dialisis dan selepas ini boleh melakukannya di rumah sahaja setiap 4 jam sekali. Kemungkinan Bai akan terus bekerja dari rumah. Marilah kita bersama-sama memberi sokongan untuk Bai. Hidup Bai!









    Bersama isterinya yang sentiasa menjadi teman di sisi





    Bai yang ceria dengan lawak jenaka Kak Ann



    ~ Bai, kami doakan semoga Bai cepat sembuh dan ceria-ceria selalu...~



    ***



    SABTU Malam



    Majlis Ulangtahun Perkahwinan ke-30 Pak Latip





    Pak Latip beramah mesra dengan kami, geng PTS





    Seperti Andrea Hirata pria berbaju merah itu. Siapa ya..?





    Restoran Terapung Makanan Laut De Tasik di UNITEN





    Sis Ann dan Sis Shikin





    Ida Munira & suaminya, Amin (Bekas pramugara tu)



    ~ Terima kasih atas undangan istimewa ini. Semoga kebahagiaan sentiasa memayungi kehidupan Pak Latip sekeluarga ~



    ***



    AHAD Pagi



    Sarapan bihun goreng di teratak Kak Ann, Sungai Ramal, Kajang, yang penuh dengan kucing-kucingnya. Sempat merakam panorama indah di sekitar halaman rumahnya.


















    ***



    AHAD Tengah Hari



    Ziarah ke banglo Ida Munira di Taman Jasmin, Kajang











    Mohd Danish yang sangat comel dan suka berbual walaupun baru 7 bulan. Saling tak tumpah wajah papanya.























    Semua aunty ni sudah tidak sabar mahu jadi ibu...huhu...



    ***



    AHAD Petang



    Ziarah Ibu Saudara Shikin di Seri Kembangan. Pasangan yang baru sahaja mendirikan rumah tangga November tahun lalu.



    ~ Semoga terus bahagia ~



    ***



    6.00 petang- Kami tiba di teratak Wangsa Budi dalam keletihan yang teramat sangat. Alhamdulillah semuanya selamat....















    Saturday, March 28, 2009

    Walimatul 'Urus Mohamed Syakir & Nur Aisyah: Episod 2

    Gambar sekitar Majlis Kesyukuran Merai Mempelai dan Tetamu



    15 March 2009 / 18 Rabi'ul Awal 1430
    Kampung Jeram, Beserah
    Kuantan, Pahang

    Tuesday, March 17, 2009

    Walimatul 'Urus Mohamed Syakir & Nur Aisyah: Episod 1

    Bismillah walhamdulillahi rabbil ‘alamin.

    Dengan rahmah dan inayah Allah SWT, selesai sudah majlis aqad nikah dan kenduri kesyukuran satu-satunya adik lelaki kesayangan saya, Mohamed Syakir dengan pilihan hatinya, Nur Aisyah Abdul Talib semalam. Moga rahmat Allah memayungi majlis barakah ini yang berlangsung dalam suasana penuh kesederhanaan dan dilimpahi hujan rahmat.


    "Aku terima nikahnya Nur Aisyah binti Abdul Talib dengan mas kahwin Ringgit Malaysia 22.50 tunai...!" Alhamdulillah, hanya dengan sekali lafaz dengan penuh yakin dan konfiden. SAH!


    Mendengar khutbah zawaj dengan penuh khusyuk dan debaran

    “Barakallahu lakum wabaraka ‘alaikum waja’ala bainakuma fi khair.”

    Satu episod baru bermula dalam hidup hero saya, mama, baba, adik-adik dan saya sebagai kakak sulung. Semoga kehadiran insan baru ini sebagai sebahagian daripada ahli keluarga kami membawa rahmat dan keberkatan yang melimpah ruah kepada kami sekeluarga, insya-Allah.







    Sebagai kakak sulung, Along sedikitpun tidak berkecil hati kerana adik lelaki Along lebih dahulu menamatkan zaman bujang dan membawa menantu pertama buat mama dan baba. Malah, Along menumpang gembira kerana Abang membuatkan mama, baba dan ahli keluarga berasa bahagia. Titisan air mata yang jatuh tatkala lafaz aqad nikah semalam adalah air mata gembira. Ketahuilah, Along sentiasa mendoakan jodoh dan kebahagiaan kalian berpanjangan hingga ke syurga. Jauh di sudut hati, Along redha dan pasrah bahawa jodoh Along belum tiba lagi. Along yakin, Insya-Allah, ia akan tiba jua suatu masa nanti.


    15 March 2009 / 18 Rabi'ul Awal 1430
    Kampung Jeram, Beserah
    Kuantan, Pahang
    Related Posts with Thumbnails