Monday, July 19, 2010

Seminar Pemasaran Facebook & Sarakids

Alhamdulillah, walaupun dalam keadaan sarat mengandungkan anak pertama, saya masih diberi kekuatan oleh Allah bagi menghadiri sesi Seminar Pemasaran Facebook anjuran Internet Marketer Training Center (IMTC) pada Ahad, 18 Julai 2010.


Saya tertarik dengan topik Pemasaran Fan Page dan Facebook serta yurannya ;)

Banyak ilmu dan pengalaman yang saya timba daripada 2 orang sifu IM yang hebat ini. Pembentang pertama ialah tuan Gero Azrul, pakar pemasaran internet dan affiliate yang menekankan konsep AIDA dalam bisnes yang diusahakannya. Ternyata ia berkesan dan terbukti. Apakah AIDA?
A- Attention
I- Interest
D- Desire
A- Action

Apa yang dapat saya simpulkan, setiap usahawan perlu memasarkan diri (kata mudahnya 'jual diri') di khalayak sebelum memasarkan produk. Apabila kehadiran usahawan itu disedari oleh bakal pelanggan dan prospeknya, apa sahaja yang bisnes yang yang dijalankan oleh beliau akan mudah diterima kerana beliau sudah membina kepercayaan mereka. Antara cara cepat dan mudah juga adalah dengan menghadiri program-program dan mengambil gambar bersama sifu, pakar dan orang-orang ternama dalam bidang usahawan, lebih-lebih lagi yang sama dengan niche kita. Dengan cara itu, ia dapat membina kredibiliti usahawan itu sendiri.


Jadi, saya ikut cakap sifu Azrul. Mari kita bergambar! ;)


Dalam slot bersama tuan Safuan, pakar pemasaran Facebook pada sesi petang pula, kami didedahkan tentang aplikasi pemasaran melalui Facebook. Pada tahun 2008, beliau memulakan bisnes menjual kuih raya melalui FB dan keuntungan yang diperoleh sebanyak RM600. Bagi saya, ia berbaloi sebagai side income.

Bersama usahawan muda internet berusia 25 tahun. Saya kagum dengan anda!
Kanan sekali, Kak Norita yang tidak lokek berkongsi ilmu. Terima kasih, akak. Keep in touch! :)


Apabila kita berfikir mahu menjadi usahawan, perkara yang paling penting difikirkan adalah produk. Jika tiada produk, apa yang mahu diusahakan dan diniagakan? Menurut sifu Safuan, pada era ini, ada 3 jenis bidang niaga yang boleh dilakukan oleh usahawan iaitu menjual:
  1. Produk fizikal
  2. Produk digital
  3. Perkhidmatan / servis
Sebagai permulaan, beliau menyarankan kepada usahawan memilih salah satu bidang dan fokus. Apabila ia mendatangkan hasil, usahawan boleh cuba menjalankan ketiga-tiganya. Ia bergantung pada tahap kemampuan individu sendiri. Tetapi, jangan jadi 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran' dan akhirnya menyesal dan putus asa. Bagi saya pula, buat masa ini, saya fokus kepada 2 bidang iaitu bidang 1 iaitu jualan buku PTS + tudung labuh Tudung Nur dan bidang 3 iaitu perkhidmatan suntingan dan pruf buku . Insya-Allah, saya teringin juga mencuba bisnes bidang 2 suatu hari nanti.


Bersama semua peserta yang aktif dan bersemangat. Saya mahu ambil aura mereka.


Gambar-gambar sepanjang program di sini.


* * *

Pulang dari IMTC, saya dan suami berkejar pula ke TTDI Jaya. Kami sesat walaupun saya sudah google map sebelum ini. Tetapi akhirnya sampai juga ke destinasi walapun dah hampir maghrib. Terima kasih Puan Paan @ Farah dan suami kerana guide jalan. Ada sedikit sedih kerana tidak dapat bertemu pemilik Sarakids ini (tapi ok juga sebab sudah comot bagai. ;)), tetapi tetap gembira sebab akhirnya dapat juga menjejak butik ini yang luas, cute, banyak barang dan tenang sekali. Saya jatuh cinta!


Ada playground


Barang-barang yang cute-mute


Bagaimana? Siapa yang tidak suka, kan?

Di ruangan inilah produk yang saya bawa akan ditempatkan.


Saya fikir satu tingkat rak sudah cukup sebab saya bawa buku tidak banyak
(sebab selalunya saya bawa berkotak-kotak untuk jualan di booth. Hehe)


RUPA-RUPANYA....

Mungkin tiga tingkat rak sebab ada 24 judul buku semuanya!
Tamaknya saya!
;)



Antara buku-buku bacaan terbitan PTS untuk kanak-kanak dan ibu bapa kini ada di Sarakids


Terima kasih Puan Farah atas peluang yang diberikan! Insya-Allah, semoga jalinan kerjasama ini adalah titik permulaan untuk kerjasama yang berterusan pada masa akan datang.


Tumpang bergambar di premismu, Paan!

Sebenarnya bukan mudah untuk saya membuat keputusan bagi melepaskan jawatan makan gaji sepenuh masa. Saya ada kisah panjang sebelum ini. Mungkin 3 hari 3 malam baru habis cerita agaknya. Tetapi saya yakin, semua yang berlaku adalah qadha dan qadar yang sudah Allah tetapkan untuk saya dan saya redha. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk hambanya. Sesungguhnya saya gembira dengan apa yang saya lalui sehingga hari ini. Semoga saya terus istiqamah untuk hari-hari mendatang. Amin.

Friday, July 16, 2010

Cubaan Pertama Membuat Pancake

Selepas Subuh, saya terfikirkan menu untuk sarapan. Stok bahan mentah sudah kehabisan (sengaja tidak dibeli sebab tunggu masa bersalin, kemudian balik berpantang di Ipoh). Tiba-tiba, saya teringat satu resipi ringkas yang pernah disalin dan disimpan di handphone, dengan niat akan buat suatu hari nanti. Alhamdulillah, hari ini rupa-rupanya.


Resipinya saya tidak ingat pula cedok dari mana, tetapi seperti biasa saya ubah suai sedikit mengikut bahan yang ada.


Cairkan marjerin.


Tuang ke dalam bekas dan pecahkah telur.


Masukkan tepung gandum + baking powder.


Seling selikan dengan susu segar (saya gantikan dengan susu cair).


Masukkan gula. Saya tambahkan dengan kismis.
Rasa macam sedap je bila nanti.



Sendukkan ke dalam pan. Biarkan ia melebar sendiri. Gunakan api kecil sahaja.


Biarkan ia keluar gelembung begitu.


Kaupkan ke belakang. Alamak, hangit sikit! Hehe...cubaan pertama kan... ;)


Pancake 1! Siap!


Dapat buat 4 keping sahaja sebab saya senduk 2 kali ke dalam pan.
Macam-macam saiz ada. Hehe....



Kami makan cicah dengan gula sahaja.
Boleh juga dimakan dengan jem, susu pekat, coklat cair atau
apa sahaja mengikut citarasa sendiri.


Macam resipi Kak Nor ini pun nampaknya 'yummy' dengan coklat dan strawberinya. Nyum nyum....



Selamat mencuba!

Thursday, July 15, 2010

Diari & Perancangan WAHM : Episod 1

Alhamdulillah, segala pujian selayaknya buat Allah. Saya bersyukur atas segala nikmat kesihatan dan kelapangan yang dikurniakannya walaupun agak keletihan berada pada trimester ketiga ini. Sejak berpangkat WAHM bermula 1 Julai 2010, beberapa perkara yang dirancang dan diidamkan dapat saya selesaikan sebelum tibanya saat-saat yang dinanti-nantikan iaitu saat menimang cahaya mata. Mengikut tarikh yang diberi oleh doktor dan mesin scan ialah pada 30 Julai 2010.

Yang dirancang:
  • Buka booth jualan buku PTS di karnival SK Selayang Utama - selesai 2/7-4/7
  • Buka booth jualan buku PTS di Masjid al-Firdaus, Selayang - selesai 4/7
  • Buka booth jualan buku PTS di karnival SK Lelaki Jalan Batu - selesai 10/7
  • Menghadiri Women in Business Seminar (anjuran Ummikusayang.com & Hilyah Design - selesai 3/7
  • Daftar syarikat Firdausi Enterprise - selesai 12/7
  • Menghadiri taklimat dan temu duga pembiayaan perniagaan PUNB - selesai 12/7
  • Habiskan beberapa hari puasa yang berbaki - selesai 14/7
  • Menempah sarung tilam dan bantal baby serta tungku baby - selesai 14/7
  • Hantar tugasan pruf buku kepada penerbit PTS Millennia - selesai 15/7
  • Hantar semula baki buku PTS yang tidak dapat dijual - selesai 15/7
Yang diidamkan:
  • Makan kenduri anak saudara - selesai 11/7
  • Cuba buat resipi Puding Roti - selesai 14/7

Senarai perancangan perkara untuk saya selesaikan pun tidak kurang banyaknya:
  • Menyewa rak buku bacaan di Sarakids - hantar 18/7
  • Menghadiri kelas penyusuan di Sarakids - hadir 18/7
  • Mengkhatamkan bacaan al-Quran
  • Menyediakan laporan jualan buku PTS di beberapa karnival
  • Merangka rancangan perniagaan
  • Mengkhatamkan bacaan buku Detik Kelahiran Bayi dan Penjagaan Ibu & Bayi
  • Membeli botol simpanan susu perahan
  • dan banyak lagi perancangan selepas kelahiran permata hati ini

Minggu ini sudah masuk minggu ke-38 kandungan saya. Orang yang tengok saya, ada yang cakap, "Kecilnya perut, macam baru beberapa bulan mengandung." Tidak kurang juga yang cakap, "Takutnya tengok perut, macam buah tembikai!"

Apa-apa sekalipun yang orang hendak cakap, saya tidak kisah. Setiap orang berhak bercakap mengikut pandangan mata dan penilaian sendiri. Apa yang penting sekarang, saya sedang menunggu saatnya tiba. Seperti tidak percaya juga, sudah 9 bulan 2 minggu saya membawa satu nyawa manusia ke sana dan ke mari.

Saya mengharapkan doa daripada semua supaya dipermudahkan saat getir semasa saya bertarung nyawa nanti. Saya memohon kemaafan kepada sesiapa sahaja sekiranya saya ada mengguris rasa dan saya mohon dihalalkan segalanya. Insya-Allah, panjang umur kita bersua lagi dalam suasana baru. Pastinya, kehidupan sebagai WAHM yang lebih mencabar selepas ini. Moga Allah berikan kekuatan.


**(Kali ini entri berbentuk tulisan sahaja, saya akan masukkan gambar-gambar berkaitan dalam episod 2 nanti sebab saya suka mengambil gambar, walaupun tidak pro)

Tuesday, July 13, 2010

Ada Apa dengan WAHM?

Apakah WAHM?

Istilah ini masih agak baru di negara kita, tetapi sudah agak lama diperkenalkan di negara Barat. Tetapi sebenarnya, antara sedar ataupun tidak sedar, kebanyakan ibu-ibu dan suri rumah sudah lama mempraktikkannya sejak turun-temurun.

Sebagai contoh, ibu yang bangun seawal 4 pagi menyediakan nasi lemak dan kuih-muih, kemudian menghantarnya ke warung, kedai makan atau kantin sekolah. Apabila petang, dia mendapat hasil jualan daripada apa yang disediakannya. Dia adalah yang dimaksudkan sebagai WAHM.

Pada masa kini, istilah ini didefinisikan sebagai:

W -work
A - at
H - home
M - mother/ moms

Terjemahannya ialah ibu yang bekerja dari rumah.

Apabila ditanya kepada Mr. Google Search, laman web teratas dimiliki oleh ibu dari negara Barat ini, diikuti oleh laman web wikipedia, seterusnya laman web ibu-ibu di Malaysia antaranya ibu muda ini, Puan Fiza dan Puan Masayu Ahmad, masing-masing mempunyai 4 orang cahaya mata. Saya juga teringin untuk tersenarai dalam carta mesin carian Google. ;).

Rupa-rupanya, zaman berubah kembali. Semakin ramai wanita yang berkerjaya, berstatus isteri dan mempunyai keluarga mahukan kehidupan peribadi yang lebih seimbang. Justeru, berkira-kira dan menimbang-nimbang keputusan untuk berhenti kerja di pejabat seterusnya memulakan kehidupan sebagai suri rumah yang berpendapatan.

Mengapa WAHM?

Ada banyak sebab mengapa ibu-ibu memilih menjadi WAHM. Ia bergantung pada kehendak individu dan ia mungkin sama dalam beberapa aspek.

Komen di FB tentang entri saya 'hari pertama sebagai WAHM'


Kenapa saya memilih WAHM?

Saya akan senaraikan dalam episod akan datang, insya-Allah juga diari seminggu saya sebagai WAHM. Nantikan.... (Adakah yang ternanti-nanti? ;))

Related Posts with Thumbnails