Friday, February 19, 2016

Eyes Steak, Jalan Pantai Dalam

Alhamdulillah tercapai hajat. Ini kedai makan masakan Barat (Western Food) yang paling murah harganya di tengah kota. Terletak di Bazaria Foodcourt, Bangsar South, Pantai Dalam, KL.

Kes tekak nak ubah selera sikit sejak seminggu lebih saya alami bengkak tonsil. Di Petaling Jaya ni, saya memang failed sikit. Hasil google 'western food di Petaling Jaya', terjumpalah satu blog menyenaraikan 9 kedai makan western food yang halal di Kuala Lumpur dan Selangor. 



Eyes Steak diletakkan di atas sekali. Tengok alamat, dah tak jauh dari rumah mertua saya. Maka, kami ke sana selepas solat Maghrib di Masjid Rahah yang tersergam indah di tepi Federal Highway.


Pasta Combo RM9.90

Mix Grilled RM15.90

Chicken Nugget 9 ketul RM5

Alhamdulillah, rasa semua hidangan menepati selera kami. Dengan harga yang boleh dikatakan paling murah di tengah kota. Saya rekemen anda datang dan cuba. Insya-Allah anda takkan kecewa. 

Thursday, December 12, 2013

2013: Tahun Kelahiran 3 Bayi

Bayi Pertama lahir pada Januari 2013


Syarikat Penerbitan dan Percetakan Firdausi Solution





Bayi Kedua lahir pada Jun 2013

Butik Online Si Kecilku Comel



Bayi Ketiga lahir pada Julai 2013

Afif Fateh bin Muhammad Fadhli


Kelahiran ketiga-tiga bayi ini antara sebab kenapa blog kesayangan ini terpaksa dibiarkan sepi. Mereka bertiga sedang membesar dengan sihat dan ceria, alhamdulillah.

Saya tidak mahu berjanji lagi pada pembaca yang sudi bertandang, cuma saya menyimpan azam yang tulus demi teratak maya ini. 

Allah sebut,
"Faiza 'azamta fatawakkal 'alallah."
"Apabila kamu berazam maka serahkanlah kepada Allah."

Insya-Allah.

Monday, November 19, 2012

Bercuti di Cameron Highland

Bismillah walhamdulillah.

Cuti sekolah hujung tahun sudah pun bermula. Saya juga dalam mode mahu bercuti. Namun, masa dan keadaan belum mengizinkan. Jadi, biarlah saya mengimbau percutian 2 hari 1 malam saya sekeluarga kecil saya pada Januari 2012 yang lalu. (Cerita sudah lapuk tetapi tetap manis dikenang. :))

Kami memilih destinasi percutian ke Cameron Highland melalui tiket percuma daripada Palace of The Golden Horses. Tiket ini diperoleh semasa kami mengunjungi pameran Matta Fair pada September 2011 di PWTC. Hanya perlu mengisi borang yang disediakan di booth, kemudian mengikut syarat dan terma daripada pihak mereka.

Kami bertolak ke Tanah Tinggi Cameron dari Ipoh melalui Simpang Pulai. Alhamdulillah, perjalanan lancar dan jalan agak lengang kerana kami ke sana pada hari Khamis. 

Wah, sudah sampai Pahang! Perjalanan hanya mengambil masa satu jam 20 minit.

Sampai di pekan Cameron, kami menjamah makanan tengah hari dahulu. Kemudian, satu-persatu kedai berhampiran food court itu kami singgah.

Cik Iffah berumur 1 tahun 6 bulan pada masa ini.
Seronok dia berjalan sebab baru 3 bulan 'dapat kaki'.



Disebabkan belum boleh check-in di hotel, lalu kami teruskan perjalanan ke Ladang Teh Boh. Tambahan pula, fikir saya, bila sudah masuk ke bilik, pastinya malas mahu keluar semula.

Jika pengunjung datang dari arah Tapah, Bharat Tea Plantation ini akan ditemui
di sebelah kiri jalan.


Sampai-sampai, kita posing dulu. Kenangan ketika bertiga.

Budak ini memang obses pada cermin.

Diizinkan turun ke ladang. Jadi, peluang tidak dilepaskan.


Kemudian, kami ke Bee Farm. Ia terletak  di sebelah kanan, tidak jauh dari Ladang Teh Boh tadi.

Tiada orang lain melawat Bee Farm ini pada waktu ini melainkan kami.

Macam-macam gaya memek muka Cik Iffah ni. :)
Selepas itu, kami ke Kasimanis Strawberry Farm pula.

Sayangnya buah strawberi tidak kelihatan di sini.
Kata pekerja ladang, waktu ini musim hujan, jadi buah tidak menjadi.
 Antara tempat-tempat lain yang kami lalu dan singgah sebentar.

Rupa-rupanya ada air terjun juga di sini.Encik Suami sempat juga meninjau kawasan mandi.

Oleh kerana belum menunaikan solat, kami berpatah balik ke masjid di pekan. Lokasinya berhadapan Balai Bomba Cameron Highland.

Keadaan di masjid ini masih sama seperti kali terakhir saya ke sini pada tahun 2005.

Sebelum Maghrib, kami check-in di hotel.

Subhanallah, hotelnya hampir sama besar dengan apartment kami, malah lebih mewah.

Rindu gelagat Cik Iffah waktu baby. Hingga sekarang pun masih suka gigit kuku.

Malam itu, kami tidur dalam kesejukan yang teramat. Cuaca di sana memang sudah dimaklumi sejuknya, ditambah dengan hujan pula. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan saya jika berada di negara empat musim.

Nyenyak tidurnya malam itu.

Keesokannya, dalam kekabusan pagi, kami keluar bersarapan di kedai makan berhampiran hotel. Memang sudah dimaklumkan, sarapan tidak disediakan bagi tiket hotel percuma. It's ok, kami tidak kisah.

Hidangan yang memanaskan tubuh badan, alhamdulillah.

Balik semula ke hotel, kami bersiar-siar dahulu di perkarangan hotel.

Sayang kamu berdua. (Berangan berada di oversea)

Pagi itu kami berehat sahaja di bilik. Terasa sayang mahu check-out awal walaupun banyak lagi tempat yang mahu dilawati. Menjelang jam 12 tengah hari, akhirnya perlu ucapkan bye-bye pada bilik yang sungguh selesa itu.

Posing dahulu di pintu keluar-masuk.

Kami ke pusat jualan sayur-sayuran dan buah-buah segar di tepi jalan.Waktu ini, kereta semakin banyak dan pengunjung mulai ramai. Cuaca pula mendung dan menampakkan tanda-tanda akan hujan.

3 paket RM 10 boleh campur-campur. Saya beli RM 20 sahaja.


Sempat juga merasa buah strawberi coklat yang ada dijual di sini.

Yummy, memang sedap rasanya! Apa sahaja makanan dicicah dengan coklat, pasti sedaplah!

Hujan renyai-renyai sudah turun. Kami terus menaiki kereta dan bergerak ke Butterfly Farm pula. Tetapi setelah berkira-kira, kami tidak jadi membeli tiket masuk. Sebabnya..... di KL juga ada, malah mungkin lebih besar. Lagi pula, biar Cik Iffah besar sedikit dan sudah pandai, kita pergi Zoo Negara saja. (Ayat menyedapkan hati Encik Suami)

Dapat posing pun jadilah.

Tempat terakhir kami singgah adalah ladang teh (lagi). Tak ingat pula saya namanya. Tetapi bukan Ladang Teh Sungai Palas.


R & R terakhir sebelum meneruskan destinasi pulang

Akhirnya, kami selamat tiba di teratak ayahbonda menjelang Asar. Alhamdulillah. Terima kasih, Allah. Ada rezeki, mahu jejak lagi ke sini, insya-Allah.

Menjadi kebiasaan saya sebelum mengembara, saya akan merancang ke mana tempat yang mahu dikunjungi.


Ini peta yang saya rujuk sebelum bercuti-cuti di sini.
Moga dapat menjadi panduan kepada sesiapa yang mahu ke sana.

Selamat bercuti dan melihat kebesaran Allah!

Wednesday, November 14, 2012

Ahlan Wasahlan 1434 Hijriah!

Bismillah walhamdulillah.

Syukur kerana Allah masih mengizinkan saya dan kita bernafas lagi saat dan ketika ini. Nikmat terbesar yang tidak dapat ditandingkan dengan mereka yang sudah menyahut seruan Ilahi. Alhamdulillah, semoga perginya 1433 yang lalu diiringi keberkatan daripada Allah, diterima segala amalan, diampunkan segala kekhilafan dan menjadi bekalan buat kita di sana seandainya ajal menjemput sebelum sempat kita menempuhi 1434.

Bila masuk tahun baru, selalunya soalan rutin ditanya orang atau diri sendiri adalah tentang "Apa azam tahun baru?"

Jawapan yang biasa kita dengar dan diri kita sendiri jawab pula, "Azam tahun lepas pun belum terlaksana lagi."

Ya, soalan itu klise bunyinya tetapi masih dikira penting bagi memperingatkan diri orang yang ditanya, lebih-lebih lagi peringatan untuk diri kita sendiri. Usah lihat pada orang lain, saya sendiri pun begitu. Banyak yang dirancang namun matlamatnya tidak kesampaian. Namun syukur, sebahagian besar daripadanya dapat ditunaikan walaupun tanpa perancangan bertulis, biiznillah.

Selepas dimuhasabah, sebenarnya antara faktor utama perancangan saya belum berjaya adalah kerana tidak mempunyai timeline atau waktu yang spesifik, bilakah target matlamat akan tercapai. (Dalam istilah Barat lazimnya akronim S.M.A.R.T menjadi arah pandu sesuatu matlamat) Justeru, semua yang tercatat di buku nota, planner dan memo saya hanya dibelek-belek dan akhirnya berlalu begitu sahaja. Catatan di Google Calendar pula menjadi rekod diari apa perkara yang sudah dilalui, bukan seperti catatan 'orang-orang yang sibuk' seperti Ustaz Hasrizal dan Tuan Fazrul. (Sekadar menyebut nama mereka yang saya bersinergi di dalam Akademi Sinergi)

Ada satu pepatah yang selalu disebut oleh Sifu saya, Bonda Ainon Mohd,
"Hanya orang sibuk yang ada masa."

Jadi untuk menempuhi tahun baru ini, saya berdoa dan memohon kepada Allah, dengan izinNya, saya mahu menjadikan diri saya lebih produktif sebagai Muslimah dan hamba Allah. Saya dalam proses mengumpul bahan-bahan untuk menerbitkan Muslim Organizer. Saya target sebelum hujung Disember 2012 akan siap. Saya mendapat idea ini selepas menemui pelbagai laman web di Barat yang amat mementingkan pengurusan masa dan pengurusan kehidupan. Di Malaysia, kebanyakan planner dan organizer yang terdapat di pasaran bersifat terlalu umum atau fokus kepada golongan usahawan sahaja. Mohon daoakan saya, ya. :) Insya-Allah, saya akan update perkembangan projek ini nanti.

updat e
Muslim Lifebook ini diterbitkan oleh siratt.com


Tahun baru pastinya tidak meriah jika tidak disambut dengan kalendar atau taqwim sepanjang tahun. Mari lihat, saya kongsikan taqwim 1434H versi JAKIM. Sila klik untuk paparan lebih besar.


 Berikut pula tarikh-tarikh penting dalam Islam bagi Malaysia.


Saturday, November 10, 2012

Setahun yang Penuh Makna

Bismillah walhamdulillah.

Syukur ya Allah, saya panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran pada Allah. Saya kini gembira,bahagia dan tenang melalui hari-hari sebagai seorang isteri, ibu, anak, menantu, kakak, rakan dan benih kepada ummah selama setahun ini. Ada juga hari yang saya berasa sedih, duka, marah dan kecewa, tetapi semua itu menjadi asam garam, pahit maung dan masam manis dalam kehidupan. Hidup menjadi lebih indah dalam aturan yang Allah sudah takdirkan untuk saya.

Oktober 2011, saya tidak lagi bekerja makan gaji sepenuh masa dengan mana-mana organisasi. Bagi sesetengah orang, ia satu kerugian yang besar pada saya. Namun, bagi saya, Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk hambanya. Hari ini, saya sangat yakin pada qadha' dan qadarNya. Dia merencanakan perjalanan kehidupan yang sangat cantik pada mata saya. Begitu banyak hikmah yang saya temui dalam tempoh setahun ini. Kehidupan saya kini:
  •  Tiada lagi pendapatan tetap tetapi saya masih punya pendapatan sampingan hasil jualan tudung labuh (Tudung Nur), t-shirt menyusu (Aqeela), busana muslimah (Ukhti), khidmat menjaga butik rakan saya (Little Heartwarmers) dan khidmat reka letak (layout) buku.
Sebahagian produk pakaian yang terdapat di Little Heartwarmers di Gombak.
  • Semasa Little Heartwarmers membuka booth di Seminar Wanita dan Syari'ah
  • Pembantu peribadi saya
  • Tiada lagi rakan-rakan sepejabat tetapi saya masih berukhuwah dengan mereka (Kemilau Publika, PTS dan Tudung Nur). Saya juga punya ramai kenalan dan rakan-rakan baru dalam kalangan ibu-ibu muda (Lovely Life), adik-adik seperjuangan dan sukarelawan (Akademi Sinergi dan One Heart Creative Solution), rakan-rakan sukarelawan (Telekung Project), rakan-rakan niaga (Facebook group) selain sahabat-sahabat sepengajian (UIA dan SERATA)

Semasa Eidul Fitri di rumah rakan sekerja Kemilau Publika
  • Bersama adik-adik sukarelawan Akademi Sinergi
    semasa Seminar Transformasi Ramadhan 2.0
    Bersama penulis, Cikpuan Sofiyah Satuyah Rasin (di kanan saya)
    semasa program School of Life di Akademi Sinergi
    Menjadi emcee semasa Seminar Love Being a Mother (Siri 1)
    Menjadi sukarelawan bersama adik-adik saya di Special Talk by Prof Tariq Ramadhan
    anjuran One Heart Creative Solution
    Bersama pengasas The Telekung Project, Puan Norazila semasa program pertama
    bersama Anak-anak Yatim. Turut meraikan adalah Ustaz Don Daniyal.
Pertama kali bersua Prof Dr Muhaya di IKIM selepas slot beliau hari Rabu pada Mac 2012.
  • Tiada lagi tugasan freelance mengedit dan mereka letak buku (layout) iaitu tugasan freelance editor tetapi saya masih berpeluang menyusun atur dan mendesain buku program untuk Seminar Love Being a Mother. Begitu juga tawaran mendesain buku kecil Yasin dan Al-Ma'thurat untuk bakal pengantin hadiahkan kepada tetamu.

    Semasa melawat premis perniagaan senior saya, Puan Haridah, pemilik Tasneem Doorgift
    Pertama kali mendesain buku program.
  • Tiada lagi merasai tekanan perasaan di tempat kerja tetapi saya belajar mengurus emosi sendiri dan emosi anak apabila membesarkan anak sendirian dari pagi hingga malam sepanjang suami keluar bekerja.
  • Tiada lagi merasai kesesakan lalu lintas ke tempat kerja tetapi saya tetap perlu bersiap awal bersama anak dan mengikut suami keluar jika saya perlu menguruskan hal di luar dek kerana kami hanya memiliki Cik Viva yang berjasa untuk ke mana-mana.
  • Tiada lagi gaji dan bonus untuk bershopping sakan serta menikmati makanan mahal tetapi saya masih dapat membeli keperluan pakaian anak saya terutamanya, makanan dan minuman kegemarannya serta buku dan permainannya.
Jika dahulu sebahagian masa saya dihabiskan untuk kerja-kerja di pejabat, tetapi kini, hampir seluruh masa saya diberikan untuk anak saya yang sedang membesar. Saya bersyukur kerana Allah memberikan peluang untuk saya melaksanakan tugas hakiki seorang ibu kepada anak.
  • Sudut fizikal (P), Iffah Farhanah dapat menikmati kelazatan susu ibu sepenuhnya sehingga umurnya dua tahun (dan masih lagi menyusu pada umurnya 2 tahun 4 bulan sekarang ini. Semasa bekerja dahulu, saya akui saya tidak cukup konsisten memerah susu untuk bekalan Iffah di nurseri. Lalu saya terpaksa top up dengan susu formula Bio-lac.Saya juga dapat sediakan makan minumnya dengan air tangan sendiri walaupun saya tidaklah pandai memasak.

    Sangat gemar makan nasi lemak sejak beberapa bulan ini.
    Makanan ringan kegemaran Cik Iffah (tanpa mencicah sos).

    Aktiviti rekreasi di tepi tasik Taman Layang-Layang
Mengenalkan Cik Iffah kepada alam semesta ciptaan Allah di Bagan Lalang, Sepang.
Outdoor riadhah yang paling digemari oleh Cik Iffah.
Antara aktiviti fizikal kegemaran Cik Iffah.
Aktiviti kegemaran Cik Iffah apabila ke shopping mall. Free sebab duduk je. :)
Cik Iffah memang pembantu ummi yang bagus.
  • Sudut intelektual (I), dengan segala ruang yang ada, Iffah cepat belajar banyak perkara baru. Saya dapat lihat perkembangan mindanya bergerak dengan aktif. Iffah belajar daripada buku-buku kecil Perkataan Pertama, First Word, carta dan tile puzzle ABC dan puzzle Alif-Ya. Bagi mengenalkan Iffah kepada al-Quran, dia diajar menggunakan buku al-Furqan, di samping menonton video Alif Ba Ta yang banyak versi di youtube. Setiap hari, Iffah suka menonton video animasi Upin Ipin, Boboiboy, Pada Zaman Dahulu, video nasyid, lagu pendidikan dan permainan di  iPhone abahnya. Harinya seperti tidak lengkap jika tidak dapat menonton salah satu daripadanya. Dia juga suka menulis dan mewarna (menyonteng sebenarnya). Iffah belajar mengira 123 dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris melalui softbook dan video. Paling dia seronok mengira semasa menurun dan menaiki tangga rumah apartment kami. Hingga bila nampak saja tangga disebut 123. (Agaknya bagi dia, tangga=123 kot....)
  • Mengaji menggunakan buku al-Furqan selepas solat Maghrib. Tengok, matanya tengok ke lain.
    Kaedah membaca gaya Cik Iffah. Terus serap masuk ke dalam otak. :)




    Kaedah menulis gaya Cik Iffah.
    Kantoi.... Rupa-rupanya bukan buku atau kertas sahaja tempat Cik Iffah menyonteng.
    Sesi membelek buku di MPH The Curve
    Gembira dapat hadiah buku yang banyak daripada Mak Jang. Buku yang bagus ini dari UK.
    Kaedah mengira gaya Cik Iffah. Berkesan, insya-Allah.
    Anak-anak generasi Z sangat cepat mesra dengan komputer dan gajet.
    Semasa di pejabat Amin Idris Training Consultant (jiran pejabat One Heart).
    Antara benda yang Cik Iffah suka adalah duit syiling. Semasa mula belajar menabung.

    Cik Iffah yang aktif meneroka tempat baru. Semasa di program MasterPIES anjuran Total Success.
  • Sudut emosi (E), Iffah seorang anak yang peramah dan mudah mesra dengan orang lain sebelum umurnya menjejak 2 tahun. Ke mana-mana sahaja kami pergi sama ada ke kedai makan, masjid, shopping mall, taman permainan dan sebagainya, apabila ternampak rakan sebayanya, dia akan menyapa dahulu. Dia juga tidak takut pada orang yang lebih dewasa daripadanya. Sikapnya itu menyebabkan saya tidak risau padanya sedangkan realitinya dia membesar seorang diri di rumah tanpa rakan sebaya. Namun, kebelakangan ini sikapnya sedikit berubah. Iffah mudah marah dan garang pada orang. Tiada lagi sifat mesra seperti dahulu. Suami dan rakan-rakan saya maklumkan pada saya, ia adalah perkara normal kerana Iffah semakin membesar dan sedang belajar memberitahu perasaannya. Ia disebut sebagai Terrible Two. Ya, peringkat ini adalah baru bagi saya dan saya perlu belajar lebih banyak ilmu psikologi kanak-kanak bagi menghadapinya.Cik Iffah juga penyayang pada haiwan dan tidak geli seperti umminya. :)
    Cik Iffah berkenalan dengan budak Arab semasa di Masjid UIA.
    Kenalan baru Cik Iffah semasa test drive kereta masing-masing. :)
    Cik Iffah sangat sukakan kucing. Menurun daripada abahnya.
    Cik Iffah, si pencinta haiwan meneman ummi memberi makan dan minum
    kepada arnab-arnab di rumah neneknya.
Aktiviti rutin semasa di dalam kereta.
  • Sudut spiritual (S), alhamdulillah, sejak awal, Iffah sangat teruja apabila mendengar azan. Dia akan sebut, "Azal...." dan saya perbetulkan sebutannya "Azan". Bila saya solat, dia suka masuk ke dalam telekung saya. Tawaf sekeliling saya beberapa kali dengan seronok. Kemudian berdiri di sejadah saya sekejap dan sujud. Sujudnya sudah betul seperti sepatutnya, bukan meniarap lagi. Sesekali pernah juga nampak dia rukuk. Keletahnya memang mencuit hati. Pernah juga solat saya terhenti kerana tidak dapat menahan ketawa.
  • Cik Iffah semasa baru belajar sujud.
    Mencuba telekung di kedai. Tiada telekung yang muat pada muka Cik Iffah yang kecil
    macam baby. Jadi solat pakai tuung saja.
    Kami melatih membawa Iffah ke masjid sejak dia masih bayi. Masjid kegemaran kami ialah Masjid Kota Damansara kerana kedudukannya yang strategik antara Sungai Buloh dan Petaling Jaya. Masjid yang aktif, penuh dengan majlis ilmu dan program kemasyarakatan. Paling seronok, baby & kids-friendly di ruang tingkat atas. Iffah berkenalan dan berkawan dengan ramai kawan baru di situ.  Dia juga belajar membasuh kaki (wudhu') sebab di rumah saya tidak izinkan dia berwudhu'. (takut jatuh bila lantai licin). Saya mahu mengajar dia cintakan rumah Allah walaupun sekarang dia belum faham kepentingannnya.

    Cik Iffah terjumpa Kak Mia Sara Nasuha semasa di Masjid Kota Damansara.

    Saya tidak melatih Iffah memakai tudung setiap kali mahu keluar dari rumah. Hanya baru beberapa bulan ini sahaja saya cuba selepas Iffah mendapat hadiah buku 'I Can Wear Hijab Everywhere' daripada Mak Jangnya. Alhamdulillah, Iffah tidak kekok, malah dia suka memakai tudung-tudungnya. Ada masanya dia bertahan memakai tudung dalam masa yang lama, tetepi kebiasaannya dia akan membukanya semasa di dalam kereta lagi.

    Semasa jamuan hari raya di Surau al-Ehsan, Ipoh.
    Semasa berhari raya di rumah ibu saudaranya di Perak.
    Cik Iffah tahu bila orang angkat tangan menadah ke atas maksudnya orang sedang berdoa. Alhamdulillah Cik Iffah sentiasa berdoa bila mahu makan. Semoga anakanda akan mendoakan ummi dan abah nanti ya.
    * * *
    Menyambut hari ulangtahun ke-2 kelahiran Cik Iffah di Ipoh.

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.
"Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?"
-Surah ar-Rahman, ayat berulang-ulang-

** Encik Suami, terima kasih kerana berusaha keras demi menyara keluarga kecil kita ini. Kita bahagia walaupun tidak kaya, insya-Allah. Semoga Allah kuatkan semangatmu dan tetapkan pendirianmu di jalanNya.

** Saya berdoa dan berharap, keputusan saya untuk tidak bekerja dalam bidang perguruan seperti mama dan baba saya direstui Allah. Begitu juga keputusan saya tidak bekerja tetap sekarang ini dipandang Allah kerana taklifan sebagai ibu yang mencabar pada zaman generasi Z ini. Pada peringkat awal, saya juga dilema. Saya tidak mahu menjadi anak derhaka. Namun saya bersyukur, mereka tidak pernah memaksa, malah sentiasa mendoakan yang terbaik untuk saya. Tetapi jauh di sudut hati, saya tidak tahu apa lagi perkataan yang boleh diucapkan untuk menyatakan "terima kasih" saya pada mereka. Semoga Allah memberkati usia mereka, membalas segala amalan dan kebajikan mereka dan menempatkan mereka di Firdausi A'la bersama-sama. Amin.
Related Posts with Thumbnails