Sunday, September 23, 2012

Kenangan Syawal 1433 - Episod 1

Bismillah walhamdulillah.

*Ini adalah entri kenangan. Sebab itu ia lewat dirakamkan semula kerana saya baru sahaja mengimbau kenangan ini. :)*

Alhamdulillah Syawal sudah pun berlalu seminggu yang lalu. Bulan pertama menilai diri selepas sebulan berada di sekolah tarbiah Ramadhan. Adakah berjaya ataupun tidak diri kita menahan diri mengawal nafsu, emosi dan kehendak? Tepuk dada tanya iman. Sungguh, saya sendiri belum berjaya!

Syawal saya dan keluarga kecil kami, penuh dengan aktiviti meraikan hubungan kekeluargaan, persaudaraan, persahabatan, kejiranan dan masyarakat. Yang pastinya, MAKANAN (fizikal) menjadi tema utama sepanjang bulan ini. Moga 10 bulan yang bakal ditempuhi lebih produktif membangunkan diri dari aspek intelek, emosi dan spiritual. (Saya masih berhutang entri tentang PIES, permintaan daripada pnAA).

Sekadar berkongsi suasana sepanjang Syawal 1433. Alhamdulillah, seronok dan menyeronokkan.

1 Syawal 1433
Pagi di Serdang, Kedah. Kampung sebelah ibu saya. Kali ini, Mama, Baba dan adik-adik dara saya beraya di Kodiang. Tinggallah keluarga kecil saya dan keluarga Syakir, adik lelaki saya menemani Tok meraikan 1 Syawal tanpa anak-anak Tok. Walaupun tak ramai tapi meriah juga dengan keletah cucu-cicit Tok. Harap-harap Tok tetap gembira bersama kami :)

Siapa yang ambilkan gambar kami? Cuba teka....

Wah, hebat Tok, kan!

Keluarga kecil kami dan Tok Mah.

Tengah hari, kami beraya ke rumah sepupu, Kak Cik di Tanjung Piandang, Perak.


Saya dapat 3 orang anak saudara baru Ramadhan lepas. Alhamdulillah, bertambah cucu Mak Long Zainab, moga makin murah rezeki.

Hero-hero belaka. Dari kiri: Rayyan, Mu'min, Khalish.

Petangnya ke rumah Tok Lang, adik arwah Tok Sarah.

Iffah dan Tok Lang

 Bersama keluarga Pak Lang Johdi, abang ibu saya.

Menjelang lewat petang, kami merentasi PLUS naik ke utara tanah air.

Bersama anak dara saya, Iffah dan anak buah saya, Dhiya' sebelum bertolak.

* * *


2 Syawal 1433
Bermalam di Gurun, Kedah. Kampung sebelah ibu mentua saya. 

 Bersama keluarga mertua dengan warna tema peach.

Petang, beraya ke rumah sepupu suami, Bang Teh di Jitra.


Kemudian ziarah Pakcik Napiah, abang arwah bapak di Putat.


* * *

3 Syawal 1433
Bermalam di Kodiang, Kedah. Kampung sebelah bapa saya. Kami bermalam di rumah sepupu saya, Kak Cik Na.

Tak sempat pula bergambar dengan mereka sekeluarga. Gambar rumah pun jadilah.... :)

Sempat pula Cik Iffah mendaki bukit.


Tengah harinya kami terus ke Jitra sempena rumah terbuka sepupu Fadhli. Terkilan juga kerana tidak sempat singgah berjumpa sanak saudara di Pida 3. Ampun.... Kasihan pada Cik Iffah yang demam dan emosinya yang tak syiok.


Keluarga mentua saya dan keluarga sepupu, Kak Salmah.
Kredit gambar: Fadhilah Ishak.

Selesai menjamu nasi tomato, kami ke rumah sebelahnya. Kak Zainiyah, sepupu Fadhli juga.

Kebetulan Kak Nurain (Perlis), sepupu suami juga ada di sana. 

Kemudian, kami bergerak ke rumah sepupu suami, Kak Ngah di Kubang Pasu. Pertama kali ke rumahnya.

Tuan rumah bertudung kuning dan baju hitam berbelang. :) 

 Bersama adik-adik ipar saya. Dari kiri: Faizah dan Fadhilah.

Petangnya kami memasuki PLUS ke arah selatan. Kembali  bermalam di Serdang, Kedah.

* * *

4 Syawal 1433
Tengah hari kami memulakan perjalanan ke Tanjung Piandang, Perak. Memenuhi undangan perkahwinan rakan sekerja Fadhli.


Selamat pengantin baru buat Linda dan suami.

Perjalanan kami diteruskan ke utara semula. Ke mana?

Pertama kali bawa Cik Iffah menaiki feri. Teruja dia tengok laut terbentang luas.

Bermalam di rumah sepupu saya, Kak Norlia. Sepupu paling rapat sejak kami kanak-kanak.

* * *

5 Syawal 1433
Menjelang tengah hari kami merentasi jambatan Pulau Pinang menuju ke Sungai Petani.


Agendanya adalah reunion bersama sebahagian sahabat-sahabat seperjuangan di UIA dahulu. Andak Sakinah sebagai tuan rumah buat kali kedua.

Para suami yang setia menanti para isteri berdiskusi.

Para anak yang seronok bermain dan berebut mainan.

Petangnya, kami kembali menempuh lebuh raya ke arah Kuala Gula. 

Bersama Paksu Ramli, adik bongsu ibu saya dan Maksu.

Seterusnya, perjalanan diteruskan menuju ke destinasi yang dirindui. Home-sweet-home. Sesampainya di Teratak 69, ada tetamu menanti.

Bersama sepupu saya, Abang Fakhri sekeluarga


Nampaknya entri kenangan ini ada sambungannya. Mengantuk sudah.....

Sunday, June 10, 2012

Sepetang di Bagan Lalang, Sepang

Alhamdulillah. Kerinduan pada laut terubat juga. Terima kasih Encik Suami yang sudi memenuhi keinginan Cik Isteri yang bertuah ini. Bertuah Cik Isteri ini, alhamdulillah. Walaupun agak lama mengimpikan percutian ke tepian pantai, tetapi tiada tarikh khusus yang ditetapkan. Yang pasti, sebelum masuk bulan Ramadhan. Maka, percutian singkat 3 minggu lepas hanya diputuskan menjelang tengah hari, selepas menimbal balik beberapa pantai berhampiran antaranya Morib, Jeram, Port Dickson. Akhirnya, Bagan Lalang menjadi destinasi bajet pilihan kami.

Selepas solat Zuhur, kami memulakan perjalanan. Kami melalui lebuh raya PLUS dari Hospital Sungai Buloh hingga ke exit LCCT.  Ia memakan masa 1 jam dengan kadar tol RM8.80. Kemudian 1 jam lagi melalui jalan ke Golden Palm Tree Resort yang 5 bintang itu. Dengan bantuan Google Map dan GPS, alhamdulillah kami tidak sesat (di dunia) dan tiba dengan selamat. (Mudah-mudah kita juga tidak akan sesat di dunia dan akhirat apabila mengambil al-Quran sebagai rujukan utama, insya-Allah).

Pemandangan yang sungguh mendamaikan walaupun cuaca terik pada jam 4 petang. Belakang itu chalet Golden Palm Tree. Memang kelihatan mewah sungguh!Dapat ambil gambarnya pun jadilah ye.

 Budak baru bangun tidur. Pelik agaknya lihat pemandangan yang jarang dilihat.
Tinjau kawasan sambil menghirup angin pantai.

 Sebelum bermandi-manda isi perut dahulu. Nasi Kukus Utara yang dibeli berhampiran rumah kami. Ini antara nasi kukus paling sedap dan menjadi kegemaran kami sekeluarga.Siapa nak rasa? Meh, jemput datang ke rumah! 

Lepak-lepak lagi sementara menunggu masuk waktu Asar.

Masuk waktu Asar, ummi tunaikan solat dahulu. Agak terkejut juga saya melihat air laut semakin surut.
Musim angin monsun apa sekarang ya?

Iffah yang mula-mula takut pijak tanah pun akhirnya berani dan seronok bermain air.
Sampai ke tengah laut kami renangi. Pencapaian terhebatlah bagi kami. :)

Pemandangan sebelum senja. Sayangnya tidak sempat melihat panorama matahari terbenam, dengar kata cantik.

Alhamdulillah, walaupun belum cukup puas berlama-lama di laut dan bermain di tepian pantai, dapat juga kenalkan Cik Iffah pada alam lain ciptaan Allah yang indah. Insya-Allah, nanti kita ke pantai dan laut lain pula. Pergi beramai-ramai lebih seronok rasanya. 

** Teringat kali pertama ke sini bersama sahabat-sahabat UIA selepas grad dahulu.Oh, rindu pada mereka....

Tuesday, May 22, 2012

Projek Terbaru

Alhamdulillah. Allah masih panjangkan nafas saya dan rumah maya saya hingga ke saat ini. Syukur ya Allah.

Sementara masih punya kesempatan waktu, sebaik-baiknya saya terus kepada huraian tajuk entri saya. Ya, projek terbaru saya pada masa ini. Ia pernah dimulakan hampir 5-6 tahun yang lalu, kemudian terus terhenti kerana tidak dapat dipastikan apakah sebabnya. Waktu itu belajar sendiri, belajar daripada mama secara tidak formal. Namun, ia hanya separuh jalan. Lalu bahagian bawah sahaja yang dapat disiapkan, manakala bahagian atas tidak bersambung. Atas faktor sayang masih ada, kini bahagian atas dihantar kepada yang pakar bagi menyelesaikannya. Hehe.... cuba teka, apakah yang saya maksudkan?

Sebenarnya saya tidak menyangka yang saya mendaftarkan diri dan mengikuti kelas kemahiran ini. Saya pernah ternampak poster iklan bengkel ini di Masjid Kota Damansara. Tidak lama kemudian, saya diketemukan pula dengan salah seorang pelajar kelas ini di Masjid al-Ghufran semasa program Seminar Love Being a Mother, anjuran saya dan kawan-kawan seangkatan, ibu-ibu muda (Komuniti Lovely Life). Kebetulan pula di rumah, saya sempat melayan drama korea 'A Cinderella Man' yang juga berkaitan bidang ini. Maka, semua ini antara petanda-petanda yang mengukuhkan niat saya menghadiri bengkel ini.

Justeru, saya pulang ke Ipoh dengan niat yang satu.


Ini dia....!

Kredit: olx.com.my (Ini bukan gambar sebenar tetapi jenama yang sama)
Saya pinjam daripada mama. Terima kasih mama kerana beri keizinan untuk Along guna mesin jahit ini. Along cuba menyambung jasanya kepada kita anak-beranak perempuan. :)


Juga beli kain cotton ini. RM3 semeter.


Pada 12 dan 13 Mei 2012 yang lalu, secara rasminya saya mengikuti Bengkel Jahitan Baju Kurung. Mungkin bagi sesetengah wanita dan perempuan, dunia jahitan sudah dipelajari sejak usia remaja. (Teringat projek subjek Kemahiran Hidup tingkatan tiga, kotak kayu dibaluti kain beropol). Namun, rasanya masih belum begitu terlewat bagi saya mempelajarinya pada usia menjangkau 30-an ini, sementelah punya seorang anak dara kenit + 6 orang adik perempuan kandung + 3 orang adik ipar + mama + mama mentua + saya = 13 orang perempuan sekitar saya. Ia tidak sedikit dan mungkin semakin bertambah. Justeru, pada hemat saya, menuntut ilmu kemahiran ini boleh jadi hukum wajib ke atas kami. Setuju?

Hari pertama

Kelas yang dijadualkan bermula 8.30 pagi dimulakan dengan sesi sarapan berjemaah dahulu, kemudian sesi berkenalan dengan semua peserta. Ada 7 orang sahaja pelajar yang diterima bagi setiap bengkel. Yang mengagumkan saya, 5 orang daripada kami adalah gadis bujang. Paling jauh datang dari Changlun, Kedah. Paling muda berumur 21 tahun! Mereka malah sungguh hebat pada mata saya!

Sebelum itu, kami diingatkan supaya membawa sedikit peralatan yang diperlukan iaitu:
- Kain cotton 4 meter
- Zip 8 inci
- Benang sama tanah kain
- Benang bunga kain

Itu sahaja. Mesin jahit dan peralatan lain disediakan. Mudah, bukan?
  • Langkah pertama bagi menjahit apa sahaja pakaian adalah mengambil ukuran badan. Cikgu Yati mengambil ukuran setiap daripada kami, manakala kami mencatat nilainya di dalam nota yang disediakan. Kemudian kami perlu membuat sedikit kira-kira dengan kalkulator sebab ada darab, bahagi, tolak, tambah, malah titik perpuluhan juga. Wah!
  • Langkah kedua adalah membuat pola pada kertas minyak. Fikir saya, ia mudah sahaja. Tetapi tidak mudah juga pada peringkat awal. Tiba-tiba jadi blur sekejap, tidak tahu di mana patut bermula. Dengan bantuan pembantu cikgu, Kak Teh merangkap anak cikgu, kebluran saya dapat ditangani dengan begitu mudah. Saya kagum pada beliau yang masih dalam tingkatan 6! Cikgu cakap, ramai orang tahu potong kain, tetapi tidak ramai pandai buat pola.
Pola ini untuk orang yang baru belajar sahaja. Tukang jahit tidak memerlukannya lagi.

  • Langkah ketiga adalah memotong kain mengikut ukuran pada pola yang sudah dibuat. Pada hari pertama, kami hanya diajar memotong badan, pesak, kekek dan tangan.
  • Seterusnya mencantumkan setiap bahagian yang terpisah menjadi satu. Kali ini saya tidak lagi gerun menggunakan mesin jahit sepertimana kali pertama belajar dahulu. Takut jarum terkena jari, takut terpijak pedal terlalu laju, takut kain tertarik dek jarum. Ketakutan yang ter....(Itu pada zaman dahulu) :)
  • Bahagian yang agak renyah adalah membuat leher. Perlu lukis dahulu pola, buat sedikit kira-kira, potong pola, lekatkan pelekat pada kain dan cantumkan pada badan. Boleh bayangkannya? Cikgu pesan, pola leher kita perlu simpan baik-baik supaya ia boleh digunakan semula apabila menjahit baju kurung sendiri seterusnya. Orang yang sama saiz kita juga boleh guna nanti.
  • Proses ini pula adalah selepas leher dan badan dicantumkan. Perlu seterika supaya lebih kemas dan tajam untuk dijahit mata lalat nanti.

  • Akhir sekali, pada jam 6 petang, inilah hasilnya!

Alhamdulillah, seperti tidak percaya saya dapat siapkan. Tinggal belum jahit cangkuk butang, mata lalat pada leher dan jahit sembat pada hujung baju dan bawah badan. Ilmu ini bersambung pada hari kedua.


Hari kedua

Kelas bersambung dengan penuh keceriaan walaupun kebanyakan kami merasai sedikit sakit belakang. Itu baru sehari menekuni kain dan mesin jahit, bagaimana dengan rutin tukang jahit ya? Ada sebarang tips?


Proses hari kedua fokus pada kain baju kurung. Ia meliputi kerja mengukur bahagian pinggang, labuh kain, keliling punggung, memotong kain mengikut ukuran, memasukkan zip, membuat susunan lipatan kain, membuat dart, seterusnya membuat cantuman getah dan pelekat dan menyambungkan pinggang pada kain.

Wah, banyak juga langkah menghasilkan sehelai kain susun, kan? Bila kita pakai kain, biasanya kita tidak sedar pun proses pembuatannya juga renyah. Patutlah agak tinggi juga upah menjahit, sementelah di bandar. Rupa-rupanya ada elemen PIES yang turut menguasai diri tukang jahit. PIES, ia bukan sejenis makanan, ya. Perlu buka topik baru bagi berbicara tentang potensi PIES dalam diri setiap manusia. Ia kajian yang menarik. Ada yang mahu tahu? Sila angkat tangan.


Senyum kepuasan dengan kejayaan masing-masing

Dua hari berbengkel, boleh dikatakan kami diajar asas menjahit baju kurung dari A - Z. Dari tiada asas hingga ditunjukkan menjahit mata lalat pada leher. Sungguh teruja dengan ilmu baru! Alhamdulillah.

Pesan cikgu, "Balik nanti terus buat baju kurung kedua! Jangan tunggu seminggu, hujung bulan, takut terlupa."


Saya sangat rekemenkan kepada yang baru mahu belajar.
Teknik yang mudah dan praktikal.
Cikgu dan pembantu cikgu yang sangat baik dan sabar. :)


Maklumat lanjut di http://www.bengkeljahitan.com


** Saya masih belum siap jahit mata lalat sebab tidak berjumpa lalat lagi.... 

Monday, January 23, 2012

Seminar Pengurusan Kehidupan Berteraskan Surah al-Kahfi

Bismillah walhamdulillah.

Entri ini adalah sedikit perkongsian daripada saya selepas mengikuti pengisian minggu pertama dalam Seminar Pengurusan Kehidupan berteraskan Surah al-Kahfi pada 21 dan 22 Jan 2012. Hasil penyampaian kuliah bersiri Ustaz Hasrizal dengan tema ini selama 25 bulan di masjid dan surau akhirnya berusaha dipendekkan dalam siri seminar selama 4 hari.



Mengapa Surah al-Kahfi?

Menjadi muslim dan mukmin yang sebenar beerti kita mestilah menjadikan Islam sebagai satu cara hidup. Sumber rujukan dan panduan utama tidak lain tidak bukan adalah kitab al-Quran dan sunnah. Antara 114 surah di dalam al-Quran, surah al-Kahfi adalah surah yang penting untuk diamalkan pembacaannya pada setiap hari Jumaat. Khasiatnya adalah supaya ia dapat menjadi benteng kepada pembacanya daripada fitnah Dajjal. Malah kajian terperinci pada surah ini mampu menghuraikan beberapa aspek utama dalam pengurusan kehidupan manusia seperti pengurusan aqidah (S), harta (P), ilmu (I) dan kuasa (E).


Kredit: saifulislam.com


Info tentang surah al-Kahfi:

  • Surah Makkiyyah
  • 110 ayat
  • 71 ayat berkaitan kisah
  • 39 ayat adalah komentar mengenai kisah, gambaran kehidupan dan hari Kiamat

Terdapat 4 kisah yang dibawa dalam surah al-Kahfi iaitu:

  1. Kisah Ashabul Kahfi (konsep aqidah)
  2. Kisah Pemilik Dua Kebun (konsep harta)
  3. Kisah Nabi Musa dan Nabi Khidhir (konsep ilmu)
  4. Kisah Zulqarnain (konsep kuasa)





Secara peribadi, kuliah tafaqquh fiddin yang dianjurkan ini adalah pengalaman baru bagi saya kerana ia dilaksanakan secara eksklusif di dalam dewan yang berhawa dingin dalam siri seminar 4 hari. Lazimnya kuliah tafsir sebegini hanya dapat diikuti di masjid dan surau dengan para jemaah duduk bersila di atas lantai. Dalam keadaan sedikit santai, pastinya ia mengambil tempoh masa yang amat panjang bagi menghabiskan sesi kuliah.

Pengalaman sepanjang satu setengah hari mengikuti minggu pertama seminar, saya merasakan keseronokan apabila setiap ayat diperincikan tafsirannya walaupun ia tidaklah dihuraikan kalimah demi kalimah. (Namun saya tidak sempat juga menangkap setiap penerangan kerana akal agak lambat memproses data). Selama ini saya membaca al-Quran dan hanya memerhatikan terjemahan sahaja tanpa merujuk tafsirannya. Sungguh indah tafsiran, huraian dan perincian ayat-ayat mengenai kisah Ashabul Kahfi. Subhanallah, kalam Allah Maha Hebat!

Antara ayat yang memberi kesan besar pada saya adalah pada ayat 10:

Dan ingatlah kamu, tatkala pemuda pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua lalu mereka berdoa, "Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisimu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami."


Ayat ini menggambarkan pergantungan pemuda Ashabul Kahfi kepada Allah dengan memohon diberikan rahmat dalam keadaan mereka tidak tahu apa yang seharusnya mereka lakukan selepas melarikan diri ke dalam gua. Lalu Allah menidurkan mereka dalam satu tempoh yang panjang sebagai membuktikan doa mereka dimakbulkan. Peristiwa inilah yang menjadi bukti bahawa perbuatan berdoa dan hanya bergantung harap pada rahmat Allah adalah satu-satunya jalan keluar dan usaha yang mustajab.

Banyak kisah-kisah yang menunjukkan nabi-nabi berasa tenang apabila berada dalam rahmat daripada Allah walaupun ketika itu mereka dalam kesusahan. Contohnya:

  • Nabi Yunus semasa di dalam perut ikan
  • Nabi Yusuf semasa di dalam penjara
  • Nabi Ibrahim semasa di dalam api
  • Nabi Muhammad semasa di dalam Gua Thur
  • Ulama semasa di dalam penjara

Mereka ini berada di tempat yang tidak kondusif. Walaupun mereka boleh sahaja meminta kepada Allah untuk dikeluarkan daripada situasi itu, tetapi sebaliknya mereka tenang berada dalam keadaan itu kerana rahmat Allah bersama mereka. Itulah yang kita semua harapkan sebagai hamba Allah. Rahmat Allah datang dalam pelbagai bentuk yang tidak terjangkau dek akal kita. Dengan rahmat Allah itu juga kesudahan dan penentuan nasib kita di akhirat.


“Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi.”


*Alhamdulillah, saya diberi kekuatan bagi menyampaikan pengumuman di khalayak peserta seminar berkenaan aktiviti pertama WAHM pada minggu hadapan, Pertandingan Pot Luck'. Sedikit menggeletar kerana sudah terlalu lama saya meninggalkan pentas. Namun ia permulaan yang baik. Alhamdulillah.

Sunday, January 1, 2012

Apakah Subhanallah Effect?

1 Januari 2012, alhamdulillah saya masih dipanjangkan umur hingga ke saat ini. Sekarang saya di bilik latihan Akademi Sinergi, Bangi kerana menghadiri pengajian di Sekolah Kehidupan = School of Life = Madrasatul Hayah (SOuL). Sudah sebulan saya kembali belajar di bilik kuliah. Banyak perkara baru yang saya pelajari. Ramai kenalan baru yang saya temui. Syukur alhamdulillah. Bermula hari ini, saya akan berkongsi dengan rakan pengunjung blog kerdil saya ini tentang ilmu dan pengalaman yang sudah dikutip sepanjang SOuL. Bagi perkongsian pertama, saya bawakan analisis daripada jurulatih SOuL, Tuan Fazrul Ismail berkaitan Subhanallah Effect.

Tajuk : Analisis Subhanallah Effect
Subhanallah Effect (SE) adalah teknik untuk mendorong pendidik mengajar dan mendapat kesan Subhanallah dalam diri sendiri dan pendengar. Berikut ialah beberapa soalan dengan menggunakan 10 prinsip dalam Pemikiran Sistemik. Pemikiran Sistemik diulis oleh Fazrul Ismail. Ia memudahkan lagi proses berfikir dalam memahami sistem.
  1. Apakah definisi Subhanallah? Dari perspektif bahasa Arab? Quran dan Hadith?
  2. Apakah kaitan Subhanallah dengan Alhamdulillah dan Allahu Akbar? Apa kaitan dengan dunia fizikal, intelek dan emosi? Bilakah SE tidak sesuai digunakan? Apakah contoh heap dalam dunia pendidikan dan cara berfikir? Apakah contoh heap dalam berzikir Subhanallah selama ini? Adakah SE ini boleh dilaksanakan dengan bantuan buku serta multimedia atau boleh sahaja dimasukkan dalam kemahiran guru secara segera?
  3. Apakah tahap-tahap menghargai kemanisan Subhanallah? Apakah teknik agar kita dapat mengucapkan Subhanallah dalam kehidupan seharian ketika apa-apa posisi pun? Apakah teknik untuk pendengar dan murid kita mengucapkan Subhanallah ketika berinteraksi dengan kita? Apakah Magnify dan Cross PIES boleh membantu? Pendulum PIES?
  4. Apakah dimensi Subhanallah yang perlu diberi perhatian? Apakah dimensi Subhanallah boleh digunapakai dalam kelas dan bilik darjah? Di tempat kerja? Apakah threshold yang perlu difahami?
  5. Apakah sumber yang diperlukan untuk melaksanakan SE? Bagaimana sumber dari manusia yang perlu diusahakan? Bagaimana sumber dari Allah yang perlu ditawakalkan?
  6. Apakah cara bertindak agar sumber yang ada boleh digunakan membina sekolah atau kelas yang menyebutkan Subhanallah secara istikhlas atau dalam fasa ‘conscious’? Bagaimana untuk menjadikan pelajar mengingati Subhanallah dalam kehidupan seharian? Apakah contoh silibus atau kurikulum yang akan menggalakkan Subhanallah Effect dalam diri pelajar?
  7. Apakah perubahan yang perlu dibuat untuk melaksanakan SE dalam kehidupan? Di sekolah? Ada kaitan dengan pengetua ? Atau hanya perlu diubah kepada guru-guru? Di rumah?
  8. Apakah ruang masa yang diperlukan untuk menguasai Subhanallah Effect? Ada kaitan dengan umur kronologi atau umur fizikal? Berapa lama yang diperlukan untuk mampu memguasai kemahiran ini? Menguasai SE tahap tinggi?
  9. Apakah respon songsang yang dijangkakan ? Mengapa mereka memberi respon begitu? Bagaimana kalau dengan pelajar bukan Muslim? Sesuaikah SE?
  10. Bagaimana teori dan konsep SE ini boleh dipraktikkan ? Ia perlu tunggu semua guru bersetuju? Semua trainer setuju? Kalau ingin ia disampaikan, apakah kriteria dan training untuk melahirkan lebih trainer SE?
Persoalan-persoalan ini akan dirungkaikan jawapannya pada bengkel minggu ini. Maklumat seperti berikut:

Klik pada gambar bagi maklumat lanjut.

Thursday, December 29, 2011

Hebahan | Gathering We Care We Share

Sempena meraikan sambutan tahun baru, The Telekung Project menganjurkan program amal yang dinamakan Gathering We Care We Share bagi meraikan anak-anak yatim dan asnaf. Maklumat program seperti berikut:
Tarikh: 31 Disember 2011
Masa: 9.00 pagi hingga 2.00 petang
Tempat: No.2, Jalan Intan 2/10, Taman Puchong Intan, 47100 Puchong, Selangor. (GPS Coordinate : 3.015898,101.60918)
Matlamat:
Membina UKHUWAH, mengeratkan SILATURRAHIM dan memupuk KASIH SAYANG sesama saudara ISLAM tanpa mengira lapisan latarbelakang dan status sosial.
Objektif:
  • Berkumpul kerana ALLAH di dalam MAJLIS AGAMA (solat dhuha, hajat, bacaan ma'thurat dan doa selamat)
  • Berkumpul dan MERAIKAN KEBESARAN JASA RASULULLAH SAW di dalam majlis 'story telling' sirah Rasulullah.
  • Memupuk semangat PRIHATIN dan KESEDARAN terhadap insan-insan yang memerlukan sokongan dalam masyarakat ISLAM kita.
  • Menyuntik SEMANGAT POSITIF pada jiwa anak-anak KITA dan bersosial secara beramal.
  • Menanamkan KEFAHAMAN keindahan ukhwah dalam amalan kehidupan ISLAM keseluruhan, INSYAALLAH.
Jemputan:
1. Meraikan anak-anak KITA dan keluarga KITA yang dijemput.
2. Sahabat-sahabat Telekung Project
3. Muslimin dan muslimat seisi keluarga

Tentatif:
8.00 pagi : Solat dhuha dan hajat oleh kariah sambung bacaan mathurat
9.00 pagi : Bacaan doa selamat setelah anak-anak dan keluarga asnaf tiba
10.00 pagi : Acara minum pagi sambil mendengar 'story telling' USTAZ DON
11.00 pagi: Pemberian cenderamata 'Kembali ke Sekolah'
12.00 tgh : Jamuan

Kepada sesiapa yang berminat menghadiri program ini, silakan mendaftar di sini.


*Program ini dijangkakan mendapat liputan TV Al-Hijrah

Wednesday, December 28, 2011

Hebahan | Mini Talk: Subhanallah Effect


Program mini ini adalah satu projek pelajar School of Life (SOuL). Sedikit perkongsian boleh dibaca di sini dan sini.


Cetusan:

Generasi Ulul Albab adalah generasi yang mampu melihat objek di sekeliling mereka sehingga menimbulkan rasa kebesaran kepada Allah SWT. Pendidik, pelajar, doktor, fasilitator, arkitek, penulis buku dan filem, malah sesiapa sahaja akan dapat menghayati sifat ini melalui salah satu ciri Ulul albab yang diterangkan di dalam al-Quran.

"Lihat kepada alam, bukan sifatnya yang indah sahaja tetapi mengenali sifat yang Maha Pencipta."

"Mempelajari subjek bahasa Melayu, bahasa Inggeri, sains, matematik, biologi dan fizik, mampu memberikan kesan kepada kualiti sistem kepercayaan akidah kita."

"Arkitek yang membuat pembinaan bangunan, integritinya akan terbina."

"Fasilitator yang berhadapan dengan audiens, mampu menyentuh perasaan mereka."


Maklumat Program:

Tarikh : 31 Disember 2011 (Sabtu)

Masa : 10.00 pagi – 1.00 tengahari

Lokasi : Akademi Sinergi, No. 41, Jalan Seksyen 3/69, 43650 Bandar Baru Bangi, Bangi, Selangor Darul Ehsan.

Objektif Program:

  1. Memahami sifat generasi Ulul-Albab di dalam al-Quran sebagai satu penhayatan cara hidup muslim.
  2. Memahami konsep Teknik SE dalam kehidupan seharian.
  3. Membincangkan aplikasi Teknik SE dalam sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P), penulisan skrip/filem, inovasi dan lain-lain.
  4. Meningkatkan keyakinan kehidupan kita beragama.

Trainer
Tuan Fazrul Ismail
Pengarah Eksekutif Total Success Training and Consultancy

Fasilitator
Pelajar School of Life (SOuL)

Siapa yang patut hadir?

  • Ibu bapa yang ingin mendalami sistem pendidikan untuk anak
  • Para pendidik nurseri dan tadika yang berperanan besar dalam membentuk jatidiri anak
  • Para pendidik sekolah rendah dan menengah yang banyak mencorak gaya fikir anak
  • Para pensyarah dan pendidik kolej/universiti yang terlibat dalam melonjakkan potensi pelajar
  • Penggerak atau aktivis pendidikan dan remaja/belia
  • Orang awam daripada pelbagai profesion yang ingin meningkatkan kualiti diri dan kerja

Yuran

Pelajar : RM 15.00
Orang awam : RM 30.00

Bilangan peserta : Terhad kepada 20 orang sahaja

Untuk pendaftaran, sila hubungi Firdaus binti Md Tahir di talian 013-6697267

Related Posts with Thumbnails