Cuti sekolah hujung tahun sudah pun bermula. Saya juga dalam mode mahu bercuti. Namun, masa dan keadaan belum mengizinkan. Jadi, biarlah saya mengimbau percutian 2 hari 1 malam saya sekeluarga kecil saya pada Januari 2012 yang lalu. (Cerita sudah lapuk tetapi tetap manis dikenang. :))
Kami memilih destinasi percutian ke Cameron Highland melalui tiket percuma daripada Palace of The Golden Horses. Tiket ini diperoleh semasa kami mengunjungi pameran Matta Fair pada September 2011 di PWTC. Hanya perlu mengisi borang yang disediakan di booth, kemudian mengikut syarat dan terma daripada pihak mereka.
Kami bertolak ke Tanah Tinggi Cameron dari Ipoh melalui Simpang Pulai. Alhamdulillah, perjalanan lancar dan jalan agak lengang kerana kami ke sana pada hari Khamis.
Wah, sudah sampai Pahang! Perjalanan hanya mengambil masa satu jam 20 minit. |
Sampai di pekan Cameron, kami menjamah makanan tengah hari dahulu. Kemudian, satu-persatu kedai berhampiran food court itu kami singgah.
Cik Iffah berumur 1 tahun 6 bulan pada masa ini. Seronok dia berjalan sebab baru 3 bulan 'dapat kaki'. |
Disebabkan belum boleh check-in di hotel, lalu kami teruskan perjalanan ke Ladang Teh Boh. Tambahan pula, fikir saya, bila sudah masuk ke bilik, pastinya malas mahu keluar semula.
Jika pengunjung datang dari arah Tapah, Bharat Tea Plantation ini akan ditemui di sebelah kiri jalan. |
Sampai-sampai, kita posing dulu. Kenangan ketika bertiga. |
Budak ini memang obses pada cermin. |
Diizinkan turun ke ladang. Jadi, peluang tidak dilepaskan.
Kemudian, kami ke Bee Farm. Ia terletak di sebelah kanan, tidak jauh dari Ladang Teh Boh tadi.
Tiada orang lain melawat Bee Farm ini pada waktu ini melainkan kami. |
Macam-macam gaya memek muka Cik Iffah ni. :) |
Sayangnya buah strawberi tidak kelihatan di sini. Kata pekerja ladang, waktu ini musim hujan, jadi buah tidak menjadi. |
Rupa-rupanya ada air terjun juga di sini.Encik Suami sempat juga meninjau kawasan mandi. |
Oleh kerana belum menunaikan solat, kami berpatah balik ke masjid di pekan. Lokasinya berhadapan Balai Bomba Cameron Highland.
Keadaan di masjid ini masih sama seperti kali terakhir saya ke sini pada tahun 2005. |
Sebelum Maghrib, kami check-in di hotel.
Subhanallah, hotelnya hampir sama besar dengan apartment kami, malah lebih mewah. |
Rindu gelagat Cik Iffah waktu baby. Hingga sekarang pun masih suka gigit kuku. |
Malam itu, kami tidur dalam kesejukan yang teramat. Cuaca di sana memang sudah dimaklumi sejuknya, ditambah dengan hujan pula. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan saya jika berada di negara empat musim.
Nyenyak tidurnya malam itu. |
Keesokannya, dalam kekabusan pagi, kami keluar bersarapan di kedai makan berhampiran hotel. Memang sudah dimaklumkan, sarapan tidak disediakan bagi tiket hotel percuma. It's ok, kami tidak kisah.
Hidangan yang memanaskan tubuh badan, alhamdulillah. |
Balik semula ke hotel, kami bersiar-siar dahulu di perkarangan hotel.
Sayang kamu berdua. (Berangan berada di oversea) |
Pagi itu kami berehat sahaja di bilik. Terasa sayang mahu check-out awal walaupun banyak lagi tempat yang mahu dilawati. Menjelang jam 12 tengah hari, akhirnya perlu ucapkan bye-bye pada bilik yang sungguh selesa itu.
Posing dahulu di pintu keluar-masuk. |
Kami ke pusat jualan sayur-sayuran dan buah-buah segar di tepi jalan.Waktu ini, kereta semakin banyak dan pengunjung mulai ramai. Cuaca pula mendung dan menampakkan tanda-tanda akan hujan.
3 paket RM 10 boleh campur-campur. Saya beli RM 20 sahaja. |
Sempat juga merasa buah strawberi coklat yang ada dijual di sini.
Yummy, memang sedap rasanya! Apa sahaja makanan dicicah dengan coklat, pasti sedaplah! |
Hujan renyai-renyai sudah turun. Kami terus menaiki kereta dan bergerak ke Butterfly Farm pula. Tetapi setelah berkira-kira, kami tidak jadi membeli tiket masuk. Sebabnya..... di KL juga ada, malah mungkin lebih besar. Lagi pula, biar Cik Iffah besar sedikit dan sudah pandai, kita pergi Zoo Negara saja. (Ayat menyedapkan hati Encik Suami)
Dapat posing pun jadilah. |
Tempat terakhir kami singgah adalah ladang teh (lagi). Tak ingat pula saya namanya. Tetapi bukan Ladang Teh Sungai Palas.
R & R terakhir sebelum meneruskan destinasi pulang |
Akhirnya, kami selamat tiba di teratak ayahbonda menjelang Asar. Alhamdulillah. Terima kasih, Allah. Ada rezeki, mahu jejak lagi ke sini, insya-Allah.
Menjadi kebiasaan saya sebelum mengembara, saya akan merancang ke mana tempat yang mahu dikunjungi.
Ini peta yang saya rujuk sebelum bercuti-cuti di sini. Moga dapat menjadi panduan kepada sesiapa yang mahu ke sana. |
Selamat bercuti dan melihat kebesaran Allah!
jom la pegi lagiiii :D
ReplyDeletetengah survey hotel yang menarik dan selesa di Cameron ni..tp klu time cuti sekolah mesti ramai orang kan...
ReplyDelete