Thursday, November 10, 2011

Eidul Adha 1431 + Menjelang Eidul Adha 1432

Bismillah walhamdulillah.

Syukur pada Allah kerana masih memberi peluang kepada diri ini untuk terus hidup hingga ke saat ini. (Terima kasih juga kepada pihak blogspot kerana tidak mematikan blog ini walaupun pemilik blog tidak menjaganya dengan baik).

Sementara masih dalam bulan Zulhijjah ini, rasanya belum terlambat lagi untuk saya mengemaskini memori Eidul Adha saya bersama keluarga tahun ini. Siap buat pecahan bahagian sebab saya seperti hilang ingatan pada apa yang berlaku selepas petang Eidul Adha tahun lalu. (Raya dua tahun sebelum itu lagi saya tidak ingat. Astaghfirullah). Yang saya ingat, saya tinggalkan si kecil Iffah pada ibu mertua dan saya keluar menunaikan solat sunat raya di Masjid Hidayah Kelana Jaya, Ustaz Tarmizi (Juara AQ) yang jadi imam dan khatib khutbah. Memang sedap sangat bacaan beliau. Kemudian kami menziarahi pusara arwah ayahanda suami merangkap bapa mertua saya. Selepas makan-makan dan bergambar kenangan dengan keluarga mertua, petangnya kami terus pulang ke kampung sebelah saya pula. Itu kisah tahun lepas-1431H.


"Bapak, saya menantu sulung bapak datang ziarah. Saya doakan semoga segala amalan sedekah jariah bapak semasa di dunia, ilmu-ilmu yang bapak sampaikan kepada para pelajar dan masyarakat juga doa daripada anak-anak bapak yang soleh dan solehah tidak memutuskan bekalan pahala untuk bapak di sana. Semoga rohmu tenang dan dipelihara Allah. Amin."


Sedang bersihkan sekitar pusara ayahanda yang penuh dengan daun-daun kering. Terima kasih pada pihak pengurusan kubur yang memelihara kawasan perkuburan ini dengan baik. Mereka siap sediakan air mawar dan bunga tetapi perlu bayar RM1.


Cik Iffah Farhanah waktu ini berusia empat bulan. Montel juga anak ummi ni.... Geram :)


Eidul Adha pertama bersama. Alhamdulillah.


Tahun ini-1432H, kami merancang berhari raya di PJ bersama keluarga mertua saya lagi kerana mengikut perancangan ibu mertua. Namun pada Hari Arafah 9 Zulhijah, dengan kehendak Allah, saya terbaca status FB adik ipar yang mereka sudah berada di Gurun. Oh, plan sudah berubah dan kami tidak maklum lebih awal tentang perkara itu. (Itulah nasib bila kurang berkomunikasi terutama bagi hal-hal penting). Kebetulan pada masa itu saya sedang mengemas beg pakaian kami anak-beranak, jadi saya terus ajak Encik Suami balik ke kampung saya selepas Zohor. Alhamdulillah, rasa seronok sangat dapat juga pulang ke kampung halaman sendiri.... Sebab kali terakhir balik kampung adalah semasa raya Eidul Fitri. Sangat rindu pada mama, baba dan adik-adik. Kali ini semua adik-adik saya dapat berkumpul kecuali adik lelaki saya yang beraya dengan keluarga sebelah isterinya dan adik saya, Aisyah nun di perantauan. (Hati kecil perempuan memang begini, tambah lagi saya anak sulung, kan?)

Perjalanan kami bermula selepas membeli sebatang lemang di tepi jalan keluar kawasan perumahan kami. (Gaya macam nak balik kampung yang jauh sangat bunyinya). Seumur hidup saya, inilah kali pertama saya membeli lemang untuk keluarga. Saya kurang gemar kerana kadang-kadang ia keras atau mantah (sebutan orang utara). Saya lebih 'gila' makan ketupat daun palas atau ketupat daun pisang buatan tok saya. (Sampai rasa terkilan sebab raya Eidulfitri yang lepas rasanya saya dapat makan sedikit sahaja ketupat, padahal makan lebih banyak daripada orang lain :))


Ada sekeluarga Cina pun datang beli lemang bersama-sama saya tadi. Katanya mahu makan pagi esok maknanya pagi raya. Wah, berjaya konsep 1 Malaysia! Yang lebih penting, semoga mereka diberi hidayah oleh Allah bagi merasai kemanisan iman dan Islam.


Dari mula masuk lebuh raya di Hospital Sungai Buloh, pergerakan kenderaan agak perlahan. Tidak pula saya menyangka ramai orang mahu pulang beraya ke kampung halaman. Lagi-lagi ke arah utara tanah air tercinta. Mungkin ada yang sambung cuti panjang sebab di Malaysia yang tercinta ini, biasanya cuti raya Haji sehari sahaja sedangkan sepatutnya disambut dengan 'meriah'. Kebiasaan kami dalam dua jam boleh sampai ke Ipoh, tapi kali ini memakan masa hampir empat jam. Solat Asar belum ditunaikan. Melihat semua RnR penuh dan perlu beratur panjang, kami ambil keputusan untuk keluar dari lebuh raya dan singgah di pejabat tol Bidor dan recharge tenaga di situ. (Mungkin boleh jadi tip bagi sesiapa yang mahu melarikan diri daripada kesesakan di RnR lebuh raya).


Semasa singgah di RnR Rawang bagi memberi makan kepada Cik Iva. Awan sudah semakin hitam di sana. Sememangnya hujan rahmat menemani sang musafir selepas itu. Teringat pada jemaah haji di Arafah
yang sedang berwuquf, semoga ibadah mereka diterima Allah.


Alhamdulillah kami selamat tiba lebih kurang jam 8.20 malam. Baba menyambut kepulangan kami dengan sedikit terkejut. (Oh, lamanya tidak lihat wajah itu). Sebenarnya semua pun terkejut sebab kami pulang ke Ipoh pula. Sengaja kami tidak beritahu mereka lebih awal plan berubah sebab mahu buat kejutan. Surprise, kan?

Di dapur sudah ada empat batang lemang. Setiap satu berbeza hasil pembakarannya. Yang saya beli agak keras. Yang baba dan adik ipar saya beli, ada yang OK dan ada yang mantah. Nampaknya tiada hidangan ketupat daun palas :(


---bersambung insya-Allah. ---


**Kadang-kadang rasa mahu delete sahaja blog ini, entah untuk apa kewujudannya pun saya tidak tahu. Namun saya masih merasakan perlu ada blog sebagai ruang catatan pengalaman, perkongsian, perancangan dan luahan. Atau sebab seronok tengok orang lain ada blog, aku pun ada! Tapi orang lain update, kau ada? Tepuk dada tanya selera.... huhu

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails