Thursday, November 17, 2011

Eidul Adha 1432

Bismillah walhamdulillah. Salam Jumaat yang penuh barakah.

Hari ini sudah masuk 22 Zulhijjah 1432. Aci tak saya masih mahu kemas kini cerita raya haji? Hehe.... Sebab sudah ada pendahuluan sebelum ini, saya mesti sambung dan buat pengakhirannya. Betul, bukan? Untuk tatapan sendiri sahaja sebagai nostalgia.

Sebenarnya saya mahu jadikan entri Wordless Friday, bolehkah para blogger?Adakah salah di sisi undang-undang blog sebab hari ini sudah Jumaat? (Saya tidak tahu dari mana asal-usul Wordless Wednesday, mari kita tanya selebriti blog yang ramai peminat, Puan Husna Adnan. :) Jika ia menyalahi undang-undang, saya buat kaedah normal blogger :)


Di Surau al-Ehsan, tempat saya dan suami disatukan. :)

Aktiviti sunnah yang dilaksanakan sejurus memasuki tarikh 10 Zulhijjah adalah bertakbir, kemudian menunaikan solat sunat Eidul Adha, mendengar khutbah raya, menjamah sarapan seterusnya melaksanakan upacara qurban / korban. Ia simbolik kepada umat Islam bagi mengenang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan ketaatan anaknya, Nabi Ismail yang rela mengorbankan diri untuk disembelih sebagai bukti kasih dan cinta mereka kepada Allah. Jika kita bertanya kepada diri kita sendiri, adakah kita sanggup melaksanakannya? Subhanallah, iman saya belum cukup kuat....

Rasulullah saw bersabda: "Tiada suatu amalan pun yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Korban, lebih dicintai oleh Allah swt selain dari menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan korban itu nanti di hari kiamat akan datang berserta tanduk-tanduknya, bulu-bulunya, kuku-kukunya dan sesungguhnya sebelum darah korban itu menyentuh tanah, pahalanya telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kamu semuanya dengan pahala korban itu". (HR. Tirmidzi dan Ibn Majah)

**Lagi info berkaitan Hari Raya Aidil Adha



Aktiviti kami sementara menunggu penyembelihan korban selesai.


Biasanya bila raya haji kami sekeluarga memang tidak sempat bergambar berjemaah. Masing-masing sibuk dengan hal masing-masing. Semasa saya awal remaja dan bujang trang tang tang dahulu (sekarang akhir remaja), saya dan kawan-kawan sebaya selalu duduk di dapur surau bersama-sama makcik-makcik menyediakan keperluan memasak. Tapi apabila sudah beranak kecil ini, saya terpaksa mengecualikan diri daripada bersama-sama mereka. (Alasan!) Sebenarnya ada sedikit segan sebab tiada geng bersama. Jadi, saya dan adik-adik perempuan dan anak perempuan saya balik ke rumah, kononnya masa tidur si kecil saya sudah sampai.



Tetapi sampai di rumah, lain pula jadinya.... kesudahannya si kecil tak tidur pun....

Lebih kurang jam 12 tengah hari, kami ke surau semula untuk makan tengah hari. Tapi adik-adik saya yang sudah malas untuk bersiap-siap tidak ikut sekali.



Close up sikit. Kami makan setalam; saya, mama, Alang dan Adik.

Saya suka datang ke surau ini. Sejak kecil, mama dan baba bawa kami adik-beradik ke surau ini terutama pada bulan Ramadhan untuk iftar berjamaah, solat sunat tarawih dan aktiviti kemasyarakatan. Yang paling saya suka adalah waktu makan sebab kami makan menggunakan talam. Satu talam biasanya untuk empat atau lima orang. Ia mengingatkan kenangan zaman tadika dan sekolah rendah saya dahulu. Awal-awal dulu saya terfikir, "Cukup ke nasi dengan lauk ni?", "Kenyang ke makan kongsi ramai-ramai macam ni?" Tapi yang peliknya, selesai makan, bukan sahaja rasa cukup makan malah kenyang. Nabi SAW nyatakan, "Makan berjemaah itu ada keberkatan." Allahu a'lam. Tapi Nasi Ambeng memang kena makan berjemaah, bukan?

**Klik pautan ini untuk info lanjut berkenaan makan berjemaah.
**Panduan kaedah makan gaya Nabi SAW

Sebenarnya hari itu, kaum perempuan makan dalam pinggan, tetapi saya teringin sangat mahu makan dalam talam. Ibu mertua adik saya yang baik hati sanggup tolong ambilkan talam dari pihak lelaki. Terima kasih Makcik Jamaah! ("Bertuah hang, Alang dapat mak mentua baik hati. Alhamdulillah, mentua I pun baik hati jugak. Hehe....")



Cik Farhanah sudah siap untuk balik ke kampung Tok Nek di Serdang, Kedah. (Serdang bukan di Selangor aje ye!)

Di kampung, saya sempat berjumpa keluarga Pak Su, Mak Long dan sepupu saya, Abang Harun yang baru berkahwin. Memang tradisi mama saya, selagi boleh akan diusahakan juga untuk pulang menjenguk Tok walaupun sekejap. Tok hidup sendirian selepas arwah Tokwan meninggal dunia dua tahun lepas. Walaupun tidak ramai anak-anak dan cucu cicit yang dapat pulang, kami harap kepulangan kami dapat menceriakan Tok.



Aktiviti barbeque 3kg daging korban pada hari raya kedua.

Gunakan sistem giliran bagi membakar daging supaya semua dapat pengalaman. Kaedah membakar yang tidak profesional. Kipas elektrik turut membantu. Hasilnya diratah bersama-sama semasa panas-panas. Memang best walaupun tanpa cicah air asam! Sebahagiannya dibuat sup untuk bihun sup, dimasak menjadi daging goreng kunyit dan daging masak kicap lalu dimakan bersama nasi putih. Biarpun ringkas, mmmm... makan berjemaah sememangnya menyeronokkan! Tambah-tambah dengan keluarga, bukan?



Giliran terakhir.


Ini dia lelaki melayu terakhir yang paling banyak makan daging bakar. Sudahnya lenguh mulut semalaman kerana letih mengunyah daging liat. Hahaha....



Alhamdulillah, terima kasih ya Allah kerana Engkau masih berikan peluang kepadaku untuk bersama-sama keluargaku walaupun sekejap. Jangan Kau tarik nikmat ini daripada kami. Peliharalah kami daripada api nerakaMu, ya Allah.

**Saya harap umur saya panjang. Mahu tunaikan haji. Mahu solat sunat eiduladha berjemaah dan sertai korban. Insya-Allah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails