Thursday, February 19, 2009
Taaruf, Keren…! Pacaran, Sorry Men…!
Buku ini dibeli pada Pesta Buku Islam di Jakarta, awal Mac 2008. Bahasa Indonesia. Selepas tiba di Malaysia, saya hanya membelek-belek sahaja, tetapi ia cukup untuk memberi gambaran mengenai keseluruhan isinya. Pada masa itu, saya fikir belum tiba masa untuk saya membacanya. Lagipun saya fikir, perkara itu remeh sahaja. Saya sudah tahu dan maklum sejak dulu lagi walaupun ia tidak pernah diterangkan dalam mana-mana buku teks sekolah mahupun universiti.
Namun, telahan saya agak menyimpang selepas selesai menamatkan bacaan hingga ke noktah terakhir. Ia mengubah persepsi saya terhadap pegangan yang mungkin tidak berasas. Hakikatnya, situasi yang sedang saya hadapi pada masa ini mengingatkan saya tentang kewujudan buku ini. Lalu, dengan keinginan yang berkobar-kobar, saya mencarinya di celahan buku-buku di atas meja. Ye, saya jumpa! Alhamdulillah, saya berjaya mengkhatamkannya dalam masa dua malam sahaja.
Subhanallah, isi kandungannya amat menarik. Sambil menghadam huraian dan penjelasan penulis yang bersahaja dan santai, perasaan saya bercampur-baur. Ada ketikanya saya tersenyum, tersengih, tergelak dan juga sebak. Menulis pengalaman sendiri ternyata menggeletek jiwa, kerana ia begitu dekat dengan pembaca. Saya juga terkesan kerananya. Ia juga dibantu dengan susunan tajuk-tajuk yang kemas dan praktikal, serta diselitkan cerita-cerita pendek yang membuatkan kita berfikir sebentar.
Saya mencadangkan kepada semua perempuan, mungkin juga lelaki yang sedang meniti usia 20-an untuk membaca buku ini. Ia begitu relevan bagi setiap individu yang mahu mencari pasangan, belahan jiwa dan pendamping hidup di dunia seterusnya di akhirat. Permulaan yang baik akan membuahkan pengakhiran yang baik juga.
Buku ini membawa kita memahami hubungan suami dan isteri yang dimulakan dengan perkenalan yang baik dan berkat, Insya-Allah, bukan berpasangan, berpacaran dan couple sepertimana yang berlaku kini. (Mungkin bagi sesetengah orang menganggapnya sebagai kolot, tak rock, tak sporting, syadid dan sebagainya). Penulis cuba mengajak kita menghayati dan mengamalkan konsep taaruf yang dianjurkan oleh Islam, yang mana ia menekankan konsep tawakkal dan redha pada kedua-dua pihak sama ada lelaki mahupun perempuan.
Antara perkara-perkara yang disentuh dengan gaya penulisan yang halus dan menyentuh naluri dan minda adalah:
Definisi Taaruf
Perbezaan Taaruf dan Pacaran
Kriteria Calon Yang Diidamkan
Kriteria Calon Menurut Sunnah
Solat Istikharah
Kisah Benar – sad ending dan happy ending
Hmmm...Semasa menghayati penulisan ini, saya terfikir untuk menterjemahkan semula buku ini dengan mendapatkan keizinan penulis atau penerbit. (Tapi agak sukar) Atau saya mengambil idea ini, kemudian menulis semula dan mengolah dengan konteks diri sendiri. Bagi saya, pengalaman peribadi saya ada juga yang baik untuk dikongsikan bersama orang lain. Ada kawan mengesyorkan kepada saya supaya menovelkannya. Tetapi saya tiada bakat menulis fiksyen. Iyakah? Belum cuba belum tahu....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment