Tuesday, February 24, 2009

Kamus al-Quran : Episod 2 dan Jalan-jalan

Manuskrip Kamus al-Quran

Alhamdulillah...hanya rasa syukur yang terucap apabila saya selamat sampai ke Fakulti Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya petang tadi, walaupun perjalanan ditemani hujan sejak bergerak dari pejabat di Wangsa Melawati. Alhamdulillah juga kerana bantuan Asyuura sebagai penunjuk jalan, walaupun dua kali tersalah masuk simpang. (Syura..syura..)Tiba di hadapan pejabat Prof Zulkifli, saya dan Syura terjengah-jengah di pintu mencari bilik Prof. Meninjau-ninjau di sekeliling, rupa-rupanya Prof sedang mengajar di dalam bilik kuliah berhadapan pejabatnya. Beliau ternampak kami. Sejurus kemudian, semua pelajar-pelajar Prof memusingkan kepala ke arah kami.

Apalagi, tersipu-sipu kami dibuatnya...Tiba-tiba, seorang pelajar perempuan membuka pintu dan keluar bertemu kami berdua. Saya nampak Prof mengatakan sesuatu kepadanya tadi. Dia bertanya, "Pelajar Prof ke? Pelajar B.A ke? Ada buat appointment ke? Prof yang minta tanya, datang dari mana..." (Panjang lebar juga soalannya) Jawab saya, "Tak. Saya dah beritahu pada Prof nak jumpa hari ini. Bila kelas ni habis?" Katanya ini kelas pelajar master, habis lewat dalam jam 6 petang. (Pada masa itu, jam baru 3.50 petang)Belum sempat saya menghabiskan jawapan, tiba-tiba pintu terbuka dan Prof muncul.
(Pada masa itu, rupa-rupanya Syura asyik terfikirkan soalan pelajar tadi. "Hmm...nampak kita ni macam student ke? student BA pulak tu..." ngomelnya tidak puas hati).

"Assalamualaikum. Ingatkan nak datang pagi tadi. Jadual saya penuh setiap hari Isnin. Tapi orang nak datang, kenalah raikan," terang Prof. Tidak mahu mengambil masa yang lama, saya menyerahkan sampul coklat, di dalamnya berisi sebahagian manuskrip Kamus al-Quran yang sudah siap disunting dan desain. "Oohh...cantik...." Itulah kata-kata yang terkeluar daripada mulutnya. (Alhamdulillah syukur). Selepas sedikit perbincangan ringkas, kami bersetuju untuk menghantar hasil kerja untuk dipruf melalui emel selepas ini secara berperingkat. Buat masa ini, Prof mempunyai 3 buah buku yang perlu dipruf daripada penerbit lain. (Prof yang seorang ini memang banyak sungguh projeknya, sambil membantu pelajarnya menambah pendapatan dengan mengupah mereka membuat penyelidikan dan menulis). 'Ala kulli hal, saya tetap akan kejar Prof. :)




Kawan Lama

Sebelum pulang,saya ternampak kelibat seseorang di pintu masuk fakulti. Ya, saya tidak salah seorang. Sudah lama saya tidak ketemu dia. Alhamdulillah, dia juga masih ingat pada saya. Dia ramah seperti dulu. Dia fikir saya datang ke sana untuk menghantar kad undangan. Hehehe...pamdai dia mengusik. Saya katakan, "Insya-Allah, 6hb 6 ye..tarikh dah cop, tapi calon belum ada." Berakhir di situ sahaja.

Perkenalan kami sejak saya di matrik lagi. Daripadanya saya belajar loghat 'kelate'sehinggakan saya membuat satu buku khusus untuk mencatatkan setiap perkataan baru yang saya pelajari setiap hari. Seingat saya masih ada lagi dalam simpanan saya. Hmmmm...buat saya tersenyum sendiri...Saya doakan dia sentiasa bahagia bersama zaujah dan putera kesayangannya yang comel, chienese look sepertinya.

Jom Research!

Kami singgah makan dahulu sebelum pulang ke pejabat. Jam menunjukkan jam 5 petang. Tiba-tiba, "Syura, jom kita pergi research kat Pustaka Indonesia! Alang-alang dah nak habis office hour, lagipun akak dah lama tak buat research ni." Saya memberi cadangan. Apalagi si Syura ini memang kaki jalan, memang dia setuju sangat. Saya terus hantar sms pada boss maklumkan perkara itu. Selepas kereta saya bergerak, saya dapat call daripada boss. (Mestilah kena angkat, lagipun masih waktu kerja). Boss minta saya research produk yang banyak dijual di kedai buku dengan harga yang murah. Ini semua kerana misi baru PTS yang mahu jual buku untuk orang kampung. Saya katakan OK sahaja. Syura yang paling gembira kerana akhirnya dapat keluar jalan-jalan. Terima kasih ye Syura, Insya-Allah ganjaran setimpalnya buatmu...:)

Wisma Yakin

Tempat pertama kami tujui ialah kedai buku Erfan Ghani yang berada di tingkat 1, Wisma Yakin. Bangunan berhadapan Masjid India. Ia adalah pengedar utama bagi buku agama terbitan Darul Nu'man. Produk mereka semakin banyak. Banyak judul-judul baru yang diterbitkan. Hasil belek-belekan tangan, akhirnya saya membeli 4 buah buku. Judul-judulnya: Memori Jumaat, Wanita & Darah, Feqh wanita Moden dan Keagungan Tamadun Islam: Sejarah yang Digelapkan. Semuanya berjumlah RM37.50. Inilah hobi saya. Menambah koleksi, belum tentu dibaca, yang pastinya, ia dirujuk untuk mengembangkan kerjaya saya.

Naik pula di tingkat 2, kami memasuki Pustaka Indonesia, pengedar terbesar buku-buku dari seberang (Indonesia). Boleh dikatakan, buku-buku yang diimport semuanya berkualiti. Disebabkan kedai ditutup jam 6.30 petang, kami tidak dapat lepak lama di situ. Saya hanya membayar RM22 bagi buku Nikmatnya Pacaran Setelah Pernikahan. Harga asal RM25.50. (Alhamdulillah, moga Allah mempermudahkan jalan bagi hambanya yang mahu menyempurnakan separuh daripada agamanya..:))



Sebenarnya saya mahu mencari konsep layout untuk Riyadus Solihin, buku akan datang. Juga mahu melihat Kamus al-Quran yang sudah banyak di pasaran. Lalu, kami melangkah pula ke Pustaka Mu'min di Jalan TAR. Kedai ditutup jam 7.30. Masa tidak banyak untuk kami. Tetapi saya sempat mencatatkan sedikit nota untuk dilaporkan kepada boss nanti. Saya terbeli pula buku Haid, Masalah Kesihatan & Seksual Wanita berharga RM15 dan cd nasyid Arab nyayian Abdulqader Qawza. Si'ruhu RM19.90. Alhamdulillah, memang sudah lama saya tercari-cari nasyid Arab yang bertemakan ketuhanan seperti ini. Boleh juga jadi halwa telinga ketika memandu.



Masuk Pejabat Semula


Entri ini ditaip di pejabat, selepas saya menghantar Syura pulang ke terataknya. Fikiran saya agak ringan dan sedikit tenang kini kerana dapat rehat sebentar sebelum saya menyambung semula kerja-kerja pada esok hari. Walaupun saya hanya berjaya menyiapkan huruf alif ila kha faqad. Itupun skip huruf ha. Insya-Allah, saya akan kerjakan projek besar ini dengan sebaik-baiknya. Doakan saya. Ya Allah, bantulah daku...amin.

2 comments:

  1. salam,
    Penulis tentu seronok jika mendapat layanan sebegini.

    ridz

    ReplyDelete
  2. Salam Dr Ridzwan, terima kasih sudi singgah di laman saya ini. Malu pula sebab selalu bersarang je. Apapun, salam ukhuwah fillah.

    *Sebenarnya saya tidak menerima kiriman buku terbaru Dr, sebab alamat yang saya beri tempohari tidak lengkap. ;(

    Apapun, salam ukhuwah fillah...

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails