Monday, February 16, 2009

Alhamdulillah ‘ala Kulli Hal

Ayat ini menjadi motto hidup seorang staf di PTS. Ia selalu diletakkan pada status Ymnya. Sesi tazkirah hari itu dikelolakan oleh Saudara Aizat yang meminjam motto partner di sebelahnya (Puan Rozita) amat bermanfaat. Sesi tazkirah di pejabat editorial PTS adalah pada setiap Jumaat, jam 11.30-12.30 tengah hari. Meski memilih tajuk yang simple, ia amat dekat di hati setiap individu. Kaitannya berputar sekitar pendidikan, kerjaya, cinta, rumah tangga dan sebagainya.

Bercakap mengenai ‘ujian dan hikmah di sebaliknya’ dan perkongsian bersama dengan semua staf sedikit sebanyak membuka hati dan meniup motivasi dalam diri. Mustahil tiada seorang manusia pun di bumi ini yang tidak pernah diuji oleh Tuhan. Meskipun sentiasa dilimpahi kesenangan dan kemudahan, ia hakikatnya adalah ujian yang lebih hebat dan jarang disedari oleh manusia.

Merujuk kepada beberapa kata-kata Allah dalam surah al-Ankabut, al-Baqarah, al-Insyirah, jelas kepada kita, setiap insan tidak diklasifikasikan sebagai beriman hinggalah dia diuji oleh Tuhan. Yang membezakan sama ada ringan ataupun berat ujian yang didatangkan. Yang pasti, setiap ujian itu diberikan oleh Allah kepada manusia berdasarkan kemampuan diri menghadapinya. “La yukallifullah illa wus’aha...”

Sebagai individu yang mengaku Muslim, apabila ditimpa dugaan hidup, mengadulah kepada Allah. Hanya Dia yang mendengar rintihan kita tanpa jemu. Allah sudah berjanji, “Mohonlah pertolongan dengan kesabaran dan solat, sesungguhnya Dia bersama orang yang sabar.” (Al-Baqarah).Justeru,teruslah berdoa dan berdoa. Mengharap dan meminta. Usahlah jemu. Apabila kita ingat padaNya kala kita senang, Dia akan ingat kita kala kita susah.

Muhasabahlah diri. Mungkin tanpa disedari, kita ada berbuat salah, silap dan dosa sama ada kepada manusia atau Pencipta. Kerana itu, ujian menimpa. Usah mudah berprasangka buruk padaNya. Ia pasti berbalik kepada kita. Mungkin kita juga terlalu leka dan lupa mengingatiNya. Hanya dengan ujian, kita akan kembali mengingatiNya. Menyebut namaNya. Lihatlah betapa kasih dan sayangnya Allah pada hambanya...

Kesimpulan daripada sharing moment ini:
Setiap ujian yang berlaku ada hikmah di sebaliknya, dan carilah hikmah itu..pasti ia membuatkan kita berfikir, tersenyum dan bersyukur padaNya.
Boleh jadi apa yang kita fikirkan baik pada kita, sebenarnya tidak baik di sisi Allah. Begitulah sebaliknya. Hanya Dia lebih tahu. Redhalah...
Apa sahaja yang berlaku, kehidupan perlu diteruskan. Usah terus berada dalam kepompong kekecewaan, sedangkan dunia di luar begitu ceria untuk dinikmati.
Yang pasti, kemanisan balasan dan ganjaran menanti hamba yang sabar dengan setiap kepahitan musibah yang menimpanya.

Moga malaikat-malaikat memayungkan rahmat dan mendoakan kita yang bersama-sama berada di satu taman daripada taman-taman syurga...Amin.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails