Sunday, February 20, 2011

Puding Karamel Gula Hangus

Bismillah.

Sebelum solat Maghrib semalam, tiba-tiba sahaja saya teringin hendak makan Puding Karamel Gula Hangus. Lama betul tidak menjamahnya. Oh, saya bukan mengidam ya. Entah. Nama pun tiba-tiba, kan. Seingat saya, zaman bujang dahulu jarang-jarang sekali saya memasak untuk juadah minum petang. Bila sudah berkahwin, ada juga saya buat roti jala, pancake, kek batik, puding roti. Hah! Itu aje rasanya. Teruk, kan? Tapi ada peningkatan diri juga. Jadi, tidaklah terlalu teruk. Hihi.... Sekarang bila beranak satu, saya mula jarang-jarang kembali. Alasannya, ada anak kecik yang pantang nampak umminya, asyik hendak bergayut. Mahu tidak mahu, wajiblah layan si kecil itu. Alasan boleh terima, kan? Hehe....(Muqaddimah bukan main panjang)

Jadi, selepas solat Maghrib berimamkan En. Suami, saya pun berjumpa Pakcik Google untuk bertanyakan resipi. (Resipi punya senang pun kena google search, nampak sangat tak pernah buat! Eh, saya pernah buat zaman mengaji di U dulu, belajar daripada kawan, Ayong Masyitah mek Kelate. Sudah hampir 6 tahun, memang haruslah lupa). Oh, ada 2 resipi. Selepas diintai-intai bahan-bahannya, saya pilih resipi daripada mesra.net walaupun tiada gambar seperti di myresipi.com.

OK, mari lihat langkah demi langkah. (Ini khusus untuk anak-anak dara @ adik-adik perempuan saya yang jarang memasak di rumah [sebab masing-masing sedang pulun mengaji, alasan boleh diterima].

Bahan-bahannya:

Bahan A:
5 biji telur
2 sudu besar tepung kastard/ tepung jagung
1/2 tin susu pekat
1 tin susu cair
sedikit esen vanilla

Bahan B:
2 sudu besar gula
1 cawan air

Cara-caranya:

Bahan B – Cairkan gula terlebih dahulu. Api perlahan sahaja.Setelah gula cair, masukkan air. Kacau dan biarkan ia menjadi gula hangus.

Angkat dan tuangkan ke dalam loyang. Biarkan ia rata.

Bahan A dicampur dan digaul sehingga sebati dan kembang.

Setelah itu, masukkan bahan A ke dalam loyang tadi.
Kemudian kukus dan biarkan sehingga masak. Kukus dalam 40 minit.


Tapi saya kejap-kejap buka tudung periuk sebab tidak sabar mahu melihat, jadi ke tidak pudingku....dan akhirnya (entah berapa minit kemudian entah)


Mmmmm...nyummyyy.....!!!


**Puding ini memang manis jika betul-betul ikut sukatan resipi, tetapi saya buat kurang manis sebab saya kedekut susu. Hehe...Oh, memang tidak baik untuk kesihatan manis-manis sangat. Tetapi jika sesiapa mahu kurangkan manis, kurangkan sukatan susu pekat. Dan tambahkan manis dalam senyuman.... (",) Selamat mencuba!

1 comment:

  1. sedap la pudng caramel ni.. nanti bebila buat lagi jemput akak datang makan ye .. (dgn muka tak malu .. keke )

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails