Sunday, April 19, 2009
Inikah Sikap Orang Kita?
Gambar ini diambil daripada flicker.com. Saya yakin situasi ini berlaku di luar negara, atau lebih tepatnya di negara Barat, melihat kepada bangunan, pokok dan persekitarannya. Adakah ini tempat pembuangan sampah? Adakah kereta ini juga adalah sebahagian daripada sampah yang mahu dibuang?
Tetapi, percayakah, situasi ini juga berlaku di Malaysia, atau lebih tepatnya di satu kampung di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur?
Ia berlaku kepada saya sendiri dan adik saya, Kauthar selepas kami menjamah Chicken Chop dan Fish & Chip di Chop & Stik tadi. (Saya sudah kempunan sejak semalam. Huhu...). Selepas mengambil adik saya di Pudu, saya terus memandu ke sini. Rasanya, hampir setengah tahun saya tidak manjamu selera di sini.
Semasa berjalan ke arah kereta, dari jauh saya terlihat seperti ada sesuatu di atas bumbung kereta saya. Kemudian, saya melihat satu keluarga sedang melintasi saya ke arah pagar rumah. Si ibu memimpin anaknya berjalan sambil muka anaknya ditutup dengan kain (kerana hujan baru sahaja menitik), manakala si ayah berjalan di belakang.
Sejurus sampai di kereta, saya memicit alarme dan lampu bip dua kali seperti biasa. Tiba-tiba, si ayah tadi berpusing ke arah saya dan terus bersuara,
"Kak, ada otak tak? Haa?!! Ada otak tak?"
"Tau tak ni rumah orang?
"Kenapa parking kat sini?
"Saya tanya,awak ada otak tak?
Itulah ayat-ayat yang keluar daripada si ayah itu. Dek kerana sangat terkesima, saya terdiam dan tidak membalas. Hanya sepotong ayat yang terkeluar dari mulut saya, "Saya minta maaf, encik."
Lelaki itu membalas, "Maaf-maaf jugak, tapi tengok la kalau orang dah marah, sampai letak sampah atas kereta. Kalau ye pun pergi makan, fikir la orang lain."
Saya terus terpandang sebondot sampah dalam plastik hitam di atas bumbung kereta kesayangan saya. "Astaghfirullah." Mujurlah sebondot sahaja.
Lelaki itu kemudian beransur masuk ke kawasan rumahnya. Saya sedar mata jiran-jiran dan orang di situ yang memerhatikan ke arah saya. Saya menurunkan bondot hitam itu. Agak berat juga. Saya juga tidak pasti sampah apa di dalamnya kerana tidak berbau. Di bawah, masih ada sebondot sampah dan sebakul daun kering. Agaknya, sekiranya saya meneruskan niat untuk singgah melihat ikan dan akuarium selepas makan tadi, entah apa lagi yang ada pada kereta saya. Astaghfirullah.
Oleh kerana masih terkejut dengan kejadian yang berlaku, saya dan adik terus masuk ke dalam kereta dan kami berlalu pergi. Suasana sepi seketika.
Saya menegur Kauthar, "Hang terkejut ka?"
"Ha'a, terkejut sikit,"jawabnya.
Saya juga terkejut. Inikah sikap orang kita?
Saya akui, mungkin saya juga bersalah kerana meletakkan kereta di hadapan pagar rumah mereka,walaupun sebenarnya saya hanya suku sahaja ruang. Saya juga yakin, mana-mana kereta muat melalui ruangan itu memandangkan Viva saya tidaklah begitu panjang. Namun, ia sudah berlaku. Saya berharap ia tidak akan berlaku lagi, insya-Allah. Moga menjadi pengajaran buat semua. (Tetapi, saya tidak akan serik untuk makan di situ lagi...(",)).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment