Entri ini adalah sedikit perkongsian daripada saya selepas mengikuti pengisian minggu pertama dalam Seminar Pengurusan Kehidupan berteraskan Surah al-Kahfi pada 21 dan 22 Jan 2012. Hasil penyampaian kuliah bersiri Ustaz Hasrizal dengan tema ini selama 25 bulan di masjid dan surau akhirnya berusaha dipendekkan dalam siri seminar selama 4 hari.
Mengapa Surah al-Kahfi?
Menjadi muslim dan mukmin yang sebenar beerti kita mestilah menjadikan Islam sebagai satu cara hidup. Sumber rujukan dan panduan utama tidak lain tidak bukan adalah kitab al-Quran dan sunnah. Antara 114 surah di dalam al-Quran, surah al-Kahfi adalah surah yang penting untuk diamalkan pembacaannya pada setiap hari Jumaat. Khasiatnya adalah supaya ia dapat menjadi benteng kepada pembacanya daripada fitnah Dajjal. Malah kajian terperinci pada surah ini mampu menghuraikan beberapa aspek utama dalam pengurusan kehidupan manusia seperti pengurusan aqidah (S), harta (P), ilmu (I) dan kuasa (E).
Kredit: saifulislam.com
Info tentang surah al-Kahfi:
- Surah Makkiyyah
- 110 ayat
- 71 ayat berkaitan kisah
- 39 ayat adalah komentar mengenai kisah, gambaran kehidupan dan hari Kiamat
Terdapat 4 kisah yang dibawa dalam surah al-Kahfi iaitu:
- Kisah Ashabul Kahfi (konsep aqidah)
- Kisah Pemilik Dua Kebun (konsep harta)
- Kisah Nabi Musa dan Nabi Khidhir (konsep ilmu)
- Kisah Zulqarnain (konsep kuasa)
Dan ingatlah kamu, tatkala pemuda pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua lalu mereka berdoa, "Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisimu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami."
Ayat ini menggambarkan pergantungan pemuda Ashabul Kahfi kepada Allah dengan memohon diberikan rahmat dalam keadaan mereka tidak tahu apa yang seharusnya mereka lakukan selepas melarikan diri ke dalam gua. Lalu Allah menidurkan mereka dalam satu tempoh yang panjang sebagai membuktikan doa mereka dimakbulkan. Peristiwa inilah yang menjadi bukti bahawa perbuatan berdoa dan hanya bergantung harap pada rahmat Allah adalah satu-satunya jalan keluar dan usaha yang mustajab.
Banyak kisah-kisah yang menunjukkan nabi-nabi berasa tenang apabila berada dalam rahmat daripada Allah walaupun ketika itu mereka dalam kesusahan. Contohnya:
- Nabi Yunus semasa di dalam perut ikan
- Nabi Yusuf semasa di dalam penjara
- Nabi Ibrahim semasa di dalam api
- Nabi Muhammad semasa di dalam Gua Thur
- Ulama semasa di dalam penjara
Mereka ini berada di tempat yang tidak kondusif. Walaupun mereka boleh sahaja meminta kepada Allah untuk dikeluarkan daripada situasi itu, tetapi sebaliknya mereka tenang berada dalam keadaan itu kerana rahmat Allah bersama mereka. Itulah yang kita semua harapkan sebagai hamba Allah. Rahmat Allah datang dalam pelbagai bentuk yang tidak terjangkau dek akal kita. Dengan rahmat Allah itu juga kesudahan dan penentuan nasib kita di akhirat.
“Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi.”