Sunday, March 28, 2010

Kenangan Hari Terakhir di PTS

Rakaman slot Al-Hidayah, TV3

Alhamdulillah, saya dan beberapa orang rakan sejawatan diberi peluang oleh Jabatan Pemasaran PTS bagi beraksi di hadapan lensa TV3. Peluang ini adalah bagi mempromosikan buku-buku terbitan PTS untuk memenuhi satu bahagian dalam rancangan itu.

En. Fariz Firdaus memulakan sesi rakaman bagi buku Biografi Muhammad bin Abdullah. Namun, disebabkan pertama kali beraksi di hadapan kamera tanpa skrip dan latihan, ditambah dengan krew rancangan, pengacara al-Hidayah dan staf PTS lain yang turut memerhati, gugup jadinya. Berhempas pulas Fariz cuba memberikan persembahan terbaik, namun tidak memenuhi kehendak mereka. Tidak mengapa, Fariz. Insya-Allah peluang masih terbuka luas pada masa akan datang. Jangan lupa berlatih di hadapan cermin, ya! (Pesanan untuk diri sendiri sebenarnya!)

En. Roslan mengambil alih dengan lancar sekali. Memang patut pun kerana skop kerjanya yang memang selalu berhadapan dengan media mempromosi buku dan penulis PTS.





En. Roslan menjawab soalan dengan lancar bagai air mengalir

En. Imran meneruskan bagi rakaman kedua yang membincangkan buku Jejak Bisnes Rasul dan buku bestseller, Yakjuj dan Makjuj. Konsep yang TV3 mahu tidaklah susah, sekadar menjawab 2 soalan mereka seolah-olah kami sedang ditemuramah. Soalannya; 1) Apa keistimewaan buku, 2) Siapa yang patut baca buku ini? Disebabkan Imran sudah biasa memberikan tazkirah, berucap di hadapan, di samping gaya percakapan yang jelas dan meyakinkan, sesinya selesai dengan cepat dan mudah.

Tiba giliran saya, jantung yang berdegup-degup kencang sejak awal tadi tiba-tiba seperti berhenti berdenyut. Fikir saya, mudah sahaja sesi itu memandangkan saya sempat membuat sedikit poin sebelum ditemuramah. Tetapi, ia tidak semudah yang disangka. Saya kehilangan kata-kata. Saya memang sedar yang saya mengulang-ulang poin yang sama. Huhu...Komen mereka, tiada satu ayat power yang dapat meyakinkan penonton supaya mendapatkan buku itu. Namun, atas bantuan mereka, akhirnya saya dapat menghabiskan rakaman yang saya sendiri rasa tidak puas hati. Sudah sebulan lebih berlalu, saya tidak pasti sudah ditayangkan atau belum slot saya di TV3. Harap-harap tiadalah sesiapa yang cam saya. ;)



Khadijah; Cinta Abadi Kekasih Nabi

Sebenarnya, 2 minggu sebelum hari rakaman, kami sudah dimaklumkan oleh En Roslan supaya membuat persediaan. Namun, tidak dimaklumkan pula bagaimana bentuk rakamannya. Lalu, saya hanya merangka bagi membacakan blurb belakang buku di samping syair Arab (yang sudah diterjemahkan) sepertimana di dalam buku Khadijah; Cinta Abadi Kekasih Nabi. Lagi pula, masa yang diberi hanya 2 minit seorang. Tidak mengapalah, pihak penerbit lebih tahu bagaimana untuk back up dan tidak menampakkan kecacatan ketara.



Aksi shooting buku penting untuk back up sekiranya shooting orang tidak memuaskan penerbit ;)




Terima kasih Puan yang memberi tunjuk ajar. Tidak puas rasanya belajar sekejap cuma



Bersama pengacara Al-Hidayah, Nazrah yang tinggi lampai. Mujur dia duduk waktu ini ;)

Rakaman ini akan ditayangkan bila-bila masa sahaja dan berselang-selang minggu. Justeru, jika sesiapa berpeluang, tontonlah rancangan al-Hidayah, jam 1 tengah hari setiap Jumaat. Mana tahu dapat lihat bagaimana penampilan saya dan kawan-kawan lain. Jika terlepas, boleh juga lihat semula di laman web Tv3. Saya sendiri tidak tahu rakaman saya sudah ditayangkan ataupun belum, tidak sanggup rasannya menonton.... huhu....

Apapun, terima kasih Celan atas peluang ini!

*Azam saya, suatu masa nanti, saya pastikan lebih bersedia.


***

Majlis Perpisahan

Saya pernah memberi notis berhenti 24 jam kepada bos saya pada 31 Januari 2007. Tiada majlis perpisahan untuk saya pada masa itu. Kerana ambilan kedua bagi KPLI secara mengejut, saya penuhi hasrat mama dan baba saya serta mengikut pendapat rakan-rakan saya yang hampir 9o% memilih profesion guru. Ya, profesion mulia yang memerlukan keikhlasan dan kesabaran yang tinggi.

Tarikh 26 Februari 2010, secara tulus, saya tidak mahu pemergian saya diraikan dalam satu majlis. Namun, majlis ringkas yang diadakan khas untuk saya amat saya hargai. Bukan apa, bagi saya, walaupun saya melangkah keluar dari PTS, saya tetap tidak mahu terputus hubungan dan ikatan dengan gedung ilmu dan pengalaman ini. Bak kata pepatah, "Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain." Minat saya masih mendalam dalam bidang kerjaya editorial ini. Namun, ada sesuatu yang saya cari di luar sana.

Dalam ucapan akhir saya, saya begitu teruja menceritakan sejarah dan berkongsi kisah dan pengalaman saya. Saya bermula dari bawah iaitu sebagai freelancer PTS Millennia pada 8 Disember 2005- dinaikkan ke jawatan kontrak 4 bulan di PTS Islamika- mendapat jawatan tetap sebulan - berhenti kerana masuk KPLI - masuk semula ke PTSI kerana kekosongan - kekal selama 3 tahun hingga 26 Feb 2010. Pengalaman dan ilmu yang ditimba akan sentiasa terpahat dalam memori ini selagi hayat dikandung badan. Semoga ilmu ini mengalir sebagai bekalan untuk ke akhirat.



Saya perasan gambar ini disnap oleh bekas pengurus saya, En Faris. (Mohon izin, ya)



Terima kasih Tuan Fauzul Naim, insan pertama yang membuka jalan kepada saya menjadi full time freelancer PTS, tahun 2005. Zaman inkubator yang membawa saya ke hingga tahap ini


Di kesempatan ini, saya ucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak pengurusan tertinggi PTS, tim PTS Islamika yang bekerja sebagai pasukan dan semua rakan seperjuangan yang memberikan peluang dan kepercayaan kepada saya berkhidmat selama lebih kurang 4 tahun setengah di sini. Saya akhiri ucapan saya petang itu,
"Saya tidak akan cabut car sticker PTS di kereta saya kecuali jika PTS ada buat yang baru."



Cenderahati daripada Kelab Kebajikan PTS dan tim PTS Islamika.
Terima kasih kalian, ia sangat bermakna


Mangkuk ini memang sangat berguna untuk saya dan suami. Jam dinding yang cute ini pula saya letakkan di ruang tamu rumah. Warna kegemaran suami saya


Ucapan dan doa daripada teman seangkatan, PTS Islamika yang amat saya hargai. Saya doakan kejayaan kalian. Janji saya, selagi hayat dikandung badan dan khidmat saya diperlukan, saya akan sumbangkan untuk "Memandaikan Bangsa" walau di mana saya berada


"Sekali PTS, selama-lamanya PTS."

Saturday, March 27, 2010

Projek Terkini Bersama Suami

Alhamdulillahi rabbil 'alamin. Selawat dan salam buat Nabi Junjungan SAW dan seluruh kaum kerabat baginda.

Sudah banyak entri yang tersimpan dalam memori saya di kepala dan tidak disalurkan ke blog ini. Akhirnya, ia lapuk dek kerana masa yang tidak mengizinkan atau mungkin juga sikap tidak cuba untuk komited saya. Kalau update Facebook, saya tiada masalah. Tetapi untuk update entri di blog, masya-Allah, berat sungguh hendak menaip. Okeylah, tidak perlu bersungut lagi...terus sahaja kepada perkongsian untuk pembaca yang sudi mengunjungi ruangan ini.

Pada pertengahan Februari 2010, saya dan suami dikunjungi oleh senior saya merangkap agen takaful saya. Benarlah kata hadis, "Tetamu yang datang membawa rahmat." Maka, selayaknya mereka diberi layanan 1st class oleh kita sebagai tuan rumah. Ya, kepulangannya telah membuka mata saya dan suami tentang sesuatu. Terima kasih kepada Saudara Afyan atas peluang ini, insya-Allah ganjaran di dunia berterusan hingga ke akhirat. ;)

Selang beberapa minggu, beliau mengajak kami berdua mengikuti satu sesi preview tentang produk pendidikan ini di pusat operasi mereka di Kota Damansara. Walaupun hujan, ramai betul manusia di sana hinggakan ada yang terpaksa berdiri, semata-mata bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang produk yang dikatakan HEBAT dan bagus ini. Hanya 2 orang speaker yang berkongsi pengalaman iaitu En Sapian dan En Zariman. Sepanjang sejam setengah sesi berlangsung, kepala otak saya sudah bercabang-cabang apabila mendengar penerangan mereka. Ya, saya sudah nampak jalan dan peluang ini!


En.Fikri bin Shukri adalah anak kepada Dr Shukri Abdullah, motivator terkenal. Di sebelah beliau, Puan Azizah Ariffin, selebriti TV3 yang join SAP di bawah beliau. Senior saya juga di bawah beliau. Kata senior, Erra Fazira pun join SAP! HEBAT!

Alhamdulillah, hari ini 27 Mac 2010, saya berpeluang untuk menghadiri Seminar Sehari Score A di Bilik Seminar, KAED UIAM bersama suami tersayang. Program sehari yang penuh dengan pelbagai input, perkongsian ilmu dan pengalaman, motivasi untuk mengubah diri serta menambah kenalan yang mempunyai matlamat yang sama. (mungkin)


Slot pagi oleh En Dzulfarqeish@Chem, graduan Engineering, umur awal 20-an yang full time dengan SAP danpart time menyelesaikan Master.


Tentatif program New Distributor Orientation (NDO) hari ini. Slot petang digantikan oleh En. Zali Effendy kerana En. Imran sedang menunaikan umrah. Seminggu sebelum itu, beliau bercuti 5 hari di Beijing. Apabila pulang ke tanah air, pendapatannya seminggu RM35K. HEBAT!


Di sebelah kiri ialah En Zali Effendy, abang kepada En Zariman yang mengisi slot tengah hari. Bicara si adik begitu lancang hingga saya rasa takut untuk curi2 snap gambarnya. Tutur si abang pula ada intonasi turun naiknya, namun saya begitu teruja!

Di sebelah kanan, sharing moment oleh En. Ismail yang 22 tahun dahulu bekerja sebagai operator pengeluaran kilang. Kini setahun lebih beliau bekerja full time dengan SAP selepas anak keduanya mendapat 8A dalam PMR setelah menggunakan program ini. Dalam hati saya berdoa agar dapat bersua dengannya!


Alhamdulillah, semasa minum petang, Allah takdirkan En Ismail duduk di sebelah meja saya dan suami. Niat saya hendak menemubual beliau kerana latar belakang beliau dimakbulkan Allah. Insya-Allah, walaupun pertemuan sebentar, saya mendapat no. contact beliau. Itu yang penting! ;)


* * *

Kesimpulan pada seminar ini adalah 9 poin penting yag dibuat dalam bentuk PIRAMID. SEBAB / MENGAPA menyertai Program SCORE A bermula dari tapak piramid no...
  1. Kenali rakan yang berfikiran positif
  2. Ilmu
  3. Pemimpin (yang bersedia untuk dipimpin)
  4. Pengiktirafan
  5. Penghargaan
  6. Bebas kewangan (hutang)
  7. Bebas masa
  8. Kuasa
  9. Warisan (untuk generasi yang ditinggalkan)
Ya, kita tidak tahu bilakah saat AJAL kita. Apakah yang kita tinggalkan untuk anak cucu kita. Ada pepatah baru yang saya dengar tadi, "Biar mati meninggalkan nama, jangan mati meninggalkan HUTANG."

Input yang saya dapat hari ini rasanya terlalu banyak untuk dikongsikan sekarang. Saya berharap dan berdoa agar diri saya komited bagi mencoretkannya pada masa akan datang. Ikuti sambungannya....insya-Allah, biiznillah.
Related Posts with Thumbnails